Friday, 11 December 2015

HIKAYAT PANGLIMA AGUNG: Bab 7 – Berangkat ke Tanah Suci


Besok paginya Sabtu 10 Safar 1063 Hijrah bersamaan dengan 2 Disember 1652 Masehi, bahtera Indera Kayangan pun membongkar sauh lalu belayar meninggalkan Pelabuhan Makasar. Baginda Raja Gowa bersama pembesarnya serta sebilangan besar penduduk turut berada di pelabuhan untuk mengucapkan selamat jalan kepada Bujang serta semua anak buahnya yang sekian lama berkampung di situ. Dari atas anjung hadapan,Bujang dan isteri-isterinya melambai- lambai tangan ke arah mereka di darat.Ratna kelihatan mengesat airmata kerana terpaksa berpisah dengan ibu-bapanya buat sementara waktu,dipujuk oleh Chendana dan Balqis. Bujang pura-pura tidak melihat karenah isteri-isterinya yang sudah seperti adik-beradik itu.Dia juga pura-pura tidak nampak Mayang Sari yang turut berada di anjung tetapi tidak dilihat oleh sesiapa. Setelah Pelabuhan Makasar sudah jauh ditinggalkan,baru Chendana dan Balqis mengajak Ratna masuk ke kamar besar. Tinggal Bujang bersama anak gadisnya Fatimah masih di situ memerhati lautan luas.Tanpa disedari Fatimah,Mayang Sari juga berada di sebelah Bujang. “Ayah,boleh kah Fatimah ikut sama ke Mekah?”tiba-tiba Fatimah bertanya. “Apa kata ibumu?”Bujang bertanya balik. “Bonda suruh bertanya pada ayah,”jawapan Fatimah membuatkan Mayang Sari tersenyum. “Baiklah,”Bujang mengangguk tanda memberi kebenaran.”Belajar rukun haji betul-betul.” “Terima kasih,ayah,”Fatimah berlari masuk ke kamar besar untuk menyampaikan berita gembira itu kepada ibunya Balqis.Bujang dan Mayang berbalas-balas senyum. “Keletah betul anak gadis abang itu,”Mayang Sari memuji. Bujang hanya tersenyum. Tiba-tiba Puteri Rubiah pula menjelma di sisi Bujang.Puteri Rubiah bersalam dengan Mayang Sari,kemudian mencium tangan Bujang. “Rubiah baru datang dari istana,”beritahu Puteri Rubiah pada Bujang. “Baguslah,kedua-dua sudah berada di sini,”Bujang memerhati Mayang Sari dan Puteri Rubiah silih berganti.”Abang mahu kamu berdua membuat keputusan sekarang. Mahu menetap bersama abang di atas bahtera ini atau mahu berulang-alik antara alam ghaib?Kata pemutus di tanganmu.” “Seorang isteri wajib berada di samping suaminya,”Mayang Sari tidak bertangguh-tangguh lagi membuat keputusan yang dianggapnya terbaik. “Rubiah?” tanya Bujang pula pada isterinya dari Negeri Segara Masin itu. “Benar kata Mayang,”sokong Puteri Rubiah.”Hidup-mati Rubiah tetap bersama abang.” Bujang menarik nafas lega,gembira dengan keputusan kedua-dua isterinya itu. “Baiklah,”Bujang memaklumkan.”Abang berpegang pada janji kamu berdua.Namun,jika sekali-sekala kamu ingin kembali menemui kedua-dua orang tuamu,abang tidak melarang.Anggaplah Chendana,Balqis dan Ratna seperti saudaramu sendiri.Ajar mereka apa-apa yang perlu diajar.” “InsyaAllah,kami berjanji,abang,”ikrar Mayang Sari.Puteri Rubiah mengangguk tanda sependapat dengan madunya itu. Bujang masuk ke kamar besar.Melihat Ratna,Chendana,Balqis dan Fatimah sedang berbual-bual kosong di ruang dapur,dia pun keluar dari situ dan turun ke geladak memerhati anak buahnya menjalankan tugas masing-masing.Dia berpuas hati melihat Yaakub Lim dan Lela Wangsa berada di kamar kemudi mengendalikan pelayaran.Panglima Kahar dan Andika sedang berbual-bual di suatu sudut geladak sambil bermain dam manakala Aria Wulon duduk bersendirian membuat latihan Yoga. Bujang menghampiri Panglima Kahar dan Andika,memerhati mereka bermain seketika. “Bujang,Paman hendak kembali ke Jambi,”tiba-tiba Panglima Kahar meluahkan hasratnya Bujang dan Andika berpandangan,tidak menyangka sama sekali keputusan itu. “Paman tak ingin menyertai perjuangan kami?”tanya Bujang. “Paman sudah tua,”balas Panglima Kahar sambil bermain.”Biarlah orang-orang muda seperti kalian meneruskan perjuangan kami yang belum selesai. Balik dari Mekah,Paman akan terus menetap di Jambi.” “Kalau sudah demikian keputusan Paman,apakan daya Bujang,”ujar Bujang tenang. Dia meninggalkan Panglima Kahar dan Andika dengan permainan dam mereka. Beredar pada Aria Wulon yang sedang khusuk mengamalkan latihan Yoganya. Dia memerhati keadaan Aria Wulon yang sedang duduk bertafakur,badannya seakan-akan mengeluarkan asap nipis.Dia seperti bergelut dengan sesuatu secara kebatinan.Ada perlawanan batin yang dahsyat.Tiba-tiba Aria Wulon mengalah,seluruh badannya menggigil.Dia ternampak Bujang. “Kalau Panglima ada di sisi,ilmu hamba tidak menjadi,”katanya sambil tersenyum tawar.”Tadi hamba nampak badan Panglima penuh diseliputi cahaya kuning dan putih.Apa rahsianya?” “Rahsianya ada dalam amalanmu,Aria,”Bujang menjawab ringkas.Kerana tidak ingin berhujah dengan panjang-lebar,Bujang meninggalkan Aria Wulon menuju ke kamar kemudi.Kedatangannya tidak disedari oleh Yaakub Lim yang sedang asyik membelek peta besar di dinding dan Lela Wangsa yang mula belajar menggunakan kompas bahtera itu.Bila Bujang batuk-batuk kecil,baru mereka menyedari kehadirannya. “Panglima muncul senyap-senyap macam malaikat,”tegur Lela Wangsa,agak terkejut. Yaakub Lim hanya tersengih sambil terus memerhati peta.Bujang sama-sama meneliti peta itu. “Laluan mana yang kita ikut?”tanya Bujang ingin tahu. “Kita belayar menyeberangi Selat Makasar dan terus ke Pulau Belitong sebelum singgah di Batu Sawar,”Yaakub menunjukkan dengan jari telunjuknya di atas peta itu pelayaran yang bakal dilalui. “Musim tengkujuh sudah berakhir,”Bujang memberi pandangan.”Mengapa tidak diikut perairan jajahan Berunai?Kita boleh menyusur pantai hingga ke Pontianak,kemudian menyeberangi Laut Cina Selatan ke Johor.” “Cadangan hamba sebenarnya,Panglima,”Lela Wangsa mencelah.”Hamba pilih jalan yang paling dekat untuk cepat sampai ke tempat tujuan.Dulu kita bergantung pada angin untuk belayar tapi sekarang tidak lagi.Ribut-taufan dan laut yang bergelombang tidak menjadi halangan pada bahtera ini.” “Air minuman juga tidak perlu dicari kerana boleh ditapis dari air laut,”sokong Yaakub Lim. “Makanan segar sukar diperolehi di atas bahtera ini,”Bujang membantah.”Dengan menyusur pantai,kita boleh singgah di mana-mana pelabuhan untuk mendapatkan bekalan.Boleh juga kita melepas rindu pada tanah daratan.” “Kalau begitu hamba akan mengubah haluan,”akhirnya Lela Wangsa bersetuju.”Kita belayar melalui Banjarmasin,Telok Ketapang dan Pontianak.” “Benar kata Panglima,”Yaakub Lim angguk kepala.”Kita hanya bergantung kepada ikan sebagai makanan segar pada hal kita kekurangan sayur-sayuran dan buah-buahan.Terlalu lama kita di laut, memang membosankan,sekali-sekala mahu juga kita naik ke darat.” “Hamba sekadar memberi buah fikiran,”balas Bujang dengan tenang.”Sungguhpun bahtera ini dikatakan tidak akan tenggelam walau sekuat mana ribut dan taufan,tidak salah kita berikhtiar mengelak dari malapetaka.” Bujang meninggalkan kamar kemudi dan turun pula ke geladak tengah di mana terdapatnya kamar-kamar kepunyaan anak buahnya.Masih banyak lagi kamar yang kosong tanpa penghuni. Dia turun pula ke geladak bawah di mana ditempatkan berpuluh-puluh pucuk meriam besar, rentaka, lela,pemuras dan meriam penabur,semuanya sudah diisi dengan peluru dan siap-sedia untuk digunakan pada bila-bila masa.Bujuang turun ke bawah lagi memeriksa bilik kebal yang menempatkan barang-barang berharga,bilik bekalan senjata serta tempat-tempat simpanan yang masih kosong dan belum ditentukan kegunaannya. Akhir sekali,Bujang turun ke ruang paling bawah di mana ditempatkan segela jenis jentera yang menggerakkan bahtera itu.Semuan jentera itu tidak memerlukan sebarang penyelenggaraan,dihubungkan terus dari sumber tenaga matahari di atas.Terdapat juga jentera gomba yang membekalkan air ke seluruh bahtera.Bagaimana air itu ditapis dari laut,hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Perut bahtera itu diperbuat daripada kaca jernih sehingga jelas kelihatan batu karang dan ikan-ikan yang berenang di bawahnya. Banyak lagi rahsia tentang bahtera ajaib itu yang masih belum diketahuinya. “Sikit benar abang makan?”tegur Chendana tengahari itu bila melihat Bujang membasuh tangan. “Abang masih kenyang,”Bujang memberi alasan sambil mengesat misainya. “Mungkin masakan kami kurang sedap,”usik Mayang Sari mengukir senyum. “Bukan begitu,”Bujang melirik pada Rubiah yang mengetahui cerita sebenarnya. “Tak apalah,besok akan kami masakkan ikan pekasam goreng kegemaran abang,”Balqis pula mencelah.”Atau pun ikan bakar cicah air asam.” “Yalah,”Bujang mengalah,tidak mahu menjangkan cerita.Dia meneguk minumannya dan berharap perkara yang remeh-temeh itu tidak diperbesarkan lagi.Mayang Sari dan Puteri Rubiah yang dapat membaca isi hatinya mengangguk perlahan tanda faham.Bila tiba masanya yang sesuai, akan mereka ceritakan kisah yang sebenarnya kepada Chendana,Balqis dan Ratna. Bujang bangun membawa cangkir minumannya ke anjung.Pintu gelongsor yang menyambung- kan kamar besar dengan anjung sengaja dibiarkan terbuka,membiarkan udara segar dari luar masuk ke dalam. Dia duduk di bangku menikmati kehijauan pesisir pantai dan tanah daratan sambil menghirup minumannya. “Kehilangan abang tempoh hari adalah bersebab,”Bujang berkata dengan tenang.Walaupun suaranya tidak lantang,dia tahu semua isterinya sedang memasang telinga”Abang dijemput Raja Nasyaful Alam,pemerintah Segara Masin,ayahanda kepada Rubiah.” Bujang memerhati pula gunung-ganang yang jelas kelihatan sayup-sayup di kejauhan pedalaman di bawah terik matahari.Asap yang berkepul-kepul ke udara dari beberapa tempat menunjukkan terdapat perkampungan di sana. “Abang dititahkan berjumpa dengan Rijalul Ghaib,pemuda berilmu tinggi dari zaman Nabi Ibrahim alaihissalam,”Bujang meneruskan ceritanya.”Cerita selanjutnya,tanyalah Rubiah.” Bujang menghabiskan minumannya,meletakkan cangkir di atas meja lalu turun ke kamar kemudi. Tengahari itu,bahtera mereka berlabuh di perairan Banjarmasin untuk membeli bekalan makanan segar seperti yang dicadangkan.Kerana air sedang surut,sampan terpaksa digunakan untuk berulang-alik ke pengkalan kayu.Semua anak kapal dibenarkan ke daratan untuk membeli-belah atau bersiar-siar di perkampungan orang Banjar itu.Bujang turut membawa semua isterinya membeli barang-barang keperluan,termasuk Mayang dan Rubiah yang menjelma seperti manusia biasa.Menjelang petang,mereka belayar semula setelah air pasang.Sementara menunggu ketibaan malam,Bujang bermain sepak raga dengan beberapa orang anak buahnya. Ada yang membuat latihan silat,ada juga yang menangkap ikan menggunakan jarring. Pelayaran mereka diteruskan tanpa halangan.Mereka singgah di Telok Ketapang,Pontianak dan Pulau Lingga.Di Riau dan Bentan,mereka bergabung pula dengan lancang-lancang dari angkatan fisabilillah yang berpengkalan di perairan tersebut. Tujuh hari kemudian iaitu pada pagi Sabtu 17 Safar 1063 Hijrah bersamaan dengan 9 Disember 1652 Masehi, dengan diiringi oleh beratus- ratus buah lancang perang,Bahtera Indera Kayangan berlabuh di Pengkalan Batu Sawar. Perairan yang sudah sesak dengan kapal-kapal dagang bertambah sesak dengan kehadiran mereka.Bujang membenarkan anak buahnya pulang menemui anak-isteri dan membuat persediaan ke Tanah Suci. Setelah mengizinkan Chendana membawa semua madunya bermalam di Kampung Panchor,Bujang tidak membuang masa lagi terus mengumpulkan ketua-ketua lancang di tempat persembunyian rahsia mereka di tengah hutan paya bakau.Sambil menjamu selera,mereka berbincang dan mengatur rancangan rapi bagaimana hendak mengusir Syarikat Hindia Belanda atau VOC keluar dari Alam Melayu buat selama-lamanya.Sebelum berpisah menjelang senja,sekali lagi mereka berbai’ah dan bersumpah akan tetap setia pada perjuangan jihad demi amal maaruf nahi mungkar.Kemudian mereka bersurai mengikut haluan masing-masing. Malam sudah menjelma ketika Bujang merapatkan perahunya ke pelantar berhampiran rumah Datuk Temenggung di Kampung Panchor.Pelita sudah pun dipasang,menandakan semua isterinya sudah berkumpul di sana.Bulan mengambang terang. Bujang mengambil wuduk di atas tangga pelantar di mana dia pernah bermenung mengenangkan kehilangan Chendana yang disangka mati lemas.Setelah membersih-kan capalnya,dia mengatur langkah ke rumah bapa mertuanya. Malam itu Bujang berpeluang bersembahyang jemaah bersama ibubapa mertuanya,isteri-isterinya serta anaknya Fatimah.Atas desakan mertuanya,dia terpaksa menjadi imam. Selepas makan malam,seperti kebiasaanya Datuk Temenggung berihat mengambil angin di serambi bersama Bujang,membiarkan kaum perempuan dengan urusan mereka. “Petang tadi semasa ketiadaanmu,Duli Yang Dipertuan menghantar utusan menjemputmu ke istana besok,”Datuk Temenggung memulakan perbualan sambil meggulung rokok daunnya. “Mungkin ada kaitan dengan jawatanmu sebagai Laksamana Muda Johor.” “Bujang sudah lama meletak jawatan,”balas Bujang tenang. Datuk Temenggung menyalakan rokoknya dengan api pelita,kemudian menyedut rokok itu dalam-dalam.Asap rokok naik berkepul-kepul memenuhi ruang serambi.”Ayah juga bercadang hendak meletak jawatan sebelum mengikut kau ke Mekah.Ayah bukannya muda macam dulu. Tak larat lagi ke hulu-ke hilir menjunjung titah Duli Yang Dipertuan.” “Balik dari Mekah,ayah hendak tinggal di mana?”tanya Bujang. “ Di mana lagi kalau bukan di kampung ini,”ujar Datuk Temenggung. “ Tinggallah bersama kami di atas bahtera,”Bujang mempelawa mertuanya. “ Nak jadi macam Orang Laut?”tempelak Datuk Temenggung sambil ketawa kecil.” Biarlah ayah tinggal di darat.Boleh bercucuk-tanam.Boleh berkebun.” “Bujang bimbang kalau-kalau Paduka Raja membalas dendam,”Bujang menyuarakan apa yang tersirat di hati.”Sejak menjadi Laksamana dulu,Tun Jamil memang berdendam dengan kita.” “Kalau hendak mati,di mana-mana pun kita boleh mati,”bangkang Datuk Temenggung. Bujang terdiam,rasa hormatnya pada mertuanya mengatasi dendam dan marah. Datuk Temenggung juga diam.Dia tahu kepulangan Bujang bukan hendak mendengar kemelut yang berlaku di kalangan sultan dan pembesar Johor. “Semasa balik kemari tadi,ayah nampak banyak lancang kita sudah belayar meninggalkan Batu Sawar,”Datuk Temenggung beralih ke tajuk lain.”Entah kenapa mereka tergesa-gesa benar.” “Supaya tidak menimbulkan syak-wasangka pada musuh kita,lebih cepat mereka belayar,lebih bagus,”Bujang memandang tepat ke wajah mertuanya.”Begitu juga dengan kita.” “Besok,ayah dengan Tun Lela Perkasa akan memunggahkan barang-barang keperluan ke atas bahtera,”jawab Datuk Temenggung,memahami maksud kata-kata menantunya.’Siapa lagi yang boleh ikut kita?” “Sesiapa sahaja asalkan boleh menyimpan rahsia,”jelas Bujang. “Kita hendak ke Mekah,bukan hendak pergi berperang,”bidas Datuk Temenggung. “Bahtera itu bukan sebarang bahtera,tetapi bahtera dari alam ghaib,”Bujang berterus-terang dengan mertuanya.”Bujang khuatir kalau-kalau rahsia ini bocor ke tangan musuh kita dan digunakan sebagai modal untuk menjatuhkan kita.Bukan semua berpeluang berkahwin dengan orang bunian.” Datuk Temenggung mengangguk tanda faham maksud menantunya itu.”Orang yang tidak memahami perjalanan ilmu persulukan akan menuduhmu mengamalkan ajaran sesat.” “Itulah yang Bujang bimbang,”sampuk Bujang. “Pandai-pandailah ayah memilih mereka yang boleh dipercayai,”Datuk Temenggung memberi keyakinan.”Bila kita hendak membongkar sauh?” “Lusa,selepas tengah malam,”Bujang memutuskan. “Mengapa tergesa-gesa sangat hendak pergi dari sini?”tanya Chendana dalam rangkulan Bujang setelah melepaskan penat-lelah melampiaskan nafsu masing-masing. Bujang memasang telinga.Bilik yang dikongsi bersama Chendana senyap sunyi. Ratna dan Balqis yang berada di bilik sebelah sudah lama tidur. Begitu juga dengan Fatimah yang menumpang bilik datuk dan neneknya. Mayang dan Rubiah sudah kembali ke bahtera. “Abang tak sedap hati,”Bujang menjawab pertanyaan Chendana akhirnya.”Kalau-kalau kehadiran kita dapat dihidu oleh anjing-anjing Belanda.” “Tapi,bahtera itu dari luar kelihatan hampir sama seperti kapal lain,”tingkah Chendana. “Rambut manusia sama hitam,hati lain-lain,”Bujang melepaskan Chendana dari pelokannya, kemudian bangun menyarungkan kain menuju ke jendela. Jendela itu dibuka,membiarkan angin larut malam yang dingin menerpa masuk bersama bunyi kuang dari rimba.Bulan yang mengambang sudah hampir tenggelam di ufuk barat. “Mulut manusia masakan boleh ditutup,”tambah Bujang lagi,merenung malam yang gelap. “Tak usahlah abang risaukan perkara yang belum berlaku,”bisik Chendana memujuk suaminya yang tidak keruan.”Itu di luar pengetahuan kita.Serahkan semuanya pada Allah.” Bujang hanya mengeluh. Tangannya mencapai kain basahan sebelum menutup jendela itu. “Abang nak ke mana pula ni?” tanya Chendana dari pembaringannya. “Pergi mandi kat sungai tu.” “Buat apa mandi malam-malam buta ni?” “Pura-pura bertanya pula,”sindir Bujang.”Kalau tak mandi,masakan boleh bertahajud.” “Abang pergilah,”Chendana menolak.”Chendana tak tahan. Sejuk sangat ni.” Berhati-hati Bujang memijak lantai kayu beralas tikar mengkuang itu supaya tidak mengganggu mereka yang masih diulit mimpi.Pelita damar yang dipasang di serambi sudah pun padam,kawasan di situ diselimuti kegelapan.Diam-diam dia mencapai capalnya lalu mengatur langkah ke pelantar. Suasana di atas pelantar itu samar-samar sahaja kerana bulan mengambang tidak kelihatan lagi. Dalam samar-samar itu,dia ternampak satu lembaga berambut panjang.Hatinya berdebar-debar. “Balqis bukan hantulah,”bisik lembaga yang hanya berkain kemban itu. “Hai,Balqis,”tegur Bujang merapati isterinya.”Dah larut malam pun nak mandi juga.” “Kita mandi sama-sama,”Balqis membisikkan sesuatu ke telinga suaminya. Sebagai jawapan,Bujang menyelak kain Balqis dan terus merebahkan isterinya ke lantai pelantar di tepi sungai itu.. “Apa yang Panglima senyumkan itu?” tegur Yaakub Lim pada pagi Ahad 18 Safar 1063 Hijrah bersamaan dengan 10 Disember 1652 Masehi. Bujang yang sedang memerhati barang-barang dipunggah naik ke atas bahtera bagaikan terkejut dari lamunan.Dia hanya tersenyum sambil menggelengkan kepala,soalan Yaakub tidak dijawab. “Berapa ramai yang akan ikut sama ke Mekah?”tanya Bujang,melupakan kenangan semalam. “Kebanyakannya kaum-keluarga dan sanak-saudara anak buah Panglima,”Aria Wulon yang menemani Yaakub Lim mencuri peluang menjawab.”Kami berdua tak ada keluarga di sini.” “Hamba ada keluarga di Melaka,”Yaakub Lim membela diri.”Tapi dah lama tak balik.” “Nanti kita singgah di Melaka,bolehlah kamu menemui keluargamu,”balas Bujang. “Dah lama hamba tak balik ke rumah,Panglima,”Yaakub Lim mengulangi kenyataannya pada Bujang,suaranya berbaur rasa sedih dan keciwa.”Dah hampir lima tahun.” “Terpulanglah,”Bujang tidak suka mengorek rahsia rumah-tangga orang lain,lebih-lebih lagi rakannya.”Apa pun,kita akan singgah di beberapa tempat hingga ke Teluk Benggala.” “Kenapa tidak melintas Lautan Hindi,Panglina?”tanya Aria Wulon.”Lebih cepat.” “Kenapa terburu-buru,Aria?”Yaakub menjawab bagi pihak Bujang.”Kita masih ada masa yang banyak. Musim haji lambat lagi.Bulan Zulhijah. Sekarang baru bulan Safar.” Bujang memerhati Kota Batu Sawar tempat bersemayam sultan Johor yang kelihatan jelas dari atas bahteranya.”Sebenarnya,kita singgah dengan bersebab,sambil menyelam minum air.” Yaakub Lim dan Aria Wulon berpandang-pandangan,tidak memahami maksud Bujang. Bujang beralih pula perhatiannya kepada Kota Seberang yang pernah menjadi tempat almarhum ayahandanya bersemayam sebelum mangkat di Tambelan.”Dalam berjuang kita berniaga,dalam berniaga kita berjuang,”Bujang berteka-teki lagi.”Itulah jihad namanya.” “Kita hendak berniaga pula,Panglima?”tanya Aria Wulon seakan menyindir. “Kita merisik dulu,”jelas Bujang.”Siasat tentang penawaran dan permintaan.” “Penawaran dan permintaan?”tanya Yaakub Lim. Aria Wulon menggaru-garu kepalanya. “Kamu orang cina,Yaakub,”balas Bujang.”Orang cina pandai berniaga.Tentu kamu faham apa yang hamba maksudkan.” “Ya,”akui Yaakub Lim.”Caranya mudah sahaja. Beli murah jual mahal.” “Tidak,”bantah Bujang.”Ikut cara kita,beli mahal jual murah.” Bujang terus beredar pergi. Yaakub Lim dan Aria Wulon terlopong. “Angkatan kita diserang?”tanya Bujang petang itu di atas geladak. “Benar,Panglima,”Lela Wangsa mengesahkan,matanya berkisar memerhati rakan-rakan lain yang sibuk bermain sepak raga,berbual-bual kosong dan menangkap ikan.”Berita ini hamba terima dari orang-orang kita yang terselamat.” Bujang membuka ikat kepala dan mengesat peluh di mukanya. Badannya juga bersimbah peluh kerana baru lepas bermain sepak raga.”Sudah diberitahu pada orang lain?” “Hanya pada Panglima,”Lela Wangsa memerhati lagi sekelilingnya.”Yaakub,Andika dan lain-lain belum tahu-menahu.” “Rahsiakan dulu khabar-berita ini,”Bujang berpesan.”Berapa orang yang terkorban?” “Empat-lima orang sahaja,Panglima,”beritahu Lela Wangsa.”Tapi ramai yang luka-luka terkena bedilan.Beberapa buah lancang kita rosak teruk.Mujurlah mereka mendengar kata Panglima dan belayar awal meninggalkan Batu Sawar.Sebahagian besar dari angkatan kita terlepas dari kepungan dan berjaya berundur ke pulau-pulau berhampiran.Jika tidak,jumlah korban kita mungkin jauh lebih besar.” Bujang memerhati anak buahnya yang sedang berbual-bual dengan keluarga masiong-masing. “Hamba yakin ini semua angkara Belanda,”tambah Lela Wangsa membuat terkaan. “Atau penyuluhnya dari orang Melayu sendiri,”Bujang mengandaikan.”Silap hamba juga kerana membenarkan lancang-lancang lain menyusul kita dari belakang.Lain kali kita berpecah,kita bergerak berasingan.Keluargamu sudah naik kemari?” “Sudah,Panglima,”jawab Lela Wangsa.”Ayah dan ibu hamba juga ikut sama. Yang lain hamba rasa kebanyakannya sudah berada di atas bahtera ini kerana tidak mahu ketinggalan.” “Beritahu kawan-kawan kita supaya bersiap-sedia,”perintah Bujang.”Tengah malam ini tepat pukul dua-belas kita belayar meninggalkan Batu Sawar.” “Baik,Panglima,”patuh Lela Wangsa. “Bilik tidur kami memang menakjubkan,Bujang,”Mak Siti menerangkan sambil menjeling suaminya Datuk Temenggung.”Serba-serbi ada dalam bilik itu.” “Di sini kami menyebutnya kamar,Mak,”sampuk Chendana. Bujang hanya tersenyum memerhati mereka makan malam.Bapa dan ibu mertuanya,Chendana, Balqis,Ratna,Rubiah,Mayang,Fatimah – semua yang disayanginya ada di situ.Hidupnya terasa lengkap. Dia menyuap nasi lambat-lambat. “Bila kita hendak bertolak,Bujang?”tiba-tiba Datuk Temenggung bertanya sambil mengunyah. “Kalau tiada aral,malam ini jua,ayah,”ujar Bujang tenang,matanya mengerling pada jam besar di dinding yang menunjukkan hampir pukuk sembilan malam.Lebih-kurang tiga jam lagi.Dia melihat Mayang menjeling ke arahnya.Pandangan mereka bertemu.Bila dia memandang ke arah Rubiah, Rubiah mengangguk sedikit.Ternyata mereka berdua sudah mengetahui berita kemalangan yang menimpa angkatannya siang tadi. “Ayah yang menubuhkan angkatan ini,ayah kenal semua orang-orang kita?”tanya Bujang selamba. “Tidak semua,”Datuk Temenggung mengaku.”Orang-orang kita berada di mana-mana. Ayah hanya berhubung dengan ketua-ketua mereka dari setiap kampung dan daerah. Mustahil untuk mengenali semuanya.” “Tidak mustahil ada musang berbulu ayam,ada musuh dalam selimut,”bidas Bujang. “Ya,tidak mustahil,”Datuk Temenggung agak terkejut.”Tapi,kita semua sudah berbai’ah,sudah menjunjung Qur’an,sudah mengangkat sumpah akan taat setia pada perjuangan. Sesiapa yang belot,maut padahnya.” Bujang terdiam,hanya mulutnya terus mengunyah makanan. Dari jendela kamar kemudi menjelang tengah malam,diam-diam Bujang mengamati anak buahnya yang sibuk dengan pekerjaan masing-masing di atas geladak bermandikan cahaya terang rembulan yang mengambang penuh.Yaakub Lim dan Lela Wangsa sedang meneliti peta besar yang dilekatkan pada dinding.Jam menunjukkan hampir tengah malam. “Yaakub,semak semua senarai penumpang,”perintah Bujang tanpa berpaling. Yaakub Lim dan Lela Wangsa saling berpandangan.”Hamba belum buat senarai,Panglima,” jawab Yaakub yang tidak mengetahui apa yang berlaku. “Siapkan senarai lengkap,”perintah Bujang lagi.”Termasuk semua anak kapal.” Bujang keluar ke geladak. Selain dari mereka yang bertugas,yang lain tidak kelihatan di atas geladak.Suasana sunyi sepi.Bujang naik ke anjung belakang meninjau kawasan sekitar bahtera. Tepat pada waktu tengah malam,sauh pun diangkat dan bahtera itu mula bergerak.Air sungai berolak tenang,berkilau-kilauan di bawah cahaya bulan. Mula-mula perlahan,kemudian beransur menjadi laju,senyap-senyap membelah ombak meninggalkan pengkalan Batu Sawar. Haluan bahtera berkepala naga menuju tepat ke muara Sungai Johor.matanya mengeluarkan cahaya menyoroti laluan yang diambil.Kota Batu Sawar sunyi sepi,begitu juga Kampung Panchor. Dari anjung belakang yang tinggi itu,Bujang memantau setiap kapal,lancang dan sampan. Setelah yakin bahtera itu tidak diekori,dia kembali semula ke geladak atas dan terus masuk ke kamar kemudi. Di bantu oleh Lela Wangsa,Yaakub Lim begitu tekun mmengemudikan bahtera itu,matanya tidak lepas-lepas memandang ke hadapan.Aria Wulon tidak ada di situ bersama mereka. “Anak-isterimu apa khabar,Lela?Bujang bertanya sambil melihat jarum kompas. “Baik,Panglima,”ujar Lela Wangsa.”Mereka semua sudah tidur.Ibubapa hamba tinggal di kamar sebelah. Kalau apa-apa hal,mereka boleh tengok-tengokkan anak-anak hamba.” “Aria Wulon?”tanya Bujang lagi dengan selamba. “Berihat agaknya,”jawab Lela Wangsa tanpa mengesyaki apa-apa.”Dia akan gantikan kami subuh nanti bersama Andika.” “Pastikan kamu berempat sahaja dibenarkan kemari,”Bujang memberi ingatan. “Walaupun Panglima Kahar?”tanya Yaakub Lim yang membisu sejak tadi. “Walaupun isteri dan anak hamba sendiri,”Bujang menegaskan.”Siapa yang bertugas menjaga meriam dan lain-lain kelengkapan perang?” “Tun Berkat,Tun Dali ,Wan Hanafi, Tok Putih, Belitong ,Awang Long ,Jusuh,Hang Isap, Tok Kilat,Dewani dan Engku Jaafar menjadi ketua kumpulan masing-masing,”Lela Wangsa menerangkan.”Dang Lenggang dan Chut Kencana mewakili kumpulan serikandi setelah isteri Panglima,Tun Chendana,menarik diri.” “Pastikan mereka bergilir-gilir pada setiap masa,siang atau malam,”Bujang mengingatkan mereka dengan tegas.”Begitu juga dengan kamar kemudi ini. Masa untuk bermain sudah tamat. Kali ni,kita akan bersungguh-sungguh.” “Maksud Panglima?”tanya Lela Wangsa. “Mulai besok,akan kita buktikan siapa kita sebenarnya,”tegas Bujang perlahan. Besoknya Isnin 19 Safar 1063 Hijrah bersamaan dengan 11 Disember 1652 Masehi,pagi-pagi lagi bahtera mereka sudah menghampiri Kuala Kesang yang bersempadan dengan Melaka. “Andika,Lela Wangsa,perintahkan pasukan penembak bersiap sedia,”Bujang memberi perintah kepada kedua-dua hulubalangnya itu.”Hamba akan beri arahan dari sini.” ‘Baik,Panglima,”serentak mereka menjawab,serentak juga mereka bergegas keluar. Bujang melirik pada Yaakub Lim dan Aria Wulon yang menjaga kemudi. “Yaakub,keluargamu bertempat tinggal di mana?’tanya Bujang,merenung ke darat. “Dekat Bukit Cina,di luar Kota Melaka,”jawab Yaakub.”Tapi,dia kerap berada di rumah orang tuanya di Kampung Lubuk Cina.” “Bagus,”Bujang berpuas hati.”Ini memudahkan kerja hamba.” Melihat Kota Melaka yang dikawal rapi itu semakin hampir,Bujang mendekat sebuah punat berhampiran celaga kemudi.Punat itu ditekan,mukanya didongakkan kea rah satu corong di atas kepalanya,lalu memberi perintah,”Pasukan penembak,bedil hanya Kota Melaka. Hamba ulangi, hanya Kota Melaka.Mulakan sekarang!Tembak!” Sebentar kemudian,bergegar bahtera itu apabila meriam-meriam mula memuntahkan peluru ke arah Kota Melaka.Bedilan demi bedilan dilepaskan bertalu-talu tanpa henti. Dari jendela kamar kemudi,Bujang meninjau kerosakan ke atas kota peninggalan Portugis itu.Tembok batu yang tebal itu mula berlubang diterjah peluru meriam,salah satu pintu gerbang hancur berkecai,tiang bendera rebah mencium bumi.Di sana-sini kelihatan kepulan asap apabila barisan pertahanan Belanda membalas serangan. Melihat Kota Melaka semakin jauh ditringgalkan,Bujang menekan semula punat tadi lalu memberi perintah,”Berhenti membedil!Bersihkan semua senjata!” Sebentar kemudian,bedilan dihentikan dan bahtera itu tidak bergegar lagi. “Hamba tidak tahu pun kegunaan punat itu,”Yaakub Lim mengeluh. “Kau perlu belajar lagi,Yaakub,”balas Bujang sambil menuding pada kitab lama pemberian Raja Nasyaful Alam yang terletak di atas rak. Dia keluar dari kamar kemudi itu dan terus turun ke geladak di mana ditempatkan semua meriam. Dia memerhati seketika meriam-meriam itu dicuci dan dibersihkan sebelum beredar ke bilik bekalan ubat letupan.Bilik itu dibukanya. Dia memeriksa pula kelengkapan yang terdapat dalam bilik itu. “Peluru meriam semakin berkurangan,”Bujang memberitahu Lela Wangsa dan Andika ketika terserempak dengan mereka di geladak atas.” “Itu yang hamba terlupa memaklumkan kepada Panglima,”Andika menjawab penuh kesalan.” Baru tadi kami menyedarinya.Hamba dengan Lela baru berkira-kira hendak menemui Panglima.” “Tidak mengapa,”Bujang merenung jauh ke hadapan.”Beringat sebelum kena,berjimat sebelum habis.” “Kata Yaakub,Tuan Jourdain kerap mendapatkan bekalan senjata api dan peluru dari Benua Hindi,”Lela Wangsa mencelah.”Hamba lupa nama pelabuhannya.” “Kamu berdua uruskan dengan Yaakub dalam perkara ini,”perintah Bujang.”Jangan lupa buat catatan setiap perbelanjaan kita.” “Apa yang abang tulis tu?”tanya Rubiah ketika Bujang mengisi buku catatan hariannya lewat pagi itu.Bujang hanya berkain dan tidak berbaju manakala Rubiah cuma berkemban. Mereka baru selesai berhempas-pulas memuaskan nafsu masing-masing. “Kisah hidup abang sejak dari kecil,”ujara Bujang sambil menulis. “Sayang sekali,Rubiah tidak boleh membaca,”Rubiah menyisir rambutnya yang panjang terhurai hinga ke pinggang.”Rubiah hanya faham tulisan Jawi.Bahasa apa tu?” “Bahasa Melayu juga,”Bujang tergelak.”Cuma ditulis dalam tulisan Rumi,tulisan yang digunakan oleh Belanda,Portugis dan orang-orang di negeri atas angin.” “Abang masih ingat setiap kejadian dalam hidup abang?”Rubiah menguji suaminya. :Mengapa tidak?”Bujang membela diri.”Kalau kitab suci Al-Qur’an ssebanyak lebih enam ribu ayat mampu abang hafal,apalah sangat riwayat hidup abang.” “Kalau abang mahu,Rubiah boleh bantu,”Rubiah menawarkan diri. “Apa yang Rubiah tahu tentang diri abang?”tempelak Bujang.”Kita baru sahaja berkahwin.” “Abang silap membuat perhitungan,”Rubiah mula menyanggul rambutnya.”Rubiah sudah berusia lima ribu tahun.Keturunan abang boleh Rubiah kesan hingga ke Nabi Muhammad s.a.w.” “Lima ribu tahun?”Bujang terperanjat besar,wajah Rubiah ditenungnya. Rubiah tersenyum.”Rubiah tidaklah terlalu tua.Kalau mengikut kiraan manusia,usia Rubiah lebih-kurang suku abad,lebih muda dari abang. Biasanya kami boleh hidup sampai seratus ribu tahun kalau tidak diserang penyakit atau mati terbunuh. Usia ayahanda sendiri hampir mencecah sepuluh ribu tahun.” “Bagaimana dengan Mayang?”Bujang ingin tahu.”Berapa usianya?” “18 atau 19 tahun mengikut kiraan manusia,”Rubiah membetulkan sanggulnya.”Hampir sebaya dengan Daeng Ratna.Dia masih perawan,tidak seperti Rubiah yang sudah menjanda.” “Rubiah seorang janda?”sekali lagi Bujang terkejut. “Arwah suami Rubiah terbunuh ketika berperang dengan jin kafir pada zaman Nabi Isa alaihissalam dulu,”Rubiah mendedahkan rahsia dirinya.”Kami tidak dikurniakan anak.” “Tapi,abang rasa Rubiah seperti anak dara,”Bujang mengusik isterinya. “Yang membezakan antara dara dengan tidak hanyalah selaput nipis seperti kulit bawang,” Rubiah mengukir senyum.”Yang lain semuanya sama.” “Seronok juga jadi golongan bunian,ya?”Bujang menyimpan kalam dan dakwatnya. “Seronok atau tidak,Allah sudah takdirkan kami begini,”Rubiah mengenakan baju kurung. “Rubiah nak ke mana pula?”tanya Bujang bila melihat isterinya memakai kain selubung pula. “Menyediakan makanan tengah hari,”balas Rubiah selamba lalu ghaib dari pandangan. Bujang menggelengkan kepala,impiannya untuk memadu kasih lagi hancur berkecai. Sambil mengeluh sendirian,dia mencapai kain basahan lalu masuk ke bilik mandi. Ketika matahari tegak di atas kepala,bahtera Indera Kayangan singgah di Kuala Selangor. Kerana cuaca panas,tidak ramai yang ingin menjejak kaki di darat.Sementara menunggu, sebahagian dari mereka turun ke laut memasang pukat manakala yang lain-lain mengambil angin di anjung.Sementelah lagi,Kuala Selangor pada waktu itu tidak lebih dari sebuah perkampungan nelayan. Bujang naik ke darat atas desakan Ratna. “Apa yang menarik sangat di sini?”tanya Bujang pada isterinya ketika mereka berjalan-jalan di sekitar pasar yang kelihatan agak lengang. “Berasek dan makanan Bugis yang lain,”mata Ratna mencari-cari gerai yang dimaksudkan. “Makanan Bugis? Di sini?”Bujang seakan-akan tidak percaya. “Kata Andika,di sini terdapat beberapa keluarga Bugis yang membuat perkampungan,”Ratna menerangkan.”Ketuanya bernama Labachu atau Labedu. Ada bau-bau bacang dengan Ratna.” “Ratna hendak mencarinya?”tanya Bujang. “Tidak,”Ratna menafikan.”Hanya sekadar singgah membeli makanan Bugis.” Setelah berjalan beberapa ketika,akhirnya mereka menemui gerai yang dimaksudkan. Malangnya,waktu itu sudah tengah hari,ramai yang memesan nasi dan lauk-pauk. Satu-satunya berasek yang tinggal sudah hampir basi. “Ada lagi berasek?”tanya Ratna pada pemilik gerai itu. “Ini saja yang tinggal,”jawab lelaki separuh tua itu.”Kalau nak juga,kena tunggu besok pagi.” “Besok pagi?”Bujang memberontak.”Tapi…” “Kami akan tunggu besok pagi,”Ratna cepat-cepat memotong cakap suaminya. “Tuan hamba nak makan?Mandre nandre?”tanya pemilik gerai itu lagi. Mula-mula Bujang ingin menolak pelawaan itu,mengenangkan makanan sudah pun dimasak di atas bahtera.Namun,bila pemilik gerai itu berbahasa Bugis,dia mengangguk sahaja,demi menjaga hati Ratna.Mereka pun duduk di sebuah meja menunggu makanan tiba. “Mengapa kepingin sangat hendak makan berasek?”tanya Bujang kehairanan. “Entahlah,”balas Ratna.”Tiba-tiba sahaja Ratna rasa kepingin.” “Ratna mengidam?”Bujang ketawa kecil.”Tapi,kita baru seminggu…” “Kata Mayang,Ratna sudah berbadan dua,” “Mayang?”Bujang merendahkan suaranya.”Mayang yang mengatakan begitu?” Ratna hanya mampu angguk kepala,matanya berkaca tanda terlalu gembira. Bujang juga terlalu gembira.Kalaulah mereka bukan berada di gerai,sudah lama Ratna dipeluknya erat-erat. Pemilik gerai datang membawa dulang berisi nasi dan lauk-pauk yang diisi di dalam pinggan. Tanpa sepatah kata,mereka mula menjamu selera. Bujang tidak bercakap kerana asyik memikirkan nasibnya yang akan bergelar ayah lagi.Ratna lebih-lebih lagi kerana akan menjadi seorang ibu buat pertama kalinya. Mereka senyum sendirian,tenggelam dalam khayalan masing-masing. “Tuan hamba?”pemilik gerai untuk menghampiri Bujang selepas mereka habis makan. “Ya?”Bujang terpinga-pinga kehairanan.”Berapa bayarannya?” “Dua guilder,”jawab pemilik gerai itu,memegang satu bungkusan besar berbalut daun pisang. “Biar Ratna membayarnya,abang,”Ratna menyerahkan wang yang diminta. “Terima kasih,”ujar pemilik gerai itu,kemudian menghulurkan bungkusan yang dibawanya kepada Bujuang.”Baru hamba teringat.Ada beberapa bungkus berasek lagi yang belum dijual. Hamba simpan.Cadang nak pulangkan tapi tak sempat.Ambilllah.” “Nampaknya tidak perlu hamba tunggu sampai besok pagi,”balas Bujang.”Berapa harganya?” “Ambillah,hamba beri percuma,”pelawa pemilik kedai itu.”Tadi hamba terdengar isteri tuanhamba kepingin hendak makan berasek.Hanya orang Bugis yang kenal berasek.” “Hamba orang Bugis,”Ratna mengaku.”Nama hamba Daeng Ratna Sari.” “Puteri tunggal Empu Daeng Relaku?”pemilik kedai itu terus menyusun sembah menjunjung duli.Pelanggan-pelanggan lain tercengang kehairanan. Lama selepas meninggalkan Kuala Selangor.pengalaman itu masih menjadi tajuk perbualan Ratna serta isteri-isteri Bujang yang lain.Tambah rancak lagi apabila Mak Siti masuk campur dengan menokok-tambah cerita lain pula.Bujang,Datuk Temenggung dan Fatimah lebih banyak mendengar dari berkata-kata. “Chendana dulu lagi dahsyat,kepingin nak makan daging pelanduk jantan,”Mak Siti membuka cerita baru pula ketika jamuan makan malam.”Entah-entah nak dapat anak lelaki.” “Merepeklah Mak ni,”bantah Chendana di celah gelak-ketawa ramai. “Mula tu tak sempat sebab Chendana dicolek orang,”Mak Siti mengungkit kisah lama.”Mujur daging pelanduk itu makcik keringkan,buat daging salai,tahan berbulan-bulan. Agaknya orang bunian pun macam ni,ya,Mayang? Rubiah?” Mayang dan Rubiah serba-salah menjadi mangsa mulut becuk Mak Siti. “Yang sudah tu sudahlah,Siti,”Datuk Temenggung menegur isterinya.”Dari siang hingga ke malam,tak habis-habis bercerita.Mengidamlah.Kepinginlah. Kita tengah makan ni,nanti tercekik.” Teguran Datuk Temenggung melegakan keadaan.Masing-masing makan dengan tenang. “Bujang,kita hendak singgah di Kuala Kedah?”tanya Datuk Temenggung Bujang mengangguk sambil menjawab,”Kita perlu tambah bekalan beras,ayah.” “Lama benar ayah tidak menjenguk Kuala Kedah,”tambah Datuk Temenggung.” Lebih sepuluh tahun lamanya.Lepas Kedah jatuh ke tangan Belanda,ayah tak balik-balik lagi.Tentu negeri itu sudah banyak berubah,ya?” “Memang banyak berubah,ayah,”Bujang membasuh tangan.”Harap-harap perubahan ini membawa kebaikan kepada perjuangan kita.” “Kanda Sultan memang menyokong perjuangan abang,tidak seperti almarhum Ayahanda,” Balqis pula menyampuk.”Di sana ramai pengikut abang.” “Memang sesuai benar kawasan itu dibuat markas kita,Bujang,”Datuk Temenggung turut menyokong.”Sementelah lagi,ayah dengar Pulau Pinang dan Langkawi sudah diserahkan oleh sultan kepadamu sebagai pemilik mutlak turun-temurun.” “Ya,sebahagian dari angkatan kita memang berpengkalan di sekitar perairan tersebut,”Bujang meneguk sedikit minumannya.”Balik dari Mekah,akan Bujang cari mereka.” “Kenapa tidak sekarang?”tanya Datuk Temenggung. “Elok kita tumpukan dulu pada urusan haji,”nasihat Bujang.”Sebagai tetamu Allah.” “Menunaikan haji bukat setakat menyempurnakan segala syarat tetapi lebih dari itu,”Mayang menjelaskan kepada Bujang malam itu ketika mereka berihat di pembaringan. “Ajarkan kepada mereka hikmah di sebaliknya,”Bujang masih enggan melepaskan isterinya. “Abang sahajalah yang ajar,”Mayang terkebil-kebil kegelian.”Bukankah abang pernah ke Mekah suatu ketika dulu?” “Itu dulu,”Bujang merenggangkan badan,bahagian yang basah berlendir dikesat dengan kain.”Masa pertama kali abang menjejak kaki ke Gunung Jerai.Mayang setiap tahun ke tanah suci, Mayang lebih berpengalaman.” “Bagaimana abang ke sana dulu?”tiba-tiba Mayang bertanya. Bujang termenung seketika.”Sukar untuk diterima akal,”ujarnya ringkas bagaikan enggan bercerita tentang pengalaman aneh itu pada sesiapa pun. “Kalau Allah mengizinkan,tidak ada yang mustahil,”Mayang turut mengesat bahagiannya yang basah yang baru sahaja diterjah bertubi-tubi,mendatangkan nikmat yang tidak terhingga. Bujuang bangun mengenakan kainnya semula lalu beredar ke jendela.Nafsunya mengendur bila teringatkan kebesaran Allah.Dia memerhati alam yang bersimbah dengan cahaya rembulan. Mayang dapat mengesan perasaan suaminya.Dia juga bangun,kain yang terlondeh itu dikemban ke paras dada.Dia mengirai-irai rambutnya yang panjang terhurai itu. “Kalau abang enggan bercerita,tidak mengapa,”Mayang menekan punat menyalakan lampu kamar tidur mereka.Dia beredar ke meja solek dan mula menyisir rambutnya yang kusut-masai itu. “Bukan begitu,Mayang,”Bujang menafikan.Dilihatnya bahtera itu masih belayar menyusuri pantai,fajar sidiq menjelang tiba,subuh bakal menjelma.Dibukanya jendela kaca itu,dibiarkan udara dinihari menerpa masuk.”Hingga ke saat ini,abang masih sangsi.Apakah abang ke sana hanya melalui mimpi atau dengan tubuh-badan sekali?Wallahualam.” “Maksud abang?”tanya Mayang sambil menyisir rambutnya. “Mayang tidak tahu?”Bujang bertanya kembali. “Sebagai makhluk Allah,pengetahuan Mayang juga ada hijabnya,”Mayang memberi alasan. “Abang diajar membaca sepotong ayat dari Surah Al-Kahfi,”Bujang mendedahkan.”Dengan mengamalkan ayat tersebut sebelum tidur,roh abang akan keluar dari tubuh badan kasar ini. Roh itu dipanggil roh hayat.Dengan cara itulah abang ke tanah suci dulu.Sejak itu,abang tidak pernah lagi mengamalkannya.” “Roh hayat dan roh mamat,”Mayang berfikir sejenak.”Memang ada disebut dalam kitab. Bukan calang-calang manusia boleh melakukannya.Perlu berguru.Kalau tersalah bawa,roh hayat tidak mampu kembali ke badan kasar,maka jadilah roh mamat,roh orang yang sudah mati.” “Begitulah kira-kiranya,”Bujang bersetuju.”Dulu abang pergi ditemani Sheikh Abdullah.” “Kalau begitu,nyatalah hanya roh abang yang pergi ke tanah suci,”Mayang memutuskan. “Tapi yang anehnya masih ada kesan pasir pada capal abang,tangan abang masih ada kesan buah korma,”Bujang menyangkal kenyataan isterinya.”Malah,di kala itu tangan abang masih berbau wangi selepas menyentuh hajratul aswad di dalam kaabah.” “Subhanallah,”Mayang menuturkan,tanpa menyedari dirinya berhadas besar. “Ya,subhanallah,”Bujang juga terikut-ikut.Menyedar kesilapannya,dia cepat-cepat beristighfar di dalam hati,mencapai kaian basahan lalu bergegas ke bilik mandi. Pagi Selasa 20 Safar 1063 Hijrah bersamaan dengan 12 Disember 1652 Masehi ketika matahari baru menjelma dari tanah besar,bahtera itu berlabuh berhampiran sebuah muara sungai di Pulau Pinang.Bujang yang baru selesai berdoa dan berwirid beredar ke jendela dengan pakaian pendekar tersarung di badan.Mayang juga bangun menanggalkan telekung putihnya. “Rasanya seperti Pulau Pinang,”Mayang menegur dari belakang. “Memang Pulau Pinang,”Bujang mengesahkan.”Abang boleh lihat Gunung Jerai nun jauh di sana. Di seberang selat ini ialah Kuala Prai di tanah besar.” “Tanah pegangan abang,tentulah abang kenal,”sampuk Mayang sambil tersenyum. Mereka keluar ke kamar besar.Semua sudah berkumpul di dapur,sarapan sudah siap terhidang. Mereka pun bersarapan sambil berbual-bual kosong. “Mengapa ini?”Bujang bertanya hairan bila mendapati semua masih berkumpul di atas geladak, tidak berani naik ke darat. “Lanun,Panglima,”Aria Wulon menuding ke pantai yang dikawal rapi oleh beratus-ratus pendekar bersenjatakan panah dan senjata api.”Mereka melarang kita menjejak kami di pantai ini tanpa membayar cukai kepala.” “Mengapa hamba tidak dimaklumkan awal-awal?”tanya Bujang,agak marah. “Sebab kami menaruh syak mereka orang-orang Panglima juga,”jawab Yaakub Lim.”Mungkin mereka tidak cam bahtera Panglima.Kita tidak ada bendera atau panji-panji tanda pengenalan.” “Benderanya ada tapi belum dipasang pada tiang,”Lela Wangsa mencelah.”Hamba ambil dari lancang Panglima,masih tersimpan di kamar hamba.” “Pergi pasang sekarang,”perintahnya pada Lela Wangsa.”Yang lain-lain boleh naik ke darat. Selagi Panglima Agung masih berdiri,keselamatanmu terjamin.” Sementara sampan-sampan diturunkan ke air,Bujang kembali ke kamar kemudi memeriksa buku catatan pelayaran yang ditulis oleh Yaakub.Bila Bujang keluar semula beberapa ketika kemudian, bendera hijau-kuning-merah berlambang keris bersilang dan bertulis kalimah Lailahaillallah-Muhammadur-Rasulullah berkibar megah di hujung tiang layar.Anak buahnya bersama lain-lain penumpang berebut-rebut berdayung menuju ke pantai. Ternyata,kedatangan mereka tidak lagi dihalang.Bendera angkatan fisabilillah sudah dikenali mereka. Sampan-sampan itu mula berulang-alik antara bahtera itu dengan tanah daratan. Bujang tersenyum puas dari atas geladak.Diketuai oleh Chendana,semua isterinya keluar menemaninya di geladak sambil menyaksikan kedamaian perkampungan di muara sungai itu. Tidak lama kemudian,sebuah sampan yang didayung oleh empat lelaki berpakaian serba hitam, berkeris serta membawa busar panah merapati bahtera itu.Lelaki yang di hadapan sekali yang bertindak sebagai ketua bangun bercekak pinggang bertanyakan sesuatu kepada Andika yang berada paling hampir.Andika menunjuk ke arah Bujang. Lelaki itu terus naik ke anjung dibawa oleh Andika manakala rakan-rakannya berkawal di dalam sampan.Sekali pandang sahaja,Bujang sudah mengenali lelaki berpakaian pendekar itu.Ternyata lelaki itu juga mengenali Bujang lalu cepat dia bertelut di hadapan Bujang menyusun sembah seperti seorang raja. “Selamat datang ke Pulau Pinang,Tengku Laksamana Agung Raja Laut,”sembah lelaki itu penuh takzim,menyebabkan mereka yang berada di atas geladak itu kehairanan. “Kundang,kenal lagi isteri hamba?”Bujang tersenyum bertanya sambil menuding kepada Balqis. “Tunku Rahimah timang-timangan Tunku Balqis,”Kundang menyusun sembah lagi. “Semua ini isteri hamba,”Bujang memperkenalkan kepada Kundang.”Tun Chendana,Daeng Ratna Sari,Puteri Mayang Sari dan Puteri Rubiah.” “Tun Chendana patik kenal juga,Tengku,dulu namanya Kuntum.Tapi,patik tengok isteri Tengku bertiga sahaja,”Kundang terpinga-pinga kerana tidak nampak Mayang dan Rubiah. Mayang dan Rubiah hanya tersenyum. “Siapa yang bersamamu,Kundang?”tanya Bujang mengalih perhatian sahabat lamanya itu. “Tengku pasti kenal,”Kundang menjengok ke bawah.” Bachok,Semaun dan Damak. Kita sama-sama berjuang menentang Belanda dan Siam sepuluh tahun yang lalu.” “Hamba kenal mereka,”Bujang tersenyum.”Jangan bahasakan hamba sebagai Tengku lagi. Panglima sudah memadai,Kundang.” “Tapi,Tengku..err..Panglima menguasai kawasan perairan ini dari Pulau Pinang hingga ke Langkawi,”Kundang mengingatkan.”Tengku bergelar Laksamana Agung Raja Laut.” “Panglima sudah memadai,”ulangi Bujang,agak tegas,matanya merenung tajam. “Patik..err..hamba faham,Panglima,”Kundang mula terasa gementar.”Jemputlah ke darat berjumpa semua rakan-rakan,Panglima.Bukan selalu kami dikunjungi Imam Khalifah.” “Kamu pergilah dulu,nanti hamba menyusul kemudian,”pinta Bujang.”Kirim salam pada Bachok,Semaun,Damak dan kawan-kawan kita yang lain.” “Baiklah,Panglima,”Kundang menyusun sembah lalu bergegas turun dari anjung kembali ke sampan.Becok mulutnya bercerita pada rakan-rakannya. Bujang tersenyum lebar. “Andika,kita berihat di sini barang seketika,”Bujang memberi perintah.”Kamu semua bebas ke darat.Tapi,jangan pergi jauh,nanti tersesat ke dalam hutan.Kita belayar menjelang senja.” “Baik,Panglima,”Andika segera beredar untuk memberitahu rakan-rakan yang lain. “Betulkah mereka tidak melihat Mayang dan Rubiah?”bisik Balqis pada Bujang. Bujang angguk,”Hanya kita sahaja yang dapat melihat mereka berdua,”bisiknya kembali. Pagi itu,Bujang mengambil keputusan untuk menemui kawan-kawan lamanya di darat. Ditemani oleh Andika dan Lela Wangsa,mereka bertiga ditunjukkan jalan ke rumah Kundang yang terletak di pinggir perkampungan tersebut.Kundang menyambut kedatangan mereka dengan tangan terbuka.Mereka dijamu dengan makanan ringan di serambi rumah. “Sejak Raja Muda Mahmud menjadi Sultan,kebanyakan kawan-kawan kita membuat perkampungan di sekitar Pulau Pinang dan Seberang Perai,”Kundang membuka cerita ketika mereka menjamu selera.”Ramai juga yang berkampung di Pulau Langkawi.” “Baginda Sultan memang bijak mengatur siasah perang,”Bujang memuji abang iparnya. “Siasah perang?”Bachok menyampuk.”Oh ya,baru hamba faham,Panglima.” “Apa yang kau faham,Bachok?”tempelak Semaun,mengenyit mata pada Damak. “Eh,kau ingat kau saja yang pandai bercakap tentang peperangan?”Bachok menempelak balik, disambut dengan gelak-ketawa oleh Semaun,Kundang dan Damak. Bujang tersenyum,terkenang kembali semasa mereka sama-sama berjuang dulu. Andika dan Lela Wangsa turut tersenyum, terasa keakraban di antara mereka. “Dengan menguasai perairan ini,bererti kita menguasai laluan perdagangan kompeni Belanda,” Bujang menjelaskan dengan lebih lanjut.”Perjuangan kita bukan setakat mengangkat senjata sahaja.Kita perlu menguasai pasaran dan pemasaran.” Kundang,Bachok,Semaun dan Damak menggaru kepala yang tidak gatal. “Dalam berjuang kita berniaga,dalam berniaga kita berjuang,”Bujang menambah lagi. Kundang,Bachok,Semaun dan Damak bertambah bingung. “Kita beli barang-barang dengan harga yang mahal,kita jual murah,”tambah Bujang. “Panglima,”Kundang menggaru lagi kepalanya.”Apakah hamba yang salah dengar,atau Panglima yang salah cakap?Kalau kita beli mahal jual murah,di mana untungnya?” “Kita berniaga bukan mencari laba atau keuntungan,”Bujang menjelaskan.”Kita berniaga untuk memenangi hati orang kampung dan rakyat.Pada waktu yang sama,kita memecah penguasaan perdagangan Belanda di rantau ini.Inilah caranya kita bersaing dengan mereka selain melalui peperangan.” “Hamba mula faham sikit,Panglima,tapi masih pening lagi,”Kundang mencelah. Kenyataan itu disambut dengan gelak-ketawa oleh raskan-rakannya,termasuk Lela Wangsa dan Andika. Bujang tersenyum,”Kita beli hasil keluaran penduduk dengan harga yang mahal,kita jual di Melaka atau Betawi dengan harga yang murah,”jelasnya.”Kita beli semua barang-barang keluaran dari Barat dengan harga yang mahal,kita jual pada penduduk dengan harga murah.Dengan cara ini, pedagang-pedagang Belanda pasti muflis.” “Tapi,semua itu memerlukan wang yang banyak,Panglima,”keluh Bachok. “Wang dan kekayaan tidak menjadi masalah,”tegas Bujang tanpa bercerita lebih lanjut. “Kalau begitu,apa yang harus kami buat,Panglima?”tanya Kundang. “Kami akan belayar ke Tanah Suci,”Bujang menerangkan lagi.”Sepeninggalan kami,hebahkan rancangan hamba ini kepada semua orang-orang kita.Kami akan kembali dengan barang-barang keperluan mereka untuk ditukar-ganti dengan padi,buah-buahan,hasil-hasil hutan,galian dan apa sahaja milik orang kampung untuk kami pasarkan di Melaka,Betawi serta lain-lain pelabuhan yang dikuasai Belanda.” “Perniagaan bertukar-tukar barang,”Kundang mengangguk.”Baru hamba faham,Panglima.” “Ingat,ini adalah tipu-muslihat perjuangan kita,”Bujang mengingatkan.”Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.” Selepas jamuan ringan itu,Bujang tiga sahabat dibawa bersiar-siar meninjau kawasan perkampungan itu.Mereka diperkenalkan juga kepada rakan-rakan seperjuangan lain yang telah dipertanggung-jawabkan menjaga keselamatan dan kebajikan di sekitar perairan Pulau Pinang termasuk Pulau Rimau,Pulau Kendi,Pulau Aman,Pulau Jerejak serta pulau-pulau lain. Sementara itu,anak buahnya yang lain bebas bermain-main,bermandi-manda,berkelah,menangkap ikan dan mendapatkan bekalan buah-buahan serta sayur-sayuran segar dari penduduk kampung. Setelah sehari suntuk berlabuh,akhirnya ketika waktu senjakala bahtera itu pun membongkar sauh dan belayar meninggalkan perairan Pulau Pinang.Sambil melambai-lambai ke arah mereka di darat, Bujang yang berada di anjung hadapan di sebelah kamarnya merasa puas hati dengan kunjungan yang membawa berbagai keuntungan itu. Ibubapa mertuanya dan isteri-isterinya turut sama melambaikan tangan sebagai ucapan selamat tinggal kepada mereka yang menghuni perkampungan itu.Kemudian,Bujang masuk ke kamarnya untuk menunaikan sembahyang wajib. “Sekarang baru hamba faham rancangan Panglima,”kata Yaakub Lim pada malam itu ketika mengendalikan celaga kemudi.”Tadi sudah diceritakan oleh Lela Wangsa dan Andika. Hamba sebagai orang cina pun kalah pada Panglima dalam soal perniagaan.” “Bezanya,perniagaan kita menguntungkan rakyat tetapi merugikan pedagang Belanda,” Bujang mencelah.”Habuan untuk kita sedikit sahaja,dan mungkin tidak ada langsung. Inilah pengorbanan kita dalam berjihad mengembalikan kegemilangan Melayu di rantau ini.” “Kita akan singgah di Kuala Kedah,Panglima?”tanya Yaakub Lim. “Kuala Kedah dan Langkawi,”balas Bujang.”Selepas itu baru kita meninjau pasaran di sepanjang pesisir pantai hinga ke Laut Merah.Dalam pelayaran pulang,hamba bercadang hendak membeli secara pukal.” “Hamba dah faham sekarang,”sampuk Yaakub Lim. “Kalau sudah faham,hamba tidak akan mengulanginya lagi,”balas Bujang. “ Kita bermalam di sini,”kata Bujang membetulkan kainnya sambil menjenguk ke jendela. Mayang Sari diam sahaja,kain kembannya diketatkan supaya tidak terlucut. “Mayang tidak gembira singgah di Kuala Kedah?”tanya Bujang demi terpandang perubahan air muka isterinya itu. “Masakan tidak gembira,”Mayang mengenakan selindang menutupi bahunya. “Tapi,ada sesuatu yang terbuku di hati Mayang,”Bujang membuat tekaan. “Siang tadi abang bersama Mayang,malam pun masih di sini,apa pula kata isteri abang yang lain,barangkali cemburu berbunga di hati,”Mayang meluahkan perasaannya. “Oh, itu yang Mayang risaukan,”balas Bujang sambil lewa seolah-olah perkara itu terlalu remeh dan tidak perlu diperbesarkan. “Bukan Mayang hendak meremehkan atau memperbesarkan perkara ini,”lantas Mayang menyelar suaminya.”Namun,sebagai suami,abang perlulah adil dan saksama sesama isteri. Buat giliran supaya tidak dipandang serong.Beri layanan sama rata dan sama dirasa.” Bujang terdiam sejenak memikirkan kata-kata isterinya itu.”Abang akui ada kebenarannya,” katanya perlahan.”Abang terlalu mementingkan diri sendiri sampai terlupa hendak bersikap adil dan saksama.Baiklah,mulai besok,akan abang gilir-gilirkan,bermula dari Chendana. Abang tidak mahu dituduh pilih kasih dan berat sebelah.” “Mayang juga tidak mahu dianggap terlalu mengawal suami,”Mayang meningkah.”Baik bagi abang,baiklah bagi Mayang.Kalau takdirnya ada di antara kami yang keuzuran atau tidak mampu melayani abang,pandai-pandailah abang menggunakan budi-bicara agar tidak mengeruhkan suasana.” “Isteri tunggak di sebalik kejayaan seorang suami,”Bujang berfalsafah.”Tanpa isteri,siapalah suami.” “Dan,tanpa abang,siapalah kami,”Mayang memulangkan pujian itu sambil mengukir senyum penuh bermakna.Melihat gaya Mayang yang menggoda,Bujang terus merapatinya….! Besok paginya Rabu 21 Safar 1063 Hijrah bersamaan dengan 13 Disember 1652 Masehi, Bujang naik ke pengkalan bersiar-siar di sekitar pasar. Dia hanya ditemani Balqis dan Fatimah kerana isteri- isterinya yang lain memberi peluang mereka bertiga untuk menemui rakan-rakan lama yang berada di Kuala Kedah. Anak buahnya bebas berjalan-jalan dan membeli-belah keperluan masing-masing sebagai persediaan ke Tanah Suci. Sebelum ke pasar,terlebih dahulu mereka tiga beranak berkunjung ke rumah Penghulu Perkasa yang tersergam indah di atas tapak rumah arwah ayahnya dulu.Kebetulan pula,Perkasa sedang bersarapan pagi bersama isteri dan anak-anaknya. Bujang sekeluarga pun dijemput sama. “Dah besar rupanya Tengku Wan Fatimah,”Perkasa memuji anak saudara.”Berapa usianya,Bujang?” “Hampir dua-belas tahun,”Balqis yang menjawab bagi pihak Bujang.”Seperti ayahnya,dia juga tidak suka dibahasakan dengan gelaran bangsawan. Fatimah sahaja sudah cukup.” “Bapa borek anak pun rintik,”Perkasa memuji lagi sambil menjeling pada anak-isterinya. yang masih malu-malu dengan kehadiran puteri dari kerabat di raja Kedah itu.”Bila kanda berdua hendak kembali bersemayam di istana Kota Si-Putih?” “Tengoklah keadaan,”Bujang masih merahsiakan rancangannya. “Hamba dengar Tun Chendana isteri Panglima sudah selamat dari dicolek orang,”tiba-tiba Perkasa mengungkit cerita lama yang ingin dilupakan oleh Bujang. “Perkasa,”suara Bujang tiba-tiba berubah.”Aku tahu siapa yang bertanggung-jawab dalam membuat onar.Kita lupakan sahaja perkara itu.Jika tidak,luka lama kembali berdarah.” Wajah Perkasa pucat seketika. Cepat-cepat dia mengawal perasaannya. “Bukan niatku hendak pergi sejauh itu,”jawab Perkasa membela dirinya. “Kartina sudah kuceraikan,Tun Bija Sura sudah kuusir,perkara itu sudah kuanggap selesai dan tidak perlu diungkit lagi,”sekali lagi Bujang mengingatkan.”Sementelah pula,kau ini abang iparku. Perkara yang tekah berlaku,tidak harus dikenang kembali.” “Aku menyesal,Bujang,”Perkasa terus memeluk kaki Bujang sambil mengalirkan air mata. “Tak apalah,”Bujang menggosok kepala iparnya.”Air dicincang takkan putus.Sebusuk-busuk daging,dibasuh dikincah dimakan juga.” “Perkasa yang merancang pencolekan Chendana?”tanya Balqis ketika mereka berjalan-jalan di pasar pagi itu.”Sukar untuk dipercaya. Apa tujuannya berbuat begitu?” “Gila kuasa,”ulas Bujang.”Ada orang bimbang kalau-kalau abang ditabal sebagai Sultan Johor. Perkasa dan Kartina digunakan mereka secara halus untuk menjatuhkan abang.Mujurlah,orang- orang abang berjaya memintas rancangan jahat mereka itu.” “Dan,abang lepaskan Perkasa pergi begitu sahaja?”Balqis menyindir. “Umpan,”jawab Bujang penuh rahsia.”Kita perlu ikan kecil untuk menangkap ikan besar.” “Ayah,Fatimah lapar,”tiba-tiba Fatimah menarik lengan baju Bujang. “Tadi ‘kan dah sarapan.” Balqis mencelah. “Makan apa,Bonda?Tak sempat kenyang pun,”bantah Fatimah. “Kita ke sana,”Bujang mengajak mereka ke sebuah gerai makanan di tepi sungai. Tiba di gerai yang dimaksudkan,mereka duduk semeja dan Bujang terus memesan sarapan. Mereka terus menikmati pulut panggang dan air kopi yang dipesan. Pulut panggang yang dicicah denganh seunding daging memang amat menyelerakan,tambahan lagi bagi perut yang masih lapar. Bujang berpuas hati melihat anaknya makan.Melihat Fatimah,Bujang merasa seperti Teratai hidup kembali.Dia sanggup mengorbankan nyawanya demi keselamatan Fatimah. “Tun Mat?”bisik Balqis sambil mencuit bahu Bujang. “Siapa?”Bujang belum menangkap maksud isterinya. “Tun Mat Akib,pemangku Bendahara Kedah,”bisik Balqis lagi,suaranya berbaur kebencian. “Tiba-tiba abang hilang selera,”keluh Bujang demi terpandang pembesar separuh umur yang ditunjukkan oleh isterinya.Dia memandang ke arah lain dan pura-pura tidak nampak Tun Mat. “Fatimah pun tak lalu,”Fatimah meniru perbuatan ayahnya. Balqis tersenyum.Bapa borek anak rintik,bisik hatinya.Bujang juga tersenyum,seolah-olah dapat membaca isi hati isterinya. Tun Muhamad Akib,pembesar paling berkuasa di Kedah,memasuki kawasan pasar dengan diiringi oleh dua orang pengawal peribadi lengkap bersenjata. Setiap orang yang berselisih dengannya mesti tunduk menyusun sembah sebagai tanda penghormatan kepada darah keturunannya dan pangkatnya. Sesiapa yang lambat atau terlupa pasti kena tempeleng pengawalnya yang berwajah bengis.Tidak menghairankan apabila Tun Mat bersama pengawalnya tiba berhampiran meja Bujang,mereka menuntut penghormatan dan layanan yang sama. Alangkah marahnya mereka bila Bujang bersikap bena tak bena serta berpura-pura tidak nampak. “Bangun!”seorang pengawal berbadan tegap mencekak baju Bujang dan memaksanya berdiri. “Sembah!”pengawal yang kedua,besar-tinggi orangnya,menengking Bujang. Bujang menurut sahaja apabila diheret ke hadapan Tun Mat. “Ini Tunku Bendahara Kedah!Sembah!”tengking pengawal besar-tinggi itu lagi. “Hanya Allah yangberhak disembah,bukan makhluk,”ujar Bujang dengan Tenang. “Biadap!”Pengawal berbadan tegap menghayun tangan hendak menempar Bujang. Satu tamparan kencang hinggap di muka pengawal itu,menyebabkan dia terhumban ke belakang.Pengawal kedua menerpa hendak menangkap Bujang dari belakang. Satu tendangan padu singgah di mukanya,menyebabkan dia juga terhumban ke belakang. “Kamu tersilap membuat perhitungan,”kata Bujang pada kedua-dua pengawal yang masih terbaring sambil mengesat mulut,bibir dan hidung yang berdarah. Balqis dan Fatimah menjadi cemas. Suasana di pasar bertukar kecoh. “Tengku Laksamana Agung?”Tun Mat bagaikan tercekik demi terpandang wajah Bujang. “Apa gerangan ertinya ini,Tun Mat?”Balqis menghampiri Tun Mat bersama Fatimah. “Tunku Balqis?”Tun Muhamad Akib semakin terperanjat. “Lain kali kalau hendak memukul harimau,lihat dahulu siapa tuannya,”sindir Balqis. “Mari,Balqis,Fatimah,”Bujang mengajak isteri dan anaknya pergi dari situ. Balqis segera membayar harga sarapan dan terus beredar pergi bersama Bujang serta Fatimah. Di belakang mereka,kedua-dua pengawal itu terkial-kial bangun mendapatkan Tun Muhamad Akib. “Bertambahlah dendamnya pada abang,”kata Balqis pada Bujang. “Biarlah,”Bujang memujuk hatinya sambil berjalan menuju ke pengkalan.”Takkan mati abang kerana dendamnya,dengan izin Allah Taala.” “Pasti akan heboh seluruh istana dengan berita kedatangan abang,”Balqis meramalkan. “Biarlah,”Bujang bercekak pinggang memandang ke arah bahteranya.”Kita tidak akan berlama di Kuala Kedah ini.Fatimah,mari kita menziarahi pusara ibumu di Bukit Puteri.” Kembali ke bahtera,Bujang duduk menulis buku catatannya manakala Balqis dan Fatimah keluar ke dapur membantu Chendana,Ratna,Rubiah dan Mayang memasak.Baru hampir siap,tiba-tiba pintu kamarnya diketuk beberapa kali. “Msuklah,”pelawa Bujang,masih memegang kalamnya. Datuk Temenggung membuka pintu kamar itu lalu melangkah masuk. “Ayah,”tegur Bujang,menyimpan kalamnya.”Duduklah.” “Bujang,ayah harap kau tidak salah faham,”Datuk Temenggung duduk di kerusi dan memerhati Kuala Kedah menerusi jendela kaca.”Cakap salah,tak cakap pun salah.” “Salah faham apa pula,ayah,”Bujang menutup buku catatannya. “Begini,”Datuk Temenggung diam sejenak,tidak tahu bagaimana hendak memulakan perbualan.”Ayah ingat ayah nak pindah ke bilik bawah dengan ibumu. Bilik sekarang tu biarlah Fatimah yang duduk.Dia pun dah jadi anak dara sunti,segan pula dia pada kami.” Bujang tersenyum. Dia tahu bapa dan ibu mertuanya juga perlu tempat berasingan supaya tidak terganggu perhubungan suami-isteri mereka.”Baiklah,ayah,”dia tidak membantah. “Satu perkara lagi,”Datuk Temenggung menambah.”Di dalam bilik itu,akan ayah tinggalkan beberapa lembaran penting tentang angkatan kita.Jika terjadi sesuatu ke atas diri ayah,ambillah lembaran itu buat panduan dan pedoman di kemudian hari.” “Apa pula yang akan terjadi ke atas diri ayah?”tanya Bujang kehairanan. “Manalah tahu,ajal maut di tangan Tuhan,”balas datuk Temenggung. Bujang terdiam. Kalau bukan bapa mertuanya yang sudah dianggapnya seperti ayahnya sendiri, mahu rasanya dia membalas balik dengan kata-kata yang pedas. Namun,rasa hormatnya dan kasih-sayangnya mengatasi perasaan dan gelora darah mudanya. “Baiklah,ayah,”jawab Bujang perlahan. “Manalah tahu,”ulangi Datuk Temenggung.” Kalau-kalau ayah mati di Mekah.Lagi pun, ramai yang cemburu pada ayah,pada jawatan ayah.Terutama sekali anak buah Paduka Raja.Kalau berlaku sesuatu geruh,simpanlah semua lembaran ayah itu,mungkin boleh membantu Bujang.” “InsyaAllah,ayah,”sekali lagi Bujang berjanji,tidak mahu memanjangkan perkara tersebut. Setelah Datuk Temenggung keluar dari situ,Bujang termenung panjang,buku catatan dan kalamnya tidak disentuh.Dan,ketika bahtera Indera Kayangan bertolak meninggalkan Pelabuhan Kuala Kedah menuju ke utara,dia termenung pula di anjung hadapan,merenung kosong ke arah laut dan daratan negeri Kedah yang beransur-ansur ditinggalkan.Kata-kata bapa mertuanya pagi tadi masih terngiang-ngiang di cuping telinganya. “Benar kata Datuk Temenggung,”tiba-tiba Rubiah menegur dari sebelah.”Ajal maut di tangan Allah,kita sebagai makhluk tidak mampu menahannya,mengelaknya atau menangguhkannya.” “Rubiah tahu apa yang disebut ayah pagi tadi?”tanya Bujang. “Mengapa tidak,”jawab Rubiah.”Bila abang mengawini golongan Rubiah dan Mayang, apa sahaja yang abang lakukan,apa sahaja yang dilihat dan didengar,malah apa sahaja yang terlintas di hati,tidak terlepas dari pengetahuan kami. Kami ada rangkaian sendiri yang menyampaikan segala berita. Inilah kelebihan yang Allah berikan kepada kami.” “Segala-galanya tidak terlepas?”Bujang mencabar kenyataan itu.’Bilakah ajal abang?” “Kecuali dalam hal-hal tertentu yang Allah telah tetapkan hijabNya,”Rubiah membetulkan keterlanjurannya.”Tiada yang Maha Mengetahui melainkan Allah.” “Ayah bercerita tentang lembarannya,”Bujang mengubah tajuk.”Apa maksudnya?” “Bila tiba masa dan ketikanya,kita akan tahu maksudnya,”Rubiah membuat kesimpulan bijak yang tidak menyinggung perasaan suaminya.”Di hadapan sana Pulau Langkawi.” “Ya,Pulau Langkawi,”tingkah Bujang. “Digelar Pulau Seratus kerana terdapat seratus buah pulau,”jelas Rubiah tanpa diminta. “Entahlah berapa buah,tapi bilangannya memang banyak,”Bujang menyokong.”Hanya dua-tiga buah pulau sahaja yang didiami manusia.Yang lain-lain masih hutan rimba,belum diteroka. Sesuai untuk abang jadikan markas perjuangan kami.” “Di sana ada sebuah tasik yang luas dikelilingi pulau-pulau kecil,”Rubiah terus bercerita. “Tasik Dayang Bunting?”tanya Bujang. “Bukan,”Rubiah menafikan.”Kami memanggilnya Tasik Biru kerana airnya berwarna biru. Hanya boleh dimasuki oleh bahtera ketika air pasang. Itu pun melalui lubang naga.” “Lubang naga?”Bujang semakin tertarik. “Dulu,sepasang naga pernah mendiami Tasik Biru,”cerita Rubiah lagi.”Sekarang entahlah. Tetapi laluan masuk yang digunakan mereka masih ada hingga sekarang. Ketika air surut,ianya kelihatan seperti terowong besar yang tinggi dan curam.” “Bolehkah bahtera kita tenggelam melalui terowong tersebut?”tanya Bujang,ingin tahu. “Boleh,ketika air pasang,”ujar Rubiah penuh yakin.”Tiang layar boleh dilipat ke bawah atau dipendekkan jika diperlukan.Berada di situ seperti berada di sebuah tasik yang dikelilingi bukit-bukau yang curam,sukar dimasuki manusia.” “Maksud Rubiah,bahtera ini boleh ditenggelamkan?”tanya Bujang lagi. “Abang bacalah lagi kitab panduan itu,supaya lebih terang dan jelas,”Rubiah mencadangkan. Tanpa membuang masa,Bujang terus ke kamar kemudi mengambil kitab yang dimaksudkan, kemudian berkurung di dalam kamar Rubiah membaca kitab itu dengan teliti.Pada waktu malam apabila bulan sudah terbit menerangi gugusan pulau-pulau Langkawi,Rubiah menunjukkan terowong yang dimaksudkan yang kelihatan seperti pintu gua,cukup besar untuk dimasuki oleh bahteranya.Malangnya pintu gua itu ditutupi seketul batu besar yang ditumbuhi semak-samun serta rumput liar,seolah-olah tidak dibuka rayusan tahun,kalau tidak ribuan tahun,lamanya. “259 tahun,”Rubiah menjawab pertanyaan yang bermain dalam fikiran Bujang.”Batu itu dipanggil Batu Penunggu.Jelmaan hulubalang jin yang diamanahkan menjaga kawasan ini. Kuncinya ada pada abang.Hanya abang seorang yang mampu memujuknya.” “Siapa gerangannya?”Bujang bertanya. “Eloklah abang bertanya pada Mayang Sari,”Rubiah menyarankan.”Dia lebih arif kerana Negeri Antah Berantah letaknya di daratan sedangkan Rubiah berasal dari laut.” Di bawah sinaran sang rembulan,Bujang mengamati pulau-pulau tersebut dengan teliti untuk rujukannya di kemudian hari.Bahtera itu akhirnya memasuki perairan Siam. Terlentang di kamar Chendana,Bujang masih belum melelapkan mata meskipun malam semakin larut.Chendana juga masih terkebil-kebil di bawah kain selimut sambil mengereng memeluk Bujang.Badan masing-masing basah bersimbah peluh,disejukkan oleh udara nyaman dan dingin di dalam kamar itu.Dada Chendana masih lagi berombak selepas mencapai kemuncak gelora nafsunya yang dilampiaskan bersama suami kesayangan. “Berapa usia kandungan Chendana sekarang?”tiba-tiba Bujang bertanya. “Dua bulan sembilan hari,”jawab Chendana perlahan.”Kenapa,abang?” “Abang bimbang juga,”Bujang menyuarakan pendapatnya.”Takut kalau-kalau perbuatan kita ini mengganggu anak dalam kandungan yang baru hendak membesar.” “Merepeklah,abang ni,”Chendana menangkis pendapat Bujang sambil mencubit suaminya. Bujang ketawa kecil.”Antara Chendana dengan Balqis,siapalah agaknya yang akan melahirkan anak dahulu,”Dia membuat andaian. “Tentulah Balqis,”balas Chendana.”Sebab dia yang kena teroka dulu.Entah-entah Kartina.” “Kartina?”Bujang terkedu,sudah lama bekas isterinya dari Tanah Jawa itu dilupainya. Dia bangun menyarungkan kain lalu berdiri di jendela kaca merenung laut yang gelap gulita. “Maafkan Chendana kerana terlanjur menyebut nama itu,”pinta Chendana perlahan. “Lupakan saja,”balas Bujang endah tak endah.”Kalau mengikut perhitungan abang,rasanya Chendana dengan Balqis akan bersalin di Tanah Suci.” “Kalau begitu,Alhamdulillah,”sahut Chendana,gembira kerana suaminya tidak mengambil hati tentang Kartina.”Anak-anak kelahiran Mekah,tentu membawa tuah dan berkah.” “Semua anak-anak kita bertuah,”Bujang memanjatkan harapannya sambil menyarungkan pakaiannya.”Abang hendak keluar sebentar.Meninjau keadaan di luar.” “Kata orang,semakin hampir seorang perempuan itu hendak melahirkan anak,semakin kemaruk jadinya,”Chendana memandang tepat ke wajah Bujang,matanya galak.”Betul kah begitu?” “Barangkali juga,”balas Bujang sambil tersenyum mendapatkan isterinya.Sebentar kemudian, semua pakaiannya terlonggok di lantai.Keluhan manja kedengaran dari mulut Chendana. Setelah melalui Pulau Andaman dan Kepulauan Mergui,dua hari kemudian iaitu pada pagi Jumaat 23 Safar 1063 Hijrah bersamaan dengan 15 Disember 1652 Masehi, bahtera itu berlabuh di Pelabuhan Pegu yang terletak di Teluk Martaban. Dengan bantuan Yaakub Lim sebagai jurubahasa,mereka dibenarkan berdagang dengan dikenakan sedikit cukai. Berada di tempat asing di mana penduduknya mirip orang Melayu tetapi bertutur dalam bahasa yang tidak difahami,ramai yang lebih suka tinggal di atas bahtera daripada bersiar-siar di darat yang belum tentu selamat. Hanya Bujang yang naik ke darat dengan ditemani oleh Yaakub Lim,Lela Wangsa, Andika dan Aria Wulon.Ketika berjalan-jalan memerhati barang-barang yang dijual,mereka berlima menarik perhatian ramai dengan pakaian Melayu dan keris yang dianggap asing bagi penduduk tempatan.Tidak banyak yang mereka beli melainkan beberapa cenderamata yang mereka tukarkan dengan wang emas Belanda. Balik ke bahtera,Bujang terus memberi arahan supaya meneruskan pelayaran ke Teluk Benggala. Tiga hari kemudian iaitu pada hari Isnin 26 Safar 1063 Hijrah bersamaan dengan 18 Disember 1652 Masehi,mereka singgah di sebuah pelabuhan yang tidak dikenali di muara Sungai Ganges. Bahang matahari yang panas menyebabkan hanya anak kapal yang bertugas berada di atas geladak manakala selebihnya lebih suka berkurung di dalam kamar yang selesa lagi dingin. Sebagai nakhoda yang tugasnya tidak menentu,Bujang turut berada di samping Yaakub Lim ketika mereka mula merapatkan bahtera itu ke pengkalan.Setelah tali bahtera ditambat pada pancang,baru sauh diturunkan.Seperti biasa,jentera bahtera itu tidak pernah dimatikan kerana tenaga matahari yang menggerakkan jentera itu tidak pernah berkurangan. “Berapa lama kita di sini,Panglima?”Yaakub Lim bertanya mendapatkan kepastian. “Bergantung kepada keadaan,”Bujang memerhati pintu kuala Sungai Ganges yang luas melaut itu.”Nampaknya pelabuhan ini agak makmur.Barangkali boleh kita membeli-belah secukupnya.” Dari pintu kamar kemudi,Bujang ternampak bapa dan ibu mertuanya sedang berbual-bual kosong di hujung geladak bersama Panglima Kahar dan Tun Lela Pahlawan sambil memandang ke darat.”Ada yang menganggap pelayaran ini sungguh membosankan,”Bujang membuat kesimpulan.”Khabarnya, ada yang menjadi kurang siuman dan terjun ke laut.” “Tetapi tidak bagi hamba,Panglima,”lekas-lekas Yaakub Lim menjawab.”Bertahun-tahun kehidupan hamba begini sejak hamba melarikan diri dari Kwantung.” “Pelayaran yang panjang tidak akan membosankan jika kita bijak menggunakan masa yang terluang,”Bujang memberi buah fikiran.”Sebab itulah hamba izinkan orang-orang kita membawa anak-isteri masing-masing.Kata orang,jauh berjalan luas pandangan,lama hidup banyak dirasa.” “Hamba faham,Panglima,”balas Yaakub Lim.”Nanti hamba berbincang dengan Andika dan Lela Wangsa supaya semua diberi tugas dan tanggung-jawab tertentu mengikut jadual. Kita hidup di bawah satu bumbung,perlu tolong-menolong dan saling bantu-membantu.” Perbualan mereka terganggu apabila Lela Wangsa,Andika dan Aria Wulon muncul. “Apa rancangan kita hari ini,Panglima?”Lela Wangsa menegur dengan pertanyaan. Walaupun pertanyaan itu ditujukan kepada Bujang,Yaakub Lim yang menjawabnya,”Apa lagi, kita membeli-belah barang keperluan,terutama sekali makanan segar.” “Hamba sedang mencari kitab cara-cara mengerjakan haji,”sampuk Lela Wangsa. “Kitabnya mungkin dijual di sini tapi..,yang ditulis dalam bahasa Melayu,susahlah sikit,” Andika memberitahu Lela Wangsa. “Boleh pinjam kitab hamba,”kata Aria Wulon pada Lela Wangsa. Lela Wangsa seperti tidak percaya.”Kau beragama Hindu,buat apa dengan kitab itu?” “Hamba sedang belajar mengenali Islam,”Aria Wulon meningkah.”Banyak tentang agama Islam tidak ada dalam agama Hindu.” “Mudah-mudah kamu beroleh hidayah dari Allah,Aria Wulon,”Bujang memberi perangsang. “Mudah-mudahan,Panglima,”sambut Aria Wulon penuh pengharapan.

HIKAYAT PANGLIMA AGUNG: Bab 6 – Daeng Ratna Sari


Besoknya pada hari Sabtu 12 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 4 November 1652 Masehi,Bujang dan Daeng Ratna pun dinikahkan oleh seorang imam di hadapan anak kapal dan beberapa orang penduduk kampung dengan berwalikan Andika.Tok Imam dengan ikhlas hati mengadakan kenduri bagi meraikan kedua mempelai itu.Kenduri itu walaupun sederhana tetapi meriah.Sebelum kembali ke lancang,Bujang menghadiahkan beberapa uncang wang emas untuk pembinaan masjid baru di kampung itu.Andika dan Panglima Kahar tinggal di darat untuk menunggu kedatangan kaum Tengger serta membuat persediaan yang sepatutnya. “Nah,ambil ini,”Bujang menghulurkan sebutir batu delima kepada isterinya Ratna.”Sebagai mas kawin dan tanda pernikahan kita.” “Terima kasih,”Ratna mencium pipi suaminya.Batu itu dibalut dengan sehelai sapu tangan sutera lalu disimpan di dalam bajunya.”Biar Ratna pindahkan barang-barang Ratna ke sini.” Mereka keluar dari kurung khas di atas geladak itu. Sementara Ratna turun ke bawah geladak, Bujang ke tepi lancang meninjau ke darat kalau-kalau kaum Tengger yang ditunggu-tunggu itu sudah sampai.Dilihatnya beberapa orang anak buahnya sedang berbual-bual kosong dengan penduduk kampung,sampan mereka masih tertambat di pantai.Kampung itu tidak banyak berbeza dengan lain-lain kampung nelayan di kepulauan Melayu dengan pohon-pohon kelapa menjulang ke langit serta daun-daun kelapa yang melambai-lambai ditiup angin. Lela Wangsa menghampiri Bujang dan sama-sama menikmati keindahan pantai di waktu pagi. Kabus tebal masih menyelubungi kawasan pergunungan di pedalaman,puncaknya berkilau-kilauan terkena pancaran cahaya matahari. “Pemergian kami nanti,kau belayarlah ke Gresik,”beritahu Bujang pada Lela Wangsa. “InsyaAllah,Panglima,”Lela Wangsa berjanji.”Tapi,hamba kesal tidak dapat ikut sama. Kalau tidak,bolehlah hamba ceritakan pada anak-isteri hamba di Johor.” “Pengalaman di laut pun apa kurangnya,”Bujang cuba menghiburkan hati rakannya. “Hamba rasa tentu ada rahsia di sebalik pemergian Panglima ke Gunung Bromo,”Lela Wangsa cuba mengorek.”Kalau tidak,masakan Panglima sanggup bersusah-payah menempuh hutan belantara dan gunung-ganang.” “Kita perlukan harta yang banyak untuk membiayai perjuangan kita,”Bujang mendedahkan tujuannya.”Pak Buyon mengetahui di mana letaknya harta karun Pulau Bali.” “Kita akan ke Pulau Bali pula?”Lela Wangsa agak terkejut. “Musim tengkujuh belum berakhir,”Bujang masih berahsia.”Laut Cina Selatan masih bergelora.Untuk sampai ke Tanah Bugis, kita terpaksa melalui Pulau Bali.” “Betul tu,Panglima,”Lela Wangsa menyokong.”Tapi,apa yang ada di Pulau Bali.” “Sama-samalah kita tengok nanti,”Bujang tetap menyimpan rahsianya.Sambil tersenyum, dia kembali ke kurungnya. “Ratna tak ikut sama bersembahyang?”tanya Bujang ketika menghampar sejadah. “Tak boleh,”Ratna tersenyum simpul sambil mengemas barang-barang yang perlu dibawa. “Mengapa pula tak boleh?”Bujang pura-pura bertanya. “Tak boleh,tak bolehlah,”jawab Ratna dengan manja. Bujang tertawa kecil lalu mengangkat takbir memulakan sembahyangnya. Sementara menunggu suaminya habis sembahyang,Ratna terus melipat kain-baju mereka untuk kegunaan dalam pengembaraan. Cuaca petang itu cukup panas.matahari tergantung di sebelah barat bagaikan bola emas. Langit biru bersih tanpa tompokan awan.Namun,bayu yang tak henti-henti bertiup menyerbu masuk melalui jendela dan menyejukkan kurung itu. Selepas memberi salam,Bujang berwirid pula.Ratna mengemaskan kampit Bujang.Sepucuk pistol dikeluarkan,kain-baju suaminya dimasukkan ke dalam kampit itu manakala kain-bajunya pula dimasukkan ke dalam sebuah kampit lain yang tidak dapat ditembusi air.Barulah dimasukkan barang-barang lain ke kedua-dua kampit itu.Selepas berdoa,Bujang bangun menukar pakaiannya dengan pakaian yang sesuai untuk perjalanan jauh. “Assalamualaikum,”terdengar satu suara halus memberi salam dari luar. “Waalaikumussalam,”segera dibalas Ratna.”Apa pula mahunya dayang-dayang ini?” Ratna bangun membuka pintu kurung.Dengan serta-merta bau harum yang semerbak menerpa masuk.Ratna tergamam.Berdiri di luar ialah dua orang perempuan cantik yang belum pernah dilihatnya.Mereka berdua tersenyum-senyum memandang Ratna. “Kanda Bujang ada?”bertanya perempuan cantik yang berselindang kuning manakala perempuan yang berpakaian hijau sedondon hanya tersenyum. “Siapa tu,Ratna?”tanya Bujang yang sedang menyarungkan bajunya. “Jemputlah masuk,”Ratna mempelawa kedua-dua perempuan cantik itu. Bujang tidak terkejut menerima kunjungan mereka yang sudah dikenalinya itu. “Duduklah,”pelawa Bujang pada mereka. Mereka pun duduk bersimpuh penuh sopan,diikuti oleh Ratna yang masih kebingungan.”Ratna,inilah tunangan abang dari alam ghaib.Puteri Mayang Sari dan Puteri Rubiah.” Antara takut dengan berani,Ratna bersalaman dengan mereka. “Kedatangan kami hanya sebentar,sekadar ingin bertandang,”jelas Mayang Sari. “Juga untuk mengucapkan selamat pengantin baru kepada kedua mempelai,”sambung Puteri Rubiah pula.Senyuman tidak lekang dari bibir mereka. “Terima kasih,”ucap Bujang bagi pihak Ratna yang masih terpinga-pinga. “Usah gusar,Daeng Ratna Sari,”Mayang Sari meneruskan.”Dengan izin Allah Taala,kita akan bermadu tidak lama lagi.Assalamualaikum.” “Waalaikumussalam,”balas Bujang dan Ratna serentak. Kedua-dua puteri dari alam ghaib itu melirik ke arah Bujang dengan senyuman paling manis sebelum menghilangkan diri dalam sekelip mata. “Subhanallah,”ujar Bujang.Ratna juga membisikkan kalimah suci itu. Tiba-tiba kedengaran pintu kurung mereka diketuk dari luar.Ratna tersentak. Bujang bangun lalu segera membukanya.”Ada apa,Andika?” “Kaum Tengger sudah pun sampai,Panglima,”hidung Andika kembang-kempis tercium bau wangi yang masih berlegar di situ.”Mereka berkampung di hadapan candi itu. Memang benar, ketuanya bernama Bapa Puyon.” “Hari sudah petang,suruh mereka berihat dulu,”perintah Bujang.”Besok pagi kita bertolak.” “Baik,Panglima,”patuh Andika,hidungnya masih kembang-kempis ketika dia berpaling meninggalkan kurung khas itu. “Malam ini dapatlah kita bermesra,”Bujang menutup pintu kurung. “Bermesra boleh asalkan jangan melampaui batas,”Ratna mengingatkan suaminya sambil tersenyum manja.”Mahkota ini akan Ratna serahkan pada malam pertama nanti.” Ketika matahari masih di balik gunung pada hari Ahad 13 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 5 November 1652 Masehi,Bujang dan rombongannya pun bertolak dengan menaiki kuda. Selain Pak Buyon terdapat kira-kira sepuluh orang lelaki dan perempuan kaum Tengger yang semuanya memakai pakaian hitam. Malah,kuda mereka juga berwarna hitam. Pak Buyon berada di hadapan sekali sebagai penunjuk jalan,diikuti oleh Bujang,Ratna,Panglima Kahar dan Andika. Dayang-dayang Ratna berada di belakang sekali bersama kaum Tengger. Mereka menunggang perlahan-lahan melalui batas sawah padi yang beralun hijau seperi ombak besar. Beberapa orang petani yang sedang bercucuk-tanam melambai-lambai kea rah mereka. “Pak Buyon dari mana sebenarnya?”Bujang membuka tajuk perbualan. “ Dari Legok Sari,Gusti Panglima,”balas Pak Buyon dari atas kudanya.”Laskar-laskar Demang Tegis menangkap kami. Dibawa ke sana untuk membina taman.Nasrani,Minahasa dan ramai lagi sama-sama ditangkap.Kami melawan dapat lari. Ini sahaja yang masih hidup. Kejam betul.” “Bukan semua orang Islam kejam,Pak Buyon,”Bujang membela diri. Pak Buyon hanya mengangguk tetapi tidak memberi sebarang kenyataan. Pengalaman pahit menjadikan dia masih ragu-ragu pada kejujuran Bujang. Menjelang tengah hari baru mereka melepasi kawasan sawah padi yang luas bagaikan tidak bertepi itu. Mereka melalui kampung-kampung terpencil yang dikelilingi hutan belantara. Denai-denai yang dipayungi rimbunan pohon-pohon rendang melindungi mereka dari panahan cahaya matahari yang terik. Bunyi siulan burung serta lain-lain unggas hutan menjadi halwa telinga sepanjang perjalanan. Mereka menunggang dengan perlahan,membiarkan kuda mereka mengikut langkah sendiri. “Selepas ini,kita akan mula mendaki,”beritahu Pak Buyon pada Bujang ketika mereka berhenti rihat di tepi sebatang anak sungai untuk mengalas perut.”Dusun kami di pinggir Kali Mas.” “Jauh lagi.Pak Buyon?”Bujang bertanya sambil mengerling pada isterinya yang sedang makan. “Tak jauh,kurang-lebih lima hari lima malam,”balas Pak Buyon selamba. “Lima hari?”Panglima Kahar terkejut. “Kita tidak bisa berjalan malam,”Pak Buyon menjelaskan.”Jika dihitung siangnya sahaja,jauhnya sepuluh hari lagi.” “Sepuluh hari?”Andika yang tidak biasa berjalan dalam hutan tersedak. Pak Buyon ketawa terbahak-bahak.”Dalam hutan tidak bisa ribut-ribut,”katanya.”Kalau kalian kepenatan,kita rihat. Santai.” “Dalam hutan ada ini?”Panglima Kahar menunjukkan isyarat misai harimau. Memang menjadi pantang menyebut nama-nama binatang ketika berada di dalam hutan. “Semestinya ada,”balas Pak Buyon bersahaja.”Bukan itu sahaja,yang menjalar,yang melompat, yang berbulu persis manusia pun ada. Tapi,nggak perlu gentar,Gusti Panglima ada bedil.” Beberapa orang lelaki Tengger memandang pada pistol Bujang yang tergantung di pelana kuda bersama busar panah lalu mengangguk tanda setuju. Mereka meneruskan perjalanan tidak lama kemudian. Benar seperti kata Pak Buyon.Mereka terpaksa mendaki melalui lorong yang bengkang-bengkok di perlerengan gunung itu,menuruni lembah-lembah hijau,menyeberangi anak sungai dan meredah denai-denai yang jarang dimasuki manusia.Kadangkala mereka terpaksa melangkah pokok yang tumbang menghalang jalan atau mengelak batu yang bergolek ke atas jalan. Setelah hari hampir gelap,baru mereka berhanti bermalam di pinggir sebuah kolam yang dikelilingi rumput liar.Panglima Kahar dan Andika mendirikan khemah manakala Pak Buyon dan anak buahnya membina ran di atas pokok. Bujang tahu waktu asar masih panjang tetapi keadaan di dalam hutan belantara menjadikan suasana agak gelap seperti hendak malam. Dia segera mendiri-kan sembahyang jamak taqkhir,kemudian membantu menyalakan unggun api untuk menghalau nyamuk dan agas.Mereka telah mendirikan tiga buah khemah.Satu untuk Bujang dan isterinya, satu lagi untuk dikongsi bersama Panglima Kahar dan Andika manakala khemah ketiga untuk kegunaan dayang-dayang. Sementara dayang-dayang memasak menggunakan dapur potjie,Bujang,Panglima Kahar dan Andika mengambil kesempatan untuk mandi-manda di kolam itu.Mereka membentangkan tikar dan bersembahyang jemaah. Kerana Panglima Kahar lebih tua,secara resmi dia dilantik sebagai imam.Selepas sembahyang,mereka bertiga membantu Ratna dan dayang-dayang menghidangkan makanan. Di atas tikar mengkuang itu mereka menjamu selera. Kerana keletihan,masing-masing tidak banyak bercakap. Kaum Tengger makan berasingan dan tidak bercampur-gaul dengan mereka.Semakin malam,cuaca semakin dingin.Seorang demi seorang masuk tidur kecuali Bujang yang masih berihat di tepi unggun api. Melihat Bujang keseorangan,Pak Buyon mendekatinya. “Belum mengantuk lagi,Pak Buyon?”tegur Bujang. “Manira sudah biasa berjaga sampai larut malam,”Pak Buyon menyorong sebatang dahan kering ke dalam unggun api,kemudian duduk di sebelah Bujang.Mereka sama-sama melihat api yang menjilat dahan kering itu. Malam yang bermandikan cahaya bulan itu mula diseliputi kabus. “Siapa yang berjaga malam ini?”tanya Bujang,menjenguk ke arah kawasan kaum Tengger. “Dua orang,”jawab Pak Buyon.”Gusti Panglima nggak perlu risau.Anak buah manira ada. Mereka juga akan menjaga dan memberi makan kuda kita semua.” Tiba-tiba Bujang bangun masuk ke dalam khemahnya,kemudian keluar membawa selaras pistol.”Pak Buyon tahu menggunakan senjata api ini?” “Bisa juga,”Pak Buyon mengamati pistol itu penuh minat.”Senjata kompeni Holanda. Tapi harganya mahal amat,nggak mampu kami membelinya.” “Ambillah,pemberian ikhlas dari hamba,”Bujang menghulurkan pistol itu. Pak Buyon tergamam seketika.”Gusti Panglima nggak main-main?” “Hamba bersungguh-sungguh,ambillah,”Bujang menghulurkan sekali lagi pistol itu. Pak Buyon menerimanya dengan senang hati,matanya bercahaya keriangan seperti anak kecil yang mendapat barang permainan.Dibeleknya pistol itu ke kiri ke kanan dan ke atas ke bawah dengan penuh bangga. Dengan senjata seperti itu,dia akan menjadi orang terpandang dalam kampungnya,mungkin dilantik sebagai kepala desa. “Ini ubat letupan dan peluru,”Bujang menyerahkan pula dua uncang kecil.”Hamba minta diri dulu,Pak Buyon. Besok pagi kita jumpa lagi.” Pak Buyon hanya tersengih menampakkan giginya yang rompong.Bujang masuk ke dalam khemah lalu membaringkan diri di sisi Ratna.Didapati isterinya sudah pun tidur. Menjelang dinihari pada hari Isnin 14 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 6 November 1652 Masehi,Bujang bangun mengambil wuduk lalu mengerjakan sembahyang tahajud seperti kebiasaannya.Suasana gelap-gelita kerana bulan sudah tenggelam.Cuaca dingin hingga ke tulang hitam tidak sedikit pun mengganggu khusyuknya.Pemuda Tengger yang berkawal malam datang menambah kayu api,menyebabkan unggun api bertambah marak menerangi kawasan yang berkabus tebal itu.Selepas menutup tahajudnya dengan solat witir,Bujang duduk bersila mengamalkan zikrullah hingga fajar sidiq menyingsing.Kokokan ayam hutan berderai-derai entah dari mana. Dia mendirikan sembahyang subuh seorang diri kerana Panglima Kahar dan Andika masih meringkuk dalam khemah. Ketika Bujang berwirid selepas sembahyang,kaum Tengger seorang demi seorang turun dari ran untuk menyalakan api dan menyediakan sarapan.Dayang-dayang juga bangun tanpa disuruh,diikuti oleh Ratna yang turut membantu bertanak pulut serta menjerang air.Panglima Kahar dan Andika bangun mengerjakan sembahyang subuh berasingan. Semua itu disedari oleh Bujang.Selesai berdoa,Bujang berzikir ringkas sahaja kerana terpaksa membantu mengemaskan barang-barang. Terang-terang tanah,mereka meneruskan perjalanan selepas bersarapan ala kadar. Di kala matahari muncul dari ufuk Timur,mereka mula menuruni kawasan pergunungan menghala ke lembah Gunung Bromo.Mereka terpaksa berhati-hati supaya kaki kuda tidak tersandung akar atau tergelincir ke dalam lopak.Menjelang tengah hari,cuaca masih sejuk kerana sentiasa dinaungi pohon-pohon rendang. Mereka tidak berhenti,sebaliknya mengalas perut sambil menunggang perlahan-lahan. Waktu senjakala,mereka berhenti di sebatang sungai yang agak luas,airnya mengalir deras. “Sungai Mas,”beritahu Pak Buyon pada Bujang sementara anak buah masing-masing sibuk mendirikan tempat kediaman sementara serta menyediakan makan malam.”Di seberang sana ialah dusun kami,di lereng Gunung Bromo.Gusti Panglima kena naik rakit ikut sungai ini ke Gresik.” “Rakit?”Bujang teringat kembali pengalaman di Jambi. “Tak apa,anak buah manira pandai bina rakit bambu,”kenyataan Pak Buyon melegakan hati Bujang.”Kalau kita cepat,malam ini juga ditanggung beres.” “Kalau begitu,Pak Buyon ambillah semua kuda kami bersama dengan bekalan makanan yang berlebihan,”Bujang menawarkan sebagai balasan. Pak Buyon hanya tersengih seperti biasa. Bujang menggunakan waktu siang yang masih tinggal sedikit untuk menunaikan sebahyangnya. Kemudian,bersama Panglima Kahar dan Andika,dia membantu kaum lelaki Tengger menebang buluh betung yang tumbuh liar di tebing sungai itu untuk membina rakit sementara kaum wanita sibuk menyediakan makan-minum.Dengan berpandukan cahaya terang dari bulan purnama dan cahaya unggun api,pekerjaan mereka menjadi lebih mudah. Orang Tengger memang cekap membina rakit bambu.Tidak berapa lama kemudian,wujudlah bentuk sebuah rakit yang berlantai tiga lapis,diikat kukuh-kukuh menggunakan rotan seni.Cuma tinggal untuk dipasang dinding,bumbung,pelampung dan galah kemudi. Mereka berhenti rihat dan beramai-ramai menjamah juadah yang disediakan. “Selepas ini Gusti Panglima bolehlah bersantai,nggak perlu susah-susah lagi,”Pak Buyon menjelaskan sambil menyuap makanan.”Anak buah manira boleh bereskan.” “Dengan apalah hendak hamba balas jasa Pak Bulon,”Bujang mengucapkan. “Berian ini sudah lebih dari cukup,”ujar Pak Buyon menepuk pistolnya yang sentiasa dibawa ke mana sahaja.”Senjata api ini amat bernilai bagi kami orang Tengger.” “Pak Buyon kata sepuluh hari,”Andika mengungkit.”Ini belum sampai lima hari.” Pak Buyon ketawa berdekah-dekah.”Nasib kita baik,tidak tersesat,tak berjumpa binatang buas, tak ketemu apa-apa pun,”Pak Buyon termenung sejenak.”Sebetulnya,memang aneh,ya?” Kerana tidak mahu perkara itu berpanjangan,Bujang cepat-cepat minta diri.Dia terus mengajak isterinya mandi di sungai dan membiarkan orang lain yang lebih arif menyiapkan rakit buluh itu. Kembali ke tikar hamparan,dia agak terkejut melihat Ratna menyarungkan kain telekung dan bersiap-sedia menjadi makmum.Fahamlah ia bahawa haid isterinya sudah kering.”Cepatnya.” “Dah genap lima hari,”tersipu-sipu Ratna menjawab.”Cepatlah,kita solat.” Selepas berjemaah dengan isterinya,Bujang memeriksa rakit yang hampir siap itu. Dia terkejut melihat tiga buah khemah turut dipasang di atas rakit itu. “Dah ada bumbung,khemah pula?”rungutnya pada Panglima Kahar dan Andika. “Bumbung hanya di atas,”Panglima Kahar memberi alasan.”Kalau hujan,tempias juga. Sebab itulah kita perlukan khemah.” “Pindahkan barang-barang kita ke atas rakit,”pinta Bujang. Dia menghampiri Pak Buyon yang sedang berborak dengan dua-tiga orang lelaki Tengger. “Duduklah,Gusti Panglima,”pelawa Pak Buyon.”Kami sedang bersidang tentang Gusti.” “Tentang hamba?”Bujang duduk di atas tunggul bersama mereka. “Begini,Gusti Panglima,”Pak Buyon mengeluarkan secebis belulang lembu yang berlukis rajah-rajah tertentu.”Ketika leluhur kami meninggalkan Majapahit,banyak harta karun disembunyikan di sekitar Pulau Dewata,bakal digunakan untuk membangun kembali Kerajaan Hindu yang sudah tumbang.Salah satu tempatnya di Gunung Agung. Ini gambar rajahnya.”Pak Buyon menghulurkan belulang itu kepada Bujang. Bujang mengamati belulang itu sekali imbas tetapi tidak memahaminya. “Itu gambar rajah Gunung Agung,dilukis leluhur kami,”Pak Buyon menjelaskan.”Tempat harta karun itu disembunyikan ditanda dengan patung Siva.Ambillah,Gusti Panglima.” “Berbudi sungguh Pak Buyon pada kami,”ujar Bujang penuh terharu. “Harta karun itu milik Dewata Mulia Raya,bukan milik kami”balas Pak Buyon.”Kendatipun kami beragama Hindu,kami sokong sepenuhnya usaha Gusti Panglima menentang Holanda. Moga-moga harta itu bisa membantu perjuangan Gusti.” “Terima kasih,jasa kebaktian Pak Buyon dan anak buah Pak Buyon akan kami kenang hingga ke mati,”Bujang menggulung belulang itu lalu merenung air sungai yang deras.”Bolehkah Pak Buyon menyeberangi sungai dengan kuda?” “Di sini tidak bisa,”Pak Buyon tersenyum.”Kalau ke hulu sikit,kalinya tidak luas dan bisa diseberangi.” Bujang melihat rakit yang sudah siap itu ditolak ke dalam sungai.”Nampaknya,sampai di sini sahaja kita dapat bersama,Pak Buyon.” “Ya,”mereka sama-sama bangun,Pak Buyon menggenyeh matanya yang berair.”Perpisahan ini memang menyakitkan.Tambahan lagi,kita sudah jadi seperti sebuah keluarga.” “Kita tetap serumpun meskipun berlainan agama,”Bujang membalas. Bujang berpelukan dengan Pak Buyon dan bersalaman pula dengan kaum lelaki Tengger.Begitu juga dengan Panglima Kahar dan Andika yang muncul kemudian.Manakala Ratna serta dayang-dayangnya bersalaman dengan kaum perempuan Tengger. Upacara itu ringkas sahaja tetapi amat mengharukan. Beberapa orang menitiskan air mata. Tidak lama kemudian,rakit buluh itu hanyut dibawa arus sungai yang deras,dikemudikan oleh Andika.Mereka melambai-lambai ke tebing sungai sehingga Pak Buyon serta anak buahnya hilang ditelan kesamaran malam.Ratna dan dayang-dayang pun masuk ke khemah masing-masing. Sementara Andika menyediakan tikar sembahyang,Bujang menghampiri bapa saudaranya di hadapan sekali yang sedang mengendalikan galah kemudi.Air sungai berkilau-kilauan terkena cahaya bulan purnama. “Inilah rezeki kita,”tegur Panglima Kahar,melirik pada belulang di tangan Bujang.”Tentu tujuh keturunan pun makan tak habis.” “Ya,”akui Bujang.”Allah memberikan rezeki dengan cara yang tidak disangka-sangka.” Panglima Kahar mendongak bulan yang jauh di barat,menandakan malam semakin larut. “Bujang nak berihat,pergilah,”pelawa Panglima Kahar.”Paman dengan Andika boleh bergilir-gilir menjaga kemudi.” Pelawaan bapa saudaranya itu bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal.Kebetulan,dia memang letih dan mengantuk.”Baiklah,”ujarnya perlahan.”Nanti Bujang bantu.” Bujang masuk ke dalam khemahnya yang gelap untuk menyimpan belulang pemberian Pak Buyon. Semasa meraba-raba mencari kampitnya,tangannya tersentuh badan isterinya yang hangat. Darah mudanya tersirap. Kalau diikutkan hati,mahu diratah Ratna pada malam itu juga.Namun, bila teringat kembali janjinya,hatinya jadi tawar dan nafsunya padam.Diam-diam dia menyimpan belulang itu di dalam kampitnya lalu baring di sebelah isterinya. “Sabarlah,abang,”bisik Ratna dalam kegelapan itu seolah-olah memahami perasaan suaminya yang sedang berperang.Dia memeluk suaminya penuh mesra.”Takkan lari gunung yang dikejar.” Selepas sembahyang subuh pada keesokan harinya Selasa 15 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 7 November 1652 Masehi,Bujang mengambil-alih tugas Andika menjaga galah kemudi meskipun pada mulanya Andika menolak. Sementara Andika sembahyang,Panglima Kahar bangun mengambil wuduk. Bujang menumpukan perhatiannya di hadapan,membiarkan Ratna dan dayang-dayang menyediakan sarapan.Asap berkepul-kepul dari dapur tanah yang digunakan dan berbaur dengan kabus pagi.Malam berganti siang,fajar menghilang diganti sang suria yang menjenguk dari ufuk Timur.Selepas menunaikan kewajipan masing-masing,Andika dan Panglima Kahar beredar ke sisi Bujang.Mereka sama-sama memerhati arus sungai menolak rakit serta tebing sungai yang ditumbuhi hutan nipah,bakau dan sebagainya.Masing-masing terbayangkan kuala sungai dan Gresik yang bakal mereka tempuhi.Rakit mereka terus juga teroleng-oleng dipukul ombak sungai. “Sungai ini di mana hujungnya?”tanya Bujang sambil mengemaskan duduk silanya. “Surabaya,”jawab Panglima Kahar. “Kata orang,nama itu berasal dari kisah seekor buaya dengan….!” “Hisy!”Panglima Kahar menepuk bahu Andika.”Kenapa disebut nama binatang itu.” “Maaf,Datuk,hamba terlupa tentang pantang-larang itu,”Andika memohon ikhlas. “Hanya pantang-larang,tidak lebih dari itu,”Bujang cuba menjernihkan suasana. “Pantang-larang nenek-moyang kita ada banyak kebenarannya,”Panglima Kahar mem-pertahankan kepercayaannya.”Kalau kita langgar,buruk padahnya.Khabarnya setiap tahun sungai ini memakan korban.” Mujurlah kedatangan Ratna membawa sarapan menyelamatkan keadaan.Dulang berisi pulut dan air kopi panas itu diletakkan di atas tikar.kemudian kembali ke belakang rakit. “Panglima makan dulu,”Andika mengambil-alih galah kemudi dari tangan Bujang. Bujang menghulurkan sepinggan pulut kepada bapa saudaranya,sepinggan lagi diambilnya. Pulut kukus yang dipanaskan,berlaukkan ikan kering bakar memang menyelerakan.Dicicah pula dengan sambal belacan yang dipicit-picit. “Pada anggaran Paman,berapa jauh lagi ke muara sungai?”Bujang bertanya. “Lebih-kurang seratus batu,”Panglima Kahar mengira dalam kepalanya.”Kalau naik rakit,dekat-dekat seminggu juga lamanya.” “Kalau ada angin kuat nanti,kita pasang layar,”Bujang mencadangkan.Cadangan itu disambut dengan anggukan oleh Andika dan Panglima Kahar.Perang mulut antara mereka sudah reda. “Agaknya lancang kita sudah berlabuh di Gresik,”Andika membuat tekaan. Tekaan Andika tepat sekali.Pada waktu itu,lancang yang dipimpin oleh Lela Wangsa baru sahaja melabuhkan sauh tidak berapa jauh dari Pelabuhan Gresik.Walau pun tidak sehebat Betawi, berbagai jenis perahu,sampan dan tongkang tertambat di pengkalan manakala di kiri dan kanan pintu kuala kelihatan kapal-kapal berbagai jenis dari berbagai tempat berlabuh. Di darat,terdapat gudang-gudang,kedai-kedai dan rumah kediaman. Kelihatan juga sebuah masjid yang sudah berusia ratusan tahun.Pembangunan di situ memang pesat. Sementara anak buahnya sibuk dengan pekerjaan masing-masing,Lela Wangsa mundar-mandir di atas geladak memerhati di sekitar lancang.Dia merasa bosan.Sejak ketiadaan Andika,dia terasa bagaikan kehilangan tangan kanannya.Hulubalang berdarah raja dari Tanah Bugis itu begitu secocok dengan jiwanya.Bukan dia tidak mempunyai rakan-rakan di kalangan anak buahnya. Namun,kedudukannya sebagai nakhoda dan panglima perang merenggangkan perhubungan mereka. Dia dihormati dan mungkin juga digeruni di kalangan pendekar dan hulubalang di atas lancang itu.Lebih-lebih lagi bila meraka tahu dia amat rapat dengan Panglima Agung. Panglima Agung pula ibarat rajanya.Dia sangguh meredah lautan api,dia sanggup melakukan apa sahaja, bahkan dia sanggup menggadai nyawa jika diperintah oleh Panglima Agung. Tenggelam dalam fikiran sendiri,Lela Wangsa tidak sedar seorang pendekar menghampirinya. “Lela Wangsa,”pendekar itu memaklumkan.”Ada sebuah sampan menuju kemari.” “Panglima Agung?”hati Lela Wangsa melonjak riang. “Bukan,”pendekar itu membunuh kegembiraan Lela Wangsa.”Tiga orang tidak dikenali.” “Suruh mereka pergi,”perintah Lela Wangsa.”Lancang ini tidak membawa penumpang.” “Mereka nak berjumpa dengan Panglima Agung,”pendekar itu mendesak. Mahu tidak mahu,Lela Wangsa terpaksa menerima tetamu yang tidak diundang itu.Seorang lelaki berwajah bengis naik ke lancang.Dua orang lagi,salah seorang memakai serban,menunggu di dalam sampan. “Hamba Juragan Musa,wakil Kiai Ageng,”lelaki itu berterus memperkenalkan diri selepas bersalam dengan Lela Wangsa.”Boleh kami berjumpa dengan Panglima Agung?Urusan penting.” “Panglima Agung belum sampai lagi,”Lela Wangsa memandang ke darat. “Bila dia akan sampai?”Juragan Musa seperti tidak boleh bersabar lagi. “Panglima Agung mengikut jalan darat dari Jokjakarta kemari melalui pergunungan Bromo,” Lela Wangsa menerangkan.” Sukar untuk diramal bila dia akan sampai di sini.” “Kalau dia balik,kami menunggu di sana,”Juragan Musa menunjuk ke arah sebuah kapal yang berlabuh berhampiran.”Kapal Helang Laut. Jangan lupa beritahu dia.” Jurugan Musa bersalam dengan Lela Wangsa dan bergegas turun ke sampan. Panas cuping telinga Lela Wangsa dengan sikap dan telatah juragan itu.Dia ingat dia siapa, datang tanpa dijemput,kemudian pandai-pandai pula memberi perintah? Dia segera berpindah tempat memandang jauh-jauh ke kawasan pergunungan yang kelihatan samar-samar. “Harap-harap Panglima Agung selamat dalam perjalanan,”bisiknya pada diri sendiri. Rupanya harapan Lela Wangsa belum lagi berbunga. Petang itu,Bujang sedang memancing bersama Ratna apabila dia terasa rakit itu seperti melanggar sesuatu.Andika yang sedang melelapkan mata juga terjaga dari tidurnya. “Kita berlanggar dengan apa,Paman?”Bujang meninjau ke arah Panglima Kahar yang sedang menjaga galah kemudi.”Bunyi macam terlanggar tunggul.” “Dengan apa lagi,dengan binatang itulah,”Panglima Kahar menjuihkan mulutnya ke tengah sungai.Seekor buaya yang besar kelihatan terapung seperti kayu hanyut. Bujang menyerahkan beberapa ekor ikan yang dipancingnya kepada Ratna lalu segera ke bahagian hadapan rakit. “Itulah degil sangat,tak hendak dengar nasihat orang,”Panglima Kahar mengomel,kemudian bingkas bangun menyerahkan galah kemudi kepada Bujang,”Pegang ini.” Andik juga bangun sambil menggenyeh mata memandang ke hadapan. Sambil bercekak pinggang,mulut Panglima Kahar kumat-kamit membaca sesuatu.Berkat bacaan doanya,akhirnya buaya itu menyelam dan hilang ke perut sungai. “Lain kali,kenalah jaga mulut,”Panglima Kahar mengomel lagi.”Jangan celupar sangat.” Andika rasa tercabar. Dia hendak menjawab tetapi bahunya dicuit oleh Bujang. Bujang geleng kepala kepada Andika,tidak mahu perkara itu dipanjang-panjangkan. “Boleh tahan juga Paman,”Bujang memuji bapa saudaranya. “Mujurlah Paman tahu sedikit-sebanyak ilmu pelengang,”Panglima Kahar masih tercegat kalau-kalau buaya lain datang.”Seganas mana pun binatang,dapat kita jinakkan kalau kita tahu petuanya. Setiap binatang ada kelemahannya.” “Boleh kami berguru pada Paman?”Bujang bergurau sambil tersenyum pada Andika. “Boleh,”Panglima Kahar tidak bergurau.”Anak-anak Paman semua perempuan walhal ilmu ini hanya sesuai diperturunkan kepada anak lelaki.Menantu lelaki seorang pun tak layak.” “Barangkali bakal menantu ini layak,”Bujang bergurau sambil menepuk bahu Andika. Andika yang dijadikan bahan gurauan tidak senang duduk.Panglima Kahar menjeling pada Andika, kemudian duduk semula.Andika membasuh muka lalu turut sama duduk. “Abang!”tiba-tiba Ratna menjerit sambil menunjuk ke hadapan.Panglima Kahar dan Andika bingkas bangun memandang kea rah yang ditunjukkan. Walaupun Bujang tidak bangun kerana menjaga kemudi,dapat juga dilihatnya dengan jelas. Jauh di hadapan kelihatan berpuluh-puluh ekor buaya beratur merentangi sungai dari tebing ke tebing seolah-olah cuba menghalang perjalanan rakit itu. “Jauhkan diri dari tepi rakit,”perintah Bujang pada isterinya dan dayang-dayang. Panglima Kahar membaca jampi serapahnya lalu menyembur kea rah buaya-buaya itu. Makin banyak buaya timbul ke permukaan seolah-olah ingin mencabar ketinggian ilmu Panglima Kahar. “Ambil keris pendek abang,”Bujang memberitahu Ratna tanpa menoleh ke belakang. Panglima Kahar kelihatan resah dan gelisah. Jampi serapah yang dibacanya tidak mendatangkan kesan. Bertambah banyak buaya yang muncul menghalang perjalanan rakit mereka. “Nah,abang,”Ratna menghulurkan Keris Sempana Riau kepada suaminya lantas duduk di situ meninjau apa yang sedang berlaku di hadapan.Beratur-ratus ekor buaya berbaris dari tebing ke tebing,ekor terkodek-kodek,badan yang berlumut jelas kelihatan terkena cahaya matahari petang. “Belum serik-serik lagi binatang ini!” Panglima Kahar tunduk menyambar pistolnya,mengacu ke hadapan dan melepaskan sedas tembakan. Seekor buaya menggelupur kesakitan tetapi tidak mengalami kecederaan teruk,peluru hanya sipi terkena badannya. “Kebal?”Panglima Kahar menurunkan pistolnya.”Buaya keramat rupanya.” “Cepatlah,abang,”jerit Ratna cemas.”Dah dekat tu.” Bujang menghunus Keris Sempana Riau. Dia sendiri tidak tahu apa yang harus dilakukan. Dia tidak lagi memiliki pistolnya dan dia tidak pernah belajar ilmu buaya seperti bapa saudaranya. Untuk terjun ke dalam sungai berlawan dengan buaya-buaya itu bukan perkerjaan yang senang kerana bukan seekor-dua yang akan ditentangnya. Tanpa berfikir panjang,hujung bilah keris itu dihala ke arah seeokor buaya yang paling besar,bibirnya melafazkan sepotong ayat dari doa Nabi Khidir.Dengan tidak disangka-sangka,dari hujung keris itu terpancut satu pancaran kilat yang menyilaukan mata,tepat mengenai kepala buaya itu.Satu letupan kecil kedengaran. Buaya yang malang itu menggelepar dan berhempas-pulas,kepalanya hancur seperti terkena bedilan peluru meriam. Buaya-buaya lain bercempera berenang ke tebing. Buaya yang malang itu akhirnya tidak bergerak lagi,badannya tenggelam ke dasar sungai. Semua terperanjat dengan kejadian itu,lebih-lebih lagi Bujang. “Mujurlah kau ada keris sakti,Bujang,”puji Panglima Kahar,menarik nafas lega. “Bujang tidak melakukan apa-apa pun,”Bujang membelek-belek Keris Sempana Riau itu. “Keris yang berhikmat memang begitu,”Andika turut sama memuji. Bujang menyarungkan keris itu lalu dipulangkan kepada isterinya sementara Andika mengambil-alih menjaga galah kemudi. “Kalam munyeng,”tutur Bujang selepas mereka diam seketika membiarkan rakit itu hanyut. “Apa,Bujang?”Panglima Kahar tersentak. “Kalam Munyeng dan Kiai Sengkelat,”Bujang teringat pertemuannya dengan Sunan Kalijogo. “Paman tahu asal-usul Keris Kalam Munyeng,”Panglima Kahar membuka rahsia.”Menurut cerita orang,Sunan Giri sedang menulis kitab apabila orang-orang Hindu Majapahit menyerangnya di kamar. Dia terus melontar kalam yang dipegangnya itu ke arah mereka. Dengan izin Allah, kalam itu bertukar menjadi keris lalu terbang melayang-layang dan berputar-putar membunuh mereka semua.Sebab itulah keris itu dipanggil Kalam Munyeng.” “Di mana keris itu sekarang,Paman?”tanya Bujang ingin tahu. “Masih disimpan oleh keturunan Sunan Giri di Gresik,”Panglima Kahar menerangkan.” Salah satu keturunannya ialah Kiai Ageng.” “Bagaimana dengan Keris Kiai Sengkelat?”tanya Bujang lagi. “Paman kurang arif pasal keris itu,”Panglima Kahar mengaku.”Dari mana kau mendengar namanya?” Belum sempat Bujang menjawab,Andika terus memotong cakapnya.” Mengikut yang empunya cerita,Keris Kiai Sengkelat asalnya kepunyaan Sunan Kalijogo.Kemudian dihadiahkan kepada anak muridnya Empu Supa dari Bugis. Pada waktu itu,berlaku wabak penyakit disebabkan oleh keris pusaka kerajaan bernama Kiai Condong Campur.Setiap malam,keris pusaka itu terbang mengeluarkan cahaya,mana-mana kampung yang dilaluinya pasti diserang penyakit aneh. Perajurit Islam pimpinan Raden Patah muntah darah dan mati. Lantas,Keris Kiai Sengkelat dilepaskan oleh Empu Supa untuk berlawan dengan Keris Condong Campur.Akhirnya keris pusaka kerajaan Hindu itu terbakar hangus dan wabak penyakit tidak ada lagi.” “Betulkah cerita itu?”tanya Panglima Kahar,kagum mendengarnya dari Andika. “Hamba hanya mendengarnya dari ayah hamba Tok Kilat,”balas Andika. “Dan keris itu berada di Tanah Bugis?”tanya Panglima Kahar pada Andika. “Entahlah,”Andika goyang bahu.”Apa pendapat Panglima?” “Wallahualam,”Bujang menjawab ringkas. “Habis tu,kenapa Bujang menyebut pasal Keris Kalam Munyeng dan Keris Kiai Sengkelat?”tanya Panglima Kahar.”Dari mana Bujuang mendengar namanya?” “Hanya cerita orang,”ujar Bujang penuh rahsia. Dia bangun mendapatkan isterinya lalu menyambung kerja memancing. “Berselera benar nampaknya kau malam ini,Chendana,”Tunku Balqis menegur madunya. “Bukan aku,anak dalam perut ini yang kepingin,”Chendana meraba perutnya yang kian besar. “Nanti badan jadi gemuk,cik abang kita tak sayang lagi,”Tunku Balqis mengusik. “Chendana tu,Tunku,pantang jumpa sambal belacan dengan ulam pucuk gajus,”Mak Siti pula menyampuk. “Inilah makanan kegemaran abang Bujang sejak dari dulu,”ujar Chendana perlahan. “Musim tengkujuh akan berakhir tidak lama lagi,”Datuk Temenggung mencelah.”.Bila Laut China Selatan sudah tenang,ayah hendak belayar ke sana.Tunku dengan Chendana nak ikut sama?” Chendana dan Tunku Balqis sama-sama tersedak. “Buat apa ayah ke sana?”tanya Chendana kehairanan.Tunku Balqis juga memasang telinga. “Titah Duli Yang Dipertuan,”Datuk Temenggung menerangkan tujuannya ke sana.”Yamtuan Muda hendak meminang anak raja Bugis pula.” “Dulu Ratu Jambi,sekarang hendak bersemenda dengan puteri Bugis pula,”rungut Chendana, tanpa mengetahui tentang hubungan Bujang dengan Daeng Ratna.”Tak habis-habis Raja Ibrahim itu dengan perangai miangnya.” “Itu lebih baik daripada dia menyerang Bugis,”Datuk Temenggung menempelak. “Agaknya memang sifat raja-raja Melayu suka berkahwin ramai,”sampuk Tunku Balqis. “Entahlah,”balas Mak Siti.”Nujang yang bukan raja pun berkahwin ramai juga.” “Tapi,abang Bujang pun berdarah raja,”Chendana mengingatkan emaknya. “Kalau sudah jodohnya,dengan orang bunian pun,apa kita nak buat,”Tunku Balqis mengeluh. Tiba-tiba dia menggigit bibir menyedari keterlanjurannya.Chendana juga terperanjat bila Tunku Balqis menyebut hal tersebut. Mereka berpandangan sesama sendiri. “Bila pula Bujang berkahwin dengan orang bunian?”tanya Mak Siti. “Maksud Balqis ,kalau abang Bujang berkahwin dengan orang bunian,Mak”Chendana cepat-cepat mencelah membela madunya.”Mana ada orang bunian dalam dunia ini. Tahyul.” “Orang bunian itu wujud,ada orang yang bersua dengan mereka,”Datuk Temenggung membantah cakap anaknya.”Tapi,mereka terlalu pemilih.Bukan calang-calang manusia yang dipilih mereka.” “Bolehkah manusia berkahwin dengan bunian?”Tunku Balqis pura-pura bertanya,teringat pada pertemuan dengan Puteri Rubiah dan Mayang Sari tempoh hari. “Boleh,asalkan cukup syarat dan rukun,”Datuk Temenggung mengiyakan.”Cuma perkahwinan itu tidak diambil kira di alam manusia.” “Maksud ayah?”Chendana kurang fahan. “Lelaki beristeri empat di kalangan manusia masih boleh berkahwin dengan orang bunian,” Datuk Temenggung menjelaskan.”Ramai alim ulama dan guru mursyid di kalangan kita berkahwin dengan orang bunian. Sah di sisi hukum dan syarak. Tapi,syaratnya ketat.Mesti pandai menyimpan rahsia,tak boleh riak atau takbur.” “Dari mana abang tahu semua ini?”tanya Mak Siti penuh kesangsian.”Jangan-jangan abang pun ada isteri dari orang bunian.” “Jangan merepeklah,Siti,”bidas Datuk Temenggung.”Tidak ada orang lain,awak sahaja perempuan yang paling cantik pada pandangan abang.” Chendana dan Tunku Balqis tersenyum-senyum melihat gelagat pasangan berumur itu. Hidung Mak Siti kembang-kempis kerana dipuji begitu. “Chendana dengan Tunku hendak ikut serta ke Makasar?”Datuk Temenggung mengulangi pertanyaannya.”Daripada memandai-mandai sendiri,lebih baik ikut ayah.” “Ayah tahu tentang rancangan kami dulu?”tanya Chendana kehairanan. “Ayah ada ramai pengintip dan penyampai maklumat,”balas Datuk Temenggung selamba.” Lagi pun,Kuala Singapura bukannya jauh sangat dari sini. Tok Kilat orang sana.” Merah padam wajah Chendana dan Tunku Balqis kerana rancangan mereka sudah diketahui. “Kami hendak menunggu abang Bujang di sana,Datuk,”Tunku Balqis memberi alasan.”Menurut cerita orang,abang Bujang akan mencari Chendana hingga ke sana.” “Kalau bernasib baik,barangkali Lela Wangsa sudah menemui suamimu di Tanah Jawa,” Datuk Temenggung menyambung.”Berita terakhir yang diterima dari orang-orang kita di Selat Sunda, lancang Panglima Agung menuju ke Jokjakarta di Laut Selatan. Lancang itu membawa bendera Fisabilillah berwarna hijau tua.” “Mudah-mudahan begitulah,”Chendana bersuara penuh harapan.Dia terus menyuap nasi. Begitu juga Tunku Balqis. Dalam hati,mereka sama-sama berdoa agar Bujang selamat pergi dan selamat kembali ke pangkuan mereka. Sudah terlalu lama,mereka rindukan kehangatannya. “Bagaimana rupa paras kakak berdua?”tanya Ratna dalam pelukan suaminya. “Macam Ratna,”balas Bujang perlahan dalam khemah mereka. “Macam Ratna?”Ratna terkejut,menatap wajah suaminya.”Abang bergurau?” “Tidak,abang tidak bergurau,”Bujang bersungguh-sungguh menyatakan.”Wajah kau orang bertiga seperti adik-beradik.Yang membezakannya ialah tahi lalat. Chendana bertahi lalat di kanan, Ratna di sebelah kiri,Balqis tidak ada tahi lalat.Ketiga-tiganya berlesung pipit.” “Pandai abang mencari isteri yang serupa,”Ratna memuji.”Mayang Sari dan Puteri Rubiah pun hampir seiras.” “Mereka tidak boleh dikira kerana mereka orang bunian,”jelas Bujang.”Mereka boleh bertukar rupa pada bila-bila masa.” “Paman Samarinda pernah berpesan supaya jangan mendekati golongan jin kalau ilmu tidak penuh di dada,”Ratna memetik kata-kata bapa saudaranya Tok Kilat ayah Andika. “Bunian bukan dari golongan jin tetapi mereka bersifat seperti jin,”Bujang menjelaskan.”Kisah nenek-moyang mereka ada diceritakan dalam hadis Rasullullah s.a.w.” “Sollulllah-alaihi-wasalam,”Ratna mengulangi pujian kepada Junjungan Besar. “Manusia sudah,bunian pun sudah,”Ratna bertanya.”Apa lagi cita-cita abang?” “Kalau diizinkan Allah,abang ingin memiliki sebuah kapal yang lebih besar,”ujar Bujang. “Macam lancang kita tu?”tanya Ratna membelai-belai rambut suaminya penuh manja. “Lebih besar lagi,”Bujang berangan-angan.”Semua kelengkapan ada di dalam.Dapatlah kita belayar ke mana sahaja tanpa perlu risau tentang musim tengkujuh atau ribut taufan.” “Mana ada kapal macam itu,”Ratna menyindir suaminya. “Manalah kita tahu,”sambut Bujang.”Ratna tidurlah dulu.Abang belum rasa mengantuk.” Bujang merangkak keluar dari dalam khemahnya lalu beredar ke bahagian hadapan rakit. Andika berada di situ menjaga galah kemudi.Cuaca pada malam itu cukup terang,bulan yang mengambang penuh dipagari jutaan kerlipan bintang.Air laut kelihatan berkilau-kilauan. “Laut?”baru Bujang perasan.”Kita sudah sampai di muara?” “Rasanya begitulah,Panglima,”jawab Andika seperti tidak percaya.”Mungkin inilah Surabaya.” “Surabaya,”mata Bujang menerobos cahaya malam memerhati pintu kuala yang lebar itu. “Elok kita rapat ke tebing mencari tempat yang sesuai menambat rakit,”Andika bangun mengemudikan galah dengan berhati-hati.”Kalau betul ini Pelabuhan Surabaya,tak jauhlah lagi kita dengan Gresik.” Rakit itu merapat ke tebing dan hanyut dengan tenang menuju ke kuala. “Kita bermalam di rakit,besok baru kita ke darat,”Bujang membuat keputusan sebelum berpaling kembali ke khemahnya untuk menyampaikan berita baik itu kepada isterinya. Esoknya hari Rabu 16 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 8 November 1652 Masehi Bujang sudah bersiap-siap hendak melangkah ke darat. “Mana Andika?”tanya Bujang ketika duduk bersarapan di atas rakit itu. “Dia naik ke darat bertanya orang,”jawab Panglima Kahar,menjengah ke darat.”Hah,itu pun dia! Dah balik.Panjang umurnya.” Andika melompat ke atas rakit dengan wajah berseri-seri lalu duduk menghadapi hidangan. Pinggan makan dan cangkir minuman dihulurkan. Mereka makan dengan diam-diam. Mereka menunggu Andika membuka mulut bercerita tetapi Andika tetap membisu,hanya mulutnya tidak henti-henti mengunyah ubi rebus yang disajikan. Dia seolah-olah sengaja membiarkan mereka tertanya-tanya. “Nampaknya rakit ini terpaksa kita tinggalkan,”kata Bujang pada bapa saudaranya.”Kita perlu mencari perahu layar ke Gresik.” “Gresik tidak berapa jauh lagi,”sambut Panglima Kahar.”Tentu ada perahu penambang yang hendak ke sana.Belum habis nasi ditanak,sampailah kita.” “Buat apa diikut jalan laut kalau jalan darat lebih mudah dan lebih cepat,”baru Andika bersuara. “Ingatkan dah kena sampuk tadi,”Panglima Kahar menyelar Andika. “Itu pun mereka!”beritahu Andika pada Bujang sambil menuding kepada dua buah pedati yang sedang menghampiri tempat rakit mereka ditambat.”Memang betul,inilah Surabaya. Laut itu ialah Selat Madura. Tadi hamba ke darat menyewa dua kereta kuda untuk membawa kita ke Gresik.” Bujang membasuh tangan dengan air sungai.”Cepat-cepat sikit makan,”kata Bujang pada Ratna dan dayang-dayang.”Kita hendak balik ke lancang.” Mereka cepat-cepat menghabiskan ubi rebus yang disuap,kemudian bangun membiarkan barang-barang dipunggah dari rakit ke atas pedati oleh dua orang supir keturunan Jawa. “Bagaimana dengan rakit ini?”tanya Andika. “Kita sedekah saja,siapa nak ambil ambillah,”sahut Panglima Kahar. “Sebenarnya rakit ini banyak gunanya,”Bujang tidak menyokong pendapat itu.”Andika, beritahu Lela Wangsa supaya rakit ini ditunda ke lancang.” “Baik,Panglima,”balas Andika. Perjalanan menaiki pedati dari Surabaya ke Gresik tidaklah lama. Tambahan pula,jalan tepi laut yang dilalui memang elok dan rata,tidak berlubang-lubang seperti jalan ke Madiun.Jalan pun lebar boleh dilalui oleh banyak pedati. Lewat pagi,mereka pun tiba dengan selamatnya di pantai Gresik di mana kelihatan beberapa buah kapal dan lancang sedang berlabuh. Lancang berbentuk finisi Bugis dengan bendera hijau bertulis kalimah ‘Lailahaillallah’ juga kelihatan.Jauh ke tengah laut tersergam Pulau Madura seperti raksasa sedang tidur. Tanpa disuruh,Panglima Kahar sudah pun bergegas menemui pemilik sampan yang tertambat di situ.”Bawa semua barang-barang kita ke lancang,”beritahu Bujang pada Ratna dan dayang-dayang.” Andika,jangan lupa pesan hamba tentang rakit itu,”Bujang mendekati salah seorang supir yang belum bertolak.”Bawa hamba ke masjid.” Kerana waktu zohor masih jauh,Bujang minta dihantar ke makam Sunan Giri di atas Bukit Giri. Selepas itu baru dia ke masjid Gresik menziarahi makam Maulana Malik Ibrahim. Seperti di makam Sunan Giri,tidak ada kejadian luar biasa berlaku di makam pelopor Wali Sembilan itu. Suasana permakaman sepi dan hening kecuali bunyi desiran angin meniup daun-daun. Selepas menghadiahkan doa,Bujang mengambil wuduk lalu masuk ke dalam masjid itu. Hanya dua orang berjubah sedang terhinggut-hinggut berzikir di saf hadapan dekat mimbar. Mereka membelakangi Bujang dan tidak nampak Bujang masuk.Bujang juga tidak mahu mengganggu mereka lalu dia mendirikan sembahyang tahiyatul masjid agak jauh dari mereka. Sementara menunggu masuknya waktu zohor,dia melagukan zikir di dalam hati. Makmum semakin ramai masuk memenuhi masjid tua itu. Azan zohor dilaungkan.Bujang bersembahyang jemaah bersama mereka semua.Ketika dia melangkah keluar dari masjid itu,dia ditahan oleh kedua-dua oraang yang berjubah tadi. “Sampian Gusti Panglima Agung?”tanya salah seorang dari mereka. “Hamba Panglima Agung,”Bujang mengaku,hairan kerana tidak mengenali mereka berdua. “Kiai Ageng menyuruh jemput Gusti Panglima,”jawab lelaki berjubah itu lagi.”Pejam mata dan ikut kami.” “Ke mana?” tanya Bujuang agak ragu-ragu. “Kapal Helang Hitam,”ujar lelaki berjubah yang kedua pula.”Pejam mata.” Bujang pun memejam matanya seperti disuruh. Telinganya tiba-tiba berdesing seperti dirempuh angin kuat. Bila dibuka matanya,dia sudah berada di atas kapal Helang Hitam,kedua-dua lelaki yang berjubah tadi hilang entah ke mana. Lancangnya turut berlabuh tidak jauh dari kapal itu.Dia nampak dengan jelas Lela Wangsa sedang berbual-bual dengan anak buahnya di atas lancang. “Cari siapa?”tanya seorang anak kapal Helang Hitam. Bujang melihat pemuda yang bertanya itu sedang mengikat damang iaitu tali yang diikat pada bahagian hujung bawah layar dan ditambat simpul hidup pada tajuk birai. “Kiai Ageng,”jawab Bujang mendekati pemuda itu. “Tuan Kiai masih tidur,”sahut pemuda itu ramah.”Dia tidur petang sebab malam nanti dia perlu berjaga sampai ke subuh.” “Nakhoda?”tanya Bujang lagi. “Juragan Musa ada di sana,”pemuda menunjuk dengan jarinya.”Yang menghisap cengklong.” “Terima kasih,”Bujang pun mendekati Juragan Musa yang sedang menyedut bekas tembakau yang bengkok.Asap berkepul-kepul keluar dari bekas itu. “Juragan Musa?”Bujang bertanya. “Mahu apa?”Juragan Musa seperti tidak suka diganggu. “Hamba ingin berjumpa dengan Kiai Ageng,”Bujang mengulangi hasratnya. “Kiai Ageng sedang tidur!”bentak Juragan Musa,kemudian menoleh melihat Bujang buat pertama kalinya.”Kau orang baru,ya? Bagaimana kau boleh naik kemari?” “Kalau Kiai Ageng masih tidur,biarlah hamba balik dulu,”ujar Bujang tanpa membalas pertanyaan Juragan Musa.Dia beredar ke tepi kapal lalu berteriak,”Lela!Lela Wangsa!” Bila melihat Lela Wangsa menoleh ke arahnya,dia berteriak lagi,”Bawa sampan!” Seorang pendekar tergesa-gesa turun ke sampan lalu berdayung ke kapal itu. Juragan Musa jadi hairan. Kalau diikut fikiran yang waras,tidak munasabah teriakan itu boleh didengar oleh mereka yang berada di lancang.Jarak antara lancang itu dengan kapal Helang Hitam lebih dari sepelaung jauhnya.Tetapi,teriakan itu dapat didengar dengan jelas walaupun suaranya tidak lantang.Dan,lancang itu pula milik Panglima Agung. “Siapa kamu?”tanya Juragan Musa pada Bujang,suaranya lembut sikit. Bujang tidak menjawab. Sebaliknya,dia turun ke sampan yang menunggunya di bawah. “Andika ada di sana,Dali?’tanya Bujang setelah sampan itu meninggalkan kapal Helang Hitam. “Andika dengan Mansor dan Telanai pergi mengambil rakit buluh seperti yang Panglima perintahkan,”Dali memaklumkan,kemudian tergamam bila sampan mereka tiba-tiba ditahan oleh dua orang berjubah. Bujang lekas-lekas mengenali mereka yang membawanya ke kapal tadi. Mereka berdiri di atas air laut dan tidak sedikit pun tenggelam. “Tunggu!”salah seorang dari mereka menahan.”Gusti Panglima terpaksa kami tahan! Perintah dari Kiai Ageng!” “Aku kenal siapa dirimu,”suara Bujang berubah.”Tadi,sengaja kubiarkan. Sekarang,aku jangan dihalang.” Tangan kanan Bujang menggumal hulu Keris Sempana Riau. Kedua-dua lelaki berjubah itu mengapung diri di permukaan laut,seolah-olah ingin mem-pamerkan kehebatannya.Tangan mererka bermain-main dengan bola api. “Belum hebat lagi,”Bujang menghunus kerisnya.”Berundur,sebelum kau kubinasakan.” Kedua-dua lelaki berjubah itu lenyap dalam kepulan asap. Dali terpinga-pinga,tergamam. “Kita balik ke lancang,”pinta Bujang sambil menyarungkan Keris Sempana Riau. Malam itu,Bujang duduk menulis sesuatu ke dalam bukunya sementara Ratna berdiri di sebelah memerhati.”Catatan ini sudah lama abang abaikan,”Bujang bersuara,kalam bulu ayamnya menari-nari di atas kertas. “Oh,pengalaman hidup abang,”Ratna membaca seketika.”’Hikayat Panglima Agung’.Ratna boleh membaca tulisan Jawi. Tapi,tulisan yang pelik-pelik itu tulisan apa?” “Tulisan Rumi,”jelas Bujang,mencelup kalam ke dalam bekas dakwat,menulis semula.” Abang belajar sikit-sikit,di samping tulisan kita.” Tiba-tiba kedengaran pintu kurung mereka diketuk dari luar.”Ada apa?”tanya Bujang. “Kiai Ageng sudah datang,Panglima,”suara Lela Wangsa memberitahu. “Tunggu hamba datang,”Bujang menyimpan kalamnya.Melihat dakwat di atas kertas belum kering,buku catatan itu dibiarkan terbuka.Dia bangun mencapai kerisnya lalu keluar dari kurungnya.Kiai Ageng yang berjubah putih itu sedang menunggu di bawah tenda berhampiran celaga kemudi,ditemani Juragan Musa dan seorang anak kapal yang ramah dengan Bujang petang tadi.Bujang menyisip kerisnya ke pinggang lalu bersalaman dengan mereka.Juragan Musa nampak takut-takut,wajahnya agak pucat.Dia beredar agak jauh sikit. “Si-Amat ini sudah ceritakan semuanya.,”Kiai Ageng keturunan Sunan Giri memohon dengan rendah hati.” Kulo minta ampun bagi pihak Juragan Musa.Dia tu pongah sikit,disangkanya dia jagoan segala jagoan.” “Perkara kecil sahaja,Kiai,”Bujang menyatakan sambil menggamit Juragan Musa kemari. “Begini,Gusti Panglima,”Kiai Ageng tidak membuang masa.”Kulo minta Gusti Panglima ikut kami ke Panarukan. Di sebuah gua di kaki Gunung Ringgit.Kulo perlukan bantuan Gusti Panglima menarik wang dari langit.” “Wang dari langit?”Bujang terperanjat,itulah pertama kali dia mendengarnya.”Bolehkah wang ditarik dari langit?” “Kiai Ageng ini guru segala guru dalam ilmu gendam,ilmu poncosono,bandong bodowongso dan lain-lain ilmu penguasaan wang,”Juragan Musa menerangkan,takutnya sudah hilang.” Dia mampu menarik wang dengan menggunakan khadam dan Keris Anjar Asmoro.” “Bagaimana boleh hamba bantu?”Bujang masih belum faham. “Keris Anjar Asmoro sudah ada,”sambung Kiai Ageng pula.”Cuma dibutuhkan mutiara delima, besi kuning dan kulit kijang putih. Juga daging kucing hitam sebagai sesajen.” Bujang termenung seketika memikirkan permintaan Kiai Ageng yang pelik itu. Dia tidak menduga cucu-cicit Sunan Giri boleh terlibat dalam kerja-kerja kurafat,bidaah dan syirik itu. “Kulo tahu Gusti Panglima miliki semua barang itu,”Kiai Ageng meneruskan.”Kulo sudah ada Keris Anjar Asmoro.Si-Amat ini boleh sediakan daging kucing hitam.” “Hamba tidak pernah belajar ilmu yang karut-marut ini,Kiai,”Bujang memberanikan diri menyuarakan pendiriannya.Serta-merta air muka Kiai Ageng dan Juragan Musa berubah. “Ini bukan karut,Gusti Panglima,”Juragan Musa membela gurunya.”Bukan kurafat atau syirik. Kami gunakan perantaraan khadam yang suci yang kami seru namanya.” “Bukan khadam tetapi jin,”Bujang memandang tepat ke wajah Juragan Musa.”Jin kamu cuba mengganggu hamba petang tadi.” “Jin atau khadam bisa diperintah,”sampuk Kiai Ageng pula.”Seperti mana dilakukan oleh Nabi Sulaiman Alaihissalam.Tidak salah asalkan tujuan kita baik,Gusti Panglima. Sememangnya kulo arif dalam hal ini karena kulo keturunan wali Allah.” “Kami perlukan bantuan Gusti Panglima,”Juragan Musa merayu.”Wang hasilnya kita bahagi dua sama rata.Separuh untuk Gusti Panglima,separuh lagi untuk Kiai Ageng.” “Kulo butuhkan wang yang banyak untuk mendirikan masjid baru menggantikan masjid tua di Gresik,”Kiai Ageng turut merayu.”Inilah jasa kulo kepada leluhur Sunan Giri.” Bujang termenung lagi.Dia tahu matlamat tidak menghalalkan cara. Tujuan Kiai Ageng baik tetapi cara mendapatkan kekayaan agak meragukan. “Mengapa hamba?”terpancut soalan itu,seolah-olah pada diri sendiri. “Itulah permintaan Mbah Jubah Kuning,”Kiai Ageng menjelaskan. “Berikan masa hamba berfikir,”Bujang meminta tempoh.”Besok akan hamba berikan jawapan.” “Baiklah,”Kiai Ageng berpuas hati. Dia pun bersalam dengan Bujang,diikuti oleh Juragan Musa dan Si-Amat.Bujang menghantar mereka hingga ke tepi lancang,kemudian memerhati sahaja mereka turun ke sampan lalu berdayung pulang ke kapal Hilang Hitam. Bujang berpaling dan terus kembali ke kurungnya. Hari Khamis 17 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 9 November 1652 Masehi, selepas bersembahyang tahajud dan subuh,Bujang termenung di jendela memerhati anak buahnya memeriksa tali bubutan layar,memeriksa dulang-dulang,menggulung tali-temali dan lain-lain pekerjaan. Lela Wangsa kelihatan berbual-bual dengan Andika dan Panglima Kahar di bawah tenda di tepi celaga kemudi sambil memeriksa alat mata angin yang dipanggil kompas.Isterinya sedang menyediakan sarapan,bau masakan memenuhi kurung itu sebelum menerobos keluar melalui jendela yang terbuka. Bujang masih termenung.Semalam sebelum tidur,dia telah pun melakukan sembahyang sunat istiqarah memohon Allah memberi pertunjuk mengenai rancangannya bersama Kiai Ageng.Namun begitu,sebaik terjaga,dia belum juga mendapat sebarang alamat melalui mimpi. Hatinya berbelah-bagi.Kalau tiada alamat,bererti perkara itu diharuskan.Kalau kebaikan,ditunjukkan kebaikannya dan kalau membawa kejahatan,diperlihatkan kesan-kesannya.Gerak hatinya mengatakan boleh. Untuk mengukuhkan hatinya,dikerjakan pula sunat tahajud 12 rakaat sebelum ditutup dengan sembahyang witir.Selepas mendirikan sembahyang subuh,dia berdoa lagi penuh khusyuk agar pekerjaannya diberkati Allah. “Sarapan,abang,”Ratna duduk menghidangkan nasi goreng bersama air kopi panas. Bujang duduk bersila lalu mencapai bekas basuh tangan.”Mengapa tidak disuruh dayang-dayang memasaknya?” “Biarlah,abang,”balas Ratna lembut.”Sikit sahaja,Ratna pun boleh masak.” Selepas itu,diam-diam mereka menyuap makanan sambil mendengar bunyi ombak menghempas tepian lancang.Tidak lama kemudian,Bujang tersandar kekenyangan sambil meneguk minumannya. “Kurung ini boleh dibaiki lagi,”Ratna mencadangkan sambil mengemas pinggan.”Supaya asap boleh keluar melalui bumbung.Kita juga perlukan bilik mandi dan tandas.Ratna seganlah turun mandi di bawah geladak.” Bujang memerhati keadaan di dalam kurung itu.” Hidup di atas lancang kenalah berpada-pada, tidak seperti hidup di rumah,””katanya perlahan. “Keperluan asas sahaja,abang,”balas Ratna.”Ratna tak minta yang bukan-bukan.” “Nanti abang minta tukang kayu tengok-tengokkan,”Bujang mengalah lalu menghabiskan minumannya.Dia keluar ke geladak.Ramai anak buahnya berlatih silat atau membuat senaman,beberapa orang memerhati matahari pagi yang sudah muncul menerangi Pulau Madura di tengah laut. Bujang menjenguk ke bawah.”Badul,”perintahnya pada seorang pendekar dalam sampan di tepi rakit buluh.”Pergi cari Kiai Ageng di sana,katakan padanya hamba sudah bersedia.” Badul terkial-kial mendayung sampannya ke kapal Helang Hitam. “Lela Wangsa,”Bujang memerintah pula nakhodanya yang sedang berlatih buah silat dengan Andika.”Bersiap-sedia untuk belayar.Kita ikut kapal Helang Hitam.” Lela Wangsa berhenti bersilat dan terus memberi arahan kepada anak buahnya. Bujang kembali ke kurung membuat persiapan.Ratna sedang membersihkan pinggan dan cawan. “Ratna,”pintanya ketika menukar pakaian.”Selepas sembahyang sunat dhuha,abang hendak baring-baring sekejap.Kalau abang terlelap,tolong kejutkan waktu asar,ya?” “Asar?InsyaAllah,abang,”Ratna berjanji. Tidak lama kemudian lancang itu belayar mengekori kapal Helang Hitam meninggalkan perairan Gresik.Ketika itu,Bujang sudah pun terlena di atas katilnya. -“Hati-hati dengan fitnah Iblis dan syaitan,”satu suara garau bergema dalam kotak fikiran Bujang.”Mereka tidak jemu-jemu menggoda anak-cucu Nabi Adam hingga ke yaumulkiamah. Tidak terkecuali para rasul,nabi dan aulia,apa lagi manusia biasa.Mereka bijak menampakkan kebaikan pada kejahatan.Yang berkilau bukan emas,yang berkelip bukan intan.”- Bujang terjaga,terasa lancangnya masih belum bergerak dari pelabuhan. “Syukurlah abang dah bangun,”tegur Ratna sambil tersenyum di sisinya”Ratna baru berkira-kira hendak mengejutkan abang.” “Alhamdulillah,”Bujang bingkas bangun memandang di sekelilingnya.”Mengapa lancang kita belum belayar lagi?” “Sudah belayar pagi tadi,”ujar Ratna lembut.”Sekarang dah petang. Kita sudah sampai.” “Sampai di mana?”Bujang bergegas ke jendela menjenguk keluar.Memang benar hari sudah petang.Kapal Helang Hitam dan lancang itu sudah pun berlabuh tidak jauh dari pantai. Sebuah gunung kelihatan tersergam menyapu awan.”Gunung Ringgit,”tuturnya perlahan. Tanpa berlengah,Bujang membasuh muka dan mengambil wuduk dengan air tempayan. Dia terus mendirikan sembahyang jamak taqkhir. – “Yang berkilau bukan emas,yang berkelip bukan intan.”- Bujang menghabiskan doanya lalu lekas-lekas menyarungkan pakaian pendekar. “Abang tak hendak membawa bekalan?”tanya Ratna menghulurkan keris pendek. “Tak apalah,”Bujang menyisip keris itu ke pinggangnya.”Sepeninggalan abang,bawalah dayang-dayang tolong temankan Ratna.” “Berapa lama abang berpergian?”tanya Ratna,agak risau. “Hanya ke gunung itu,”Bujang mencapai keris panjangnya.”Sehari-dua,baliklah.” Selepas mengucup dahi isterinya,Bujang bergegas keluar ke geladak. Dia terkejut melihat Lela Wangsa dan semua anak buahnya sudah sedia menunggu.Andika dan Panglima Kahar juga ada di situ.”Kamu semua hendak ke mana ni?”dia bertanya pada mereka. “Mengikut Panglimalah,”balas Lela Wangsa,disambut dengan anggukan oleh semua. “Tengah hari tadi,Juragan Musa datang,”Panglima Kahar memberitahu anak saudaranya.” Bujang sedang tidur,jadi kami tak berani ganggu. Juragan Musa bawa pesanan Kiai Ageng.” “Apa pesannya?”Bujang memerhati semua anak buahnya. “Kata Kiai Ageng,kita mesti berada di gua itu sebelum senja,”tambah Panglima Kahar. “Sebab itulah kami semua bersedia mengikut Panglima,”sahut Andika. “Kali ini,hamba pun mesti ikut sama,”Lela Wangsa berkeras. “Separuh ikut hamba,separuh lagi tunggu di lancang,”Bujang membuat keputusan. Mereka pun turun ke sampan masing-masing yang tertambat di bawah. “Empat-lima orang bawa rakit itu ke pantai,”perintah Bujang lagi. “Buat apa dengan rakit,Panglima?”tanya Lela Wangsa dari sampannya. “Adalah kegunaannya,”jawab Bujang ringkas. Mereka pun bergerak beramai-ramai ke pantai. Sampan dan rakit ditambat pada akar kayu. “Barangkali itulah guanya,”Bujang menuding dengan jarinya.”Elok kita berihat sementara menunggu Kiai Ageng.” Anak buahnya pun berlari-larian dan berkejar-kejaran di pantai seperti budak-budak. Lela Wangsa,Andika dan Panglima Kahar tersenyum melihat gelagat keanak-anakan mereka. Bujang tercegat memerhati dengan teliti gua di kaki Gunung Ringgit. Lela Wangsa,Andika dan Panglima Kahar turut sama berdiri di bawah naungan pohon rendang,masing-masing memicing mata mencontohi perbuatan Bujang.Beberapa ketika kemudian,Bujang mengangguk perlahan. Mereka bertiga juga terangguk-angguk seperti burung belatuk. “Mengapa kamu angguk kepala?”tanya Bujang kehairanan. “Tak tahu,”ujar Lela Wangsa,menggoncang bahu.”Panglima angguk,kami pun angguklah.” “Ada berapa ekor,Paman?”Bujang bertanya pada bapa saudaranya. “Enam ekor di dalam gua,seekor di hadapan pintu gua,”Panglima Kahar menjawab.”Yang lain berkeliaran di sepanjang pantai ini hingga ke gua itu.” “Apa yang berkeliaran ni?”Lela Wangsa garu kepala memandang sekelilingnya. “Kamu berdua tak nampak?”tanya Panglima Kahar. “Tidak,Datuk,”Andika geleng kepala penuh tandatanya. “Sebenarnya gua itu ditunggui harimau,”balas Panglima Kahar selamba. “Hah?Harimau?”Lela Wangsa dan Andika melompat bangun seperti jerat membidas. “Tak nampak apa-apa pun,”Lela Wangsa memberanikan diri. “Nak tengok?”Bujang menepuk tangannya sekali. Tiba-tiba muncul beratus-ratus ekor harimau belang mundar-mandir di tepi pantai itu. Di hadapan gua terbaring seekor harimau yang agak besar sebagai pengawal manakala dari dalam gua itu kedengaran bunyi ngauman beberapa ekor harimau lagi.Andika dan Lela Wangsa merapatkan diri ke sisi Bujang.Anak kapal yang lain yang sedang bersukaria di pantai lari bercempera balik ke rakit dan sampan masing-masing.Tetapi harimau-harimau itu menguap malas tidak pedulikan manusia yang menceroboh kawasan mereka itu. Bujang menepuk tangannya sekali lagi.Sekelip mata kemudian,semua harimau itu ghaib. “Mari,”Bujang mengajak Panglima Kahar,Andika dan Lela Wangsa.”Yang lain boleh ikut hamba atau tunggu di sini.” Panglima Kahar,Andika dan Lela Wangsa terus mengikut Bujang ke gua itu. Yang lain-lain tidak tunggu lagi,terus berlompatan terjun ke darat menyusul dari belakang meninggalkan rakit dan sampan. Walaupun hati terasa berat,tidak ada yang berani kembali ke lancang. Perjalanan ke gua itu melalui lorong dan denai tidak memakan masa yang lama. Tidak sampai sekapur sirih,mereka sudah berada di hadapan gua yang gelap itu. Di tepi gua itu terdapat sebuah lopak limpahan air yang mengalir dari atas gunung. Air itu nampak jernih dan bersih,tidak dicemari oleh tangan manusia Tidak ada yang berani menyentuh air itu atau masuk ke dalam gua.Masing-masing menunggu arahan selanjutnya. Kiai Ageng sampai tidak lama kemudian ketika hampir senjakala. Kiai Ageng hanya ditemani Juragan Musa dan Si-Amat.”Cuma empat orang bisa ikut. Mesti tujuh orang,tidak lebih tidak kurang.” Tanpa disuruh lagi,Panglima Kahar dan Andika tampil ke sisi Bujang.Lela Wang berpaling memberi perintah padan anak buahnya,”Kamu semua tunggu di sini sampai kami keluar.” Si-Amat menyalakan pelita damar dengan menggunakan pemetik api. Pelita itu dihulurkan kepada Kiai Ageng.Kiai Ageng pun mendahului kumpulan kecil itu masuk ke dalam gua.Mereka mengikut sahaja,tidak ada yang berani bersuara.Setelah agak jauh kwe dalam gua,Kiai Ageng berhenti di suatu kawasan lapang. Waktu putih yang bergantungan dari bumbung gua kelihatan bersinar disuluh cahaya lilin. “Duduk dalam satu bulatan,”perintah Kiai Ageng. Mereka pun duduk menghadap antara satu sama lain.”Baca fatihah tujuh kali,lepas itu berzikir banyak-banyak.Apa yang kalian nampak, usah ditegur.” Mereka pun melakukan seperti yang diperintah.Panglima Kahar duduk diapit oleh Andika dan Lela Wangsa.Kerana Bujang duduk di sebelah Kiai Ageng,dia dapat mendengar dan melihat dengan jelas setiap perbuatan Kiai Ageng. Kiai Ageng menatang lilin,matanya terpejam rapat manakala bibirnya bergerak-gerak membaca jampi serapah dalam bahasa Jawa. “Kulo nuwun karamati isim,nuwun karamati kekuatan,nuwun karamati kawadukan,nuwun kadikdayan…nyuwun hasil angkang kulo sewuwun pancai sarana kai cipta….!” Tiba-tiba lilin di tangan Kiai Ageng terpadam ditiup angin kuat yang datang entah dari mana. Serta-merta keadaan di dalam gua itu menjadi gelap-gelita. “Biar hamba nyalakan api,”suara Lela Wangsa kedengaran menawarkan diri. “Jangan!”Kiai Ageng cepat-cepat melarang.”Mbah Ki Sapu Angin pantangnya melihat api. Teruskan zikir kalian. Jangan bicara jika tidak disuruh.” Mereka pun meneruskan zikir dalam suasana gelap pekat itu.Entah dari mana kedengaran bunyi harimau mengaum dan mencakar-cakar tanah. Bujang menutup lubang pancainderanya dan menyatukan diri dengan alam kebatinan. Dalam keadaan antara sedar dengan tidak,hidungnya tercium bau wangi dan bau kemayan dibakar. Dari bumbung gua itu muncul seekor kunang-kunang yang terbang mengeluarkan cahaya mengelilingi mereka semua. Akhirnya kunang-kunang itu berhenti di hadapan Kiai Ageng lalu bertukar menjadi asap. Dari kepulan asap itu menjelma lembaga putih yang berkelemayar terang. Lembaga putih itu meresap masuk ke dalam badan Kiai Ageng melalui rongga hidung bagaikan disedut. “Mana sesajen?”Kiai Ageng bertanya,suaranya bertukar menjadi parau. “Di sini,Mbah,”dalam kegelapan itu Juragan Musa bersusah-payah membuka bungkusan yang dibawa lantas meletakkannya di hadapan Kiai Ageng.”Daging kucing hitam.” “Lagi?”suara Kiai Ageng bertambah garau.”Mutiara delima?Besi kuning?Kulit kijang putih?” “Gusti Panglima,”Juragan Musa mencuit lutut Bujang. Bujang mengesot ke hadapan Kiai Ageng.”Assalamualaikum,Tok.” “Waalaikumussalam,”Kiai Ageng mengangkat mukanya. “Semuanya ada di sini,”Bujang menepuk bengkungnya dan hulu kerisnya.”Kalau tidak keberatan,boleh hamba tahu siapa gerangan diri Tok sebenarnya?” Kiai Ageng merenung tajam ke wajah Bujang,kedua-dua matanya mengeluarkan api merah seperti biji saga.”Mbah digelar Ki Sapu Angin,”balasnya tenang.”Mbah kenal siapa cucu. Cucu dari darah keturunan Sunan Kalijogo di Tanah Jawa,Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam di Tanah Rencong dan Daeng Mempawah dari Tanah Bugis.” “Siapa gerangan Daeng Mempawah?”tanya Bujang perlahan. “Nama Hang Tuah yang sebenarnya,”jelas Mbah Ki Sapu Angin.”Kiai Ageng ini kurang cocok memegang amanah kunci perbendaharaan ghaib.Amalannya bercampur-aduk antara yang haq dengan yang batil.Cucu sahaja yang paling cocok mengepalai upacara ini.” Bujang tidak mudah termakan dengan segala pujian itu.”Barang-barang sudah hamba sediakan.” “Nggak perlu ditunjukkan,”Ki Sapu Angin menahan.”Mbah sudah tahu barang-barang itu asli serta ada hikmahnya.Kalian datang cukup semua syarat.” Kiai Ageng yang telah diresapi Ki Sapu Angin bangun mengamati seorang demi seorang ahli kumpulan itu,kemudian duduk kembali di tempatnya berhadapan dengan Bujang. “Harta karun itu tertanam di Gunung Agung Pulau Dewata,”beritahu Ki Sapu Angin melalui Kiai Ageng.”Tetapi,hanya cucu seorang yang bisa serta mampu menerimanya dari tangan Hulubalang Tujuh Beradik yang menjaganya.Ambil dua peti sahaja,tidak lebih. Satu peti untuk cucu,satu lagi dibahagikan sama rata.” “Anak kuncinya,Mbah?”Bujang cuba bertanya lanjut. “Ambil ini,tunjukkan pada Hulubalang Tujuh Beradik,”Ki Sapu Angin menyerahkan sesuatu ke tangan Bujang.”Selebihnya pasrah pada Allah Seru Sekelian Alam. Assalamualaikum.” “Waalaikumussalam,”jawab Bujang dan mereka serentak.Bujang nampak dengan jelas lembaga putih itu meresap keluar melalui lubang hidung Kiai Ageng,menjadi asap,kemudian menjelma menjadi seekor kunang-kunang. Kunang-kunang itu terbang ke bumbung gua lalu ghaib begitu sahaja di celah batu. “Kenapa gelap sangat ini?Mana coloknya?”kedengaran Kiai Ageng bertanya,suaranya sudah kembali seperti biasa.Sebentar kemudian,pelita damar pun dinyalakan semula. “Apa kata Mbah Jubah Hitam?”Kiai Ageng tidak sabar-sabar lagi ingin tahu. “Elok kita berbual di luar,”Bujang bangun sambil mengambil pelita damar dari tangan Si-Amat. “Ini nggak adil!”bentak Juragan Musa sebaik sahaja Bujang menceritakan kehendak dan permintaan Ki Sapu Angin di hadapan semua anak buahnya dan anak buah Kiai Ageng di tepi pantai pada malam itu. “Mana bisa Gusti Panglima dapat satu peti?”sambung Juragan Musa.”Seharusnya Kiai Ageng yang dapat?” “Sebabnya?” tanya Panglima Kahar,menyebelahi anak saudaranya. “Kiai Ageng yang menjumpai harta karun ini dulu,”Juragan Musa memberi alasan.”Kalian datang kemudian,kalian hanya menebeng.” “Tapi ini kehendak Ki Sapu Angin,”Andika membela Bujang. “Dan,Ki Sapu Angin memilih Panglima Agung,”sokong Lela Wangsa. “Arahannya jelas,”tambah Panglima Kahar.”Satu peti untuk Panglima Agung,satu peti lagi dibahagi sama rata antara kita semua,termasuk yang ada di atas lancang dan kapal.” “Kulo bagi pihak Kiai Ageng membantah keras!”Juragan Musa membentak lagi. Gelagat Juragan Musa itu tidak dilayan oleh Bujang.Harta belum dapat,mereka sudah bertekak sesame sendiri. Dia bersalam dengan Kiai Ageng, kemudian memberi perintah kepada anak buahnya,”Balik ke lancang.Malam ini juga kita belayar ke Pulau Bali.” “Lantas,keputusannya apa?”Juragan Musa terus mendesak. “Keputusan itu akan hamba berikan setelah harta wujud di depan mata,”Bujang memberi kata pemutus lalu berpaling meninggalkan Juragan Musa dan Kiai Ageng.Anak buahnya mengekorinya dari belakang menuju ke sampan dan rakit.Seperti yang diperintah,malam itu juga mereka membongkar sauh dan belayar meninggalkan Selat Madura menghala ke Pulau Bali. Petang keesokan harinya Jumaat 18 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 10 November 1652 Masehi,lancang itu dan kapal Helang Hitam berlabuh dengan selamatnya berhampiran sebuah pantai terpencil yang jauh dari kawasan petempatan penduduk Pulau Bali. Anak kapal semua bersorak gembira. Bujang yang sedang berbual-bual dengan isterinya di dalam kurung turut sama keluar ke geladak menjamu selera mata menikmati keindahan pantai pulau yang digelar Pulau Dewata itu. Tinggi menjulang menyapu awan kelihatan puncak Gunung Agung yang berkilau keemasan disuluh cahaya matahari petang. Bujang mengangguk apabila Lela Wangsa memandang ke arahnya meminta kebenaran naik ke darat.Lela Wangsa memberi isyarat kepada anak buahnya tanda mendapat kebenaran beristirihat di daratan. Mereka bersorak lagi dan berlumba-lumba turun mendapatkan sampan. Rakit buluh juga turut dibawa.Tinggal saki-baki yang terpaksa bertugas.”Tinggalkan sebuah sampan untuk Panglima!”jerit Lela Wangsa ke arah mereka,kemudian mendapatkan beberapa orang sedang memeriksa layar serta tali-temali.Dia memerhati kerja-kerja mereka dengan teliti.Kemudian dia memeriksa pula tenda-tenda yang melindungi mereka dari hujan dan panas.Terdengar namanya dipanggil oleh Bujang,dia meluru ke sana.”Ya,Panglima?” “Sediakan dua-puluh orang ahli pertikaman yang handal-handal,”Bujang memberi arahan, matanya melirik tajam kea rah kapal Helang Hitam.”Jangan lupa bawa panah.” “Panglima hendak pergi berperang?”Lela Wangsa berseloroh. “Aku rasa tak sedap hati,”jawab Bujang ringkas tetapi penuh bermakna. “Bila Panglima hendak bertolak?”tanya Lela Wangsa bila Bujang enggan mengulas lanjut. “Selepas matahari terbenam,”Bujang memandang ke langit.”Bulan hanya terbit menjelang tengah malam.Tempoh yang panjang itu cukup untuk kami bergerak tanpa dikesan musuh.” “Baiklah,Panglima.” “Seperkara lagi,”Bujang menahan Lela Wangsa yang hendak beredar.”Selepas tiga hari,bongkar sauh dan cari tempat berlabuh di sebalik pulau sana,kalau boleh di kuala sungai.” “Baik,Panglima,”Lela Wangsa terus beredar,kali ini tidak ditahan lagi. “Boleh Ratna ikut sama?”tanya Ratna menduga hati suaminya. “Mendaki gunung yang penuh mara bahaya,berhujan berpanas,bermalam tidak tentu tempat bukan pekerjaan perempuan,”Bujang memberi jawapan.”Belum lagi dikira jin mambang serta manusia yang tidak dikenali yang mungkin cuba menghalang rancangan kami.” Ratna menggangguk tenang.Secara halus permintaannya ditolak.Dia faham kehendak suaminya,dia faham kedudukannya sebagai seorang isteri yang wajib mentaati suami,biarpun hatinya berperang. Tepat seperti yang dijanjikan,dua puluh orang pendekar yang lengkap bersenjata sedia menunggu sebaik sahaja Bujang melangkah ke geladak.Dalam kegelapan malam itu,Andika dan Panglima Kahar juga menunggu dengan sabar. Mereka yang tidak ikut serta memerhati dari termpat masing-masing. “Pasang pelita banyak-banyak supaya musuh menyangka kita masih ramai,”Bujang memberi pesanan terakhir kepada Lela Wangsa sebelum mendahului rombongannya turun ke sampan. Dalam kegelapan malam sejuta bintang yang belum disentuh cahaya sang rembulan,mereka dihantar ke pantai. Senyap-senyap pula dua sampan yang membawa mereka itu kembali ke lancang. Mereka lekas-lekas lari bersembunyi di bawah pokok. “Tak sangka Kiai Ageng memusuhi kita,”bisik Andika melepas keluhan. “Bukan Kiai Ageng,”Bujang membetulkan tuduhan.”Tetapi mereka yang bersekongkol dengan Juragan Musa. Mata dan hati yang buta sentiasa memandang kepada harta dunia.” Tanpa berlengah lagi,Bujang menyandang kampitnya dan terus mengetuai rombongan itu meninggalkan kawasan pantai menuju semain jauh ke darat. Keadaan yang gelap gulita itu tidak menghalang perjalanannya. Beberapa kali mereka tersepak tunggul atau tersandung pada akar kayu, namun mereka tetap patuh mengikut ke mana sahaja yang dibawa Bujang. Tiba di pinggir hutan,Bujang berhenti mengamati lereng gunung yang bakal didakinya. Hutan kelihatan semakin tebal,menyukarkan sesiapa sahaja pada waktu siang,apa lagi pada waktu malam yang hitam pekat seperti disungkup kawah. Bujang menyatukan semua pancainderanya ke alam kebatinan. -“Ikut kunang-kunang itu.-“ hati kecilnya berbisik. Bujang mencari dan ternampak seekor kunang-kunang sedang berlegar-legar di pintu masuk sebatang denai yang sering digunakan binatang buas.Kunang-kunang itu yang dilihatnya muncul di dalam gua di Gunung Ringgit sebelum bertukar menjadi asap dan lembaga putih yang meresap masuk ke tubuh-badan Kiai Ageng. Ki Sapu Angin. “Ikut kunang-kunang itu,”perintah Bujang sambil tersenyum. Tanpa banyak soal,mereka pun melakukan seperti yang diperintah.Mereka memasuki denai yang sempit itu,mengekori kunang-kunang tersebut yang bertindak sebagai penunjuk jalan.Denai yang bengkang-bengkok seperti ular dipalu itu membawa mereka mendaki semakin tinggi melalui perlerengan Gunung Agung. Menjelang tengah malam tatkala sang rembulan mula menampakkan wajahnya,mereka berhenti di pinggiran sebuah lata yang airnya mengalir jernih baik mutiara. “Kita berihat sebentar,”Bujang melihat kunang-kunang itu hinggap di sebatang ranting tidak jauh dari situ.”Siapa yang belum sembahyang.boleh sembahyang.” Mereka pun duduk berihat melepaskan penat di atas batu,tunggul,dahan yang tumbang dan apa sahaja yang sesuai.Dua-tiga orang mendirikan sembahyang yang tidak sempat dilakukannya. “Apa kata kalau kita bermalam di sini,Panglima?”Andika mencadangkan pada Bujang. “Kurang sesuai,”balas Bujang setelah memerhati kawasan sekitar sekali imbas.”Barangkali di depan sana ada perkampungan.Boleh kita tumpang bermalam.” “Tentu mudah pekerjaan kita,”tambah Panglima Kahar sambil mengibas-ngibas badannya yang berpeluh.”Bulan memancar terang hingga ke siang hari.Apa yang dicari tu,Andika?” “Kunang-kunang,”Andika menerobosi kawasan semak.”Hamba tengok ada banyak ekor. Yang mana satu yang menunjuk jalan kepada kita?” “Tengok betul-betul,”Panglima Kahar memberi panduan.”Kunang-kunang yang membantu kita agak lain sikit,cahayanya lebih terang.” “Hamba tengok sama sahaja,”keluh Andika. “Cuba tengok dari ekor mata,”Bujang pula memberi petua.”Tumpukan perhatian betul-betul. Lama-kelamaan,semua akan hilang kecuali seekor.Itulah kunang-kunang sahabat kita.” Walaupun petua itu ditujukan kepada Andika,beberapa orang pendekar lain turut sama mencubanya.Bujang dan Panglima Kahar tersenyum melihat telatah mereka. “Dah…dah nampak!”Andika menjerit riang menuding kea rah ranting berkenaan. “Di hujung ranting sana ‘kan?”sampuk seorang pendekar. “Tak nampak pun,”rungut pula seorang lagi pendekar. “Petua ini memerlukan amalan berterusan,bukan dibuat sekali-sekala,”Panglima Kahar memberi nasihat.”Inilah di antara petua pendekar dan hulubalang yang diamalkan sejak turun-temurun.” “Bagus ilmu ini,Datuk,”puji seorang pendekar lain.”Boleh Datuk ajar pada kami.” “Bukan ilmu.hanya sekadar petua,”Panglima Kahar tertawa kecil. “Alang-alang berilmu,kalah ilmu kerana petua,”Bujang pula menambah. Mereka meneruskan perjalanan tidak lama kemudian.Perjalanan kali ini lebih mudah kerana denai yang dilalui diterangi cahaya bulan.Namun,mereka masih juga mengekori kunang-kunang yang tidak jemu-jemu menunjuk jalan dengan terbang mendahului mereka. Kira-kira sepenanak nasi kemudian,mereka terdengar suara orang lelaki membaca sesuatu dari arah hadapan.Suara itu kedengaran seperti orang berzikir tetapi tidak menggunakan ayat-ayat suci Al-Qur’an,malah lebih berupa jampi mantera dalam bahasa ynag tidah difahami. “Barangkali kuil Hindu,”Bujang membuat tekaan. “Betul,Bujang,”akui Panglima Kahar.”Tok sami itu sedang membaca ayat-ayat dari kitab Weda, memuji Tuhan mereka yang dipanggil Sang Dewata Mulia Raya.” – “Cari pendeta Aria Wulon. Dia bisa membantu kalian.-“ terdengar bisikan halus dalam lintasan hati Bujang.Dia melihat rakan-rakannya tetapi tiada sesiapa yang mendengarnya. Mereka menghampiri kuil tersebut. Dari jauh,kuil yang bermandikan cahaya bulan itu kelihatan sepi bagaikan tidak berpenghuni,melainkan suara bacaan yang semakin kuat dan jelas. Di hadapan pintu gerbang kuil itu telah dibina beberapa buah pondok tempat berihat. Bujang memberi isyarat supaya mereka bermalam di situ,manakala dia mara ke tembok bersama Panglima Kahar dan Andika. Dari celah tembik batu itu,mereka mengintai ke dalam kuil. Di suatu kawasan lapang di hadapan ukiran patung-patung Hindu duduk beberapa orang penganutnya yang diketuai oleh seorang tok sami berselempang kain kuning gelap.Mereka semua duduk bersila dengan mata terpejam rapat,kedua-dua tangan diletak di atas lutut dengan telapak tangan terbuka. Gaya mereka duduk mirip dengan latihan pernafasan tenaga dalam yang Bujang pelajari di Gunung Jerai dulu. “Mereka berlatih Yoga,”bisik Panglima Kahar.”Tujuannya mensucikan hati dan jiwa supaya dekat dengan Tuhan mereka.” “Macam amalan dalam persulukan,”sampuk Bujang. “Lebih-kurang sama,”akui Panglima Kahar.”Bezanya kita menyebut nama-nama Allah,nama-nama malaikat dan bersendikan ayat-ayat suci Al-Qur’an.Kita bersuluk tetapi mereka bertapa.” “Kata orang ada unsur-unsur sihir,”bisik Andika pula. “Tak semestinya begitu,”Panglima Kahar membela diri bagi pihak Bujang.”Bergantung pada nawaitu dan cara. Bersuluk ini amalan para wali Allah,maka Allah anugerahkan karamah. Kalau belum bertaraf wali disebut al-maunnah. Sihir menggunakan perantaraan iblis dan syaitan.” Andika hanya mengangguk tanda setuju kerana dia juga sudah mempelajari ilmu suluk. Tiba-tiba badan tok sami itu terangkat,terapung di awang-awangan kira-kira sedepa dari paras tanah.Sejurus kemudian,para pengikutnya pula mencontohi perbuatannya.Namun,mata masing-masing masih terpejam rapat,hanya mulut kumat-kamit melafazkan ayat-ayat suci mereka. “Barangkali mereka tidak suka diganggu,”bisik Bujang. “Barangkali juga,”bisik Panglima Kahar kembali. Diam-diam mereka berundur dari tembok kuil itu menuju ke pondok-pondok rihat. Bujang memilih sebuah pondok berhampiran kolam supaya mudah dia mandi-manda dan berwuduk. Dengan menggunakan kampitnya sebagai bantal,dia pun berbaring melelapkan mata sambil memasang niat untuk bangun bertahajud. Dinihari Sabtu 19 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 11 November 1652 Masehi, Bujang terbangun dengan sendirinya.Dilihatnya alam terang-benderang bermandikan cahaya bulan.Suasana sunyi sepi diselimuti kabus,hanya kedengaran bunyi deruan angin di celah daun dan bunyi dengkuran rakan-rakannya yang masih mengerekot di tempat tidur.Udara dingin sekali. Bujang turun ke tepi kolam mengambil wuduk,kemudian naik semula ke atas pondok. Di atas hamparan kain basahan yang masih kering,dia mendirikan solat tahajud serta witir,kemudian duduk berzikir dalam hati menunggu masuknya waktu subuh.Tidak lama kemudian,cuping telinganya menangkap suara sayup-sayup melaungkan azan subuh,datang entah dari mana. Suara azan itu begitu mendayu-dayu menusuk kalbu. Terasa pelik juga kerana dia berada berhampiran kuil Hindu. Dengan tidak semena-mena penglihatan Bujang terhalang oleh tirai kuning yang mengurungnya dari semua penjuru.Sambil menyisip kedua-dua kerisnya ke pinggang,dia bangun meneliti tirai tebal itu.Ternampak pintu tirai,dia terus menyelaknya. Demi terselak sahaja pintu itu,dia tiba-tiba mendapati dirinya sudah berada di ruang sembahyang di sebuah masjid. Ruang itu sungguh indah dengan dinding dan lantainya diperbuat daripada batu marmar putih manakala mimbarnya zamrud hijau. Ruang sembahyang itu sudah dipenuhi jemaah,begitu juga tempat duduk imam. Muazin masih melaungkan azan dengan suara yang merdu.Bujang menjawab azan itu sampai habis. Ketika jemaah bangun mengerjakan sunat subuh,baru Bujang nampak ada ruang untuknya. Dia pun mengambil tempat di tepi sekali sebelah seorang makmum untuk turut sama mengerjakan sembahyang sunat. Selepas memberi salam,dia terkejut kerana semua makmum sudah berdiri dan menunggunya dengan sabar. Tambah terkejut lagi apabila seorang makmum yang berpakaian seperti hulubalang segera tampil memimpinnya ke saf hadapan.Ditunjukkan pada tempat kosong di sebelah seorang lelaki yang memakai pakaian kebesaran seperti seorang raja. Lelaki berwajah bersih yang tersenyum padanya itu bukan Raja Abal Yusuf dan tidak pernah dilihatnya. Belum sempat dia memberi salam atau bertanya khabar,qamat pun dilaungkan tanda hendak memulakan sembahyang subuh. Subuh itu terasa hening sekali.Setiap patah bacaan imam dapat didengarnya dengan jelas meskipun suara imam itu tidak lantang. Bau wangi yang mengharum sentiasa memenuhi ruangan di mesjid itu. Sebaik sahaja selesai memberi salam,imam memalingkan badan menghadap makmum.Bujang dan lelaki yang berpakaian seperti raja itu dijemput oleh hulubalang tadi lalu diminta duduk di sebelah imam. Para makmum sunyi sepi tidak bersuara. Baru Bujang perasan kebanyakan makmum itu memakai pakaian seperti golongan istana.Sekonyong-konyong muncul pula permaisuri bersama puterinya menghampiri tempat mereka duduk. “Puteri Rubiah?”terpancut nama itu demi terpandang sahaja wajah puteri itu. “Inilah puteri ayahanda Rabiatun Adwiyah bersama bondanya Permaisuri Saadiyah,”raja itu mempersilakan anak dan isterinya duduk.”Ayahanda bernama Sultan Nashaful Alam Fid-Daulah.” “Ampun Tuanku beribu-ribu ampun,sembah patik harap diampun,”Bujang terus menyusun sembah seperti adatnya berhadapan dengan seorang raja. “Tak payahlah berpatik bertuanku dengan ayahanda lagi,”Sultan Nashaful Alam tersenyum sambil mengerling pada puterinya yang sedang bersimpuh penuh sopan.”Ayahanda tahu anakanda Tengku Alang ada urusan penting di Pulau Bali.Urusan ayahanda sekejap sahaja. Sekadar ingin menikahkah Puteri Rabiatun dengan anakanda.” “Menikah?”Bujang seperti tidak percaya dengan apa yang didengarnya. “Sekadar ijab-kabul tanda menghalalkan perkahwinan ini,”tambah Sultan Nashaful Alam lagi sebagai penjelasan.”Anakanda akan dijemput ke majlis sambutan besar-besaran tidak lama lagi. Hari ini anakanda berdua akan dinikahkan oleh Tok Imam di hadapan semua pegawai dan pertuanan istana. Sila jalankan tanggungjawab,Tok Imam.” “Menjunjung titah,Tuanku,”sembah Tok Imam,kemudian beralih pada Bujang.”Tengku Alang Iskandar ibni almarhum Sultan Abdullah,sudikah Tengku didudukkan dengan Puteri Rabiatun Adwiyah ibni Sultan Nashaful Alam Fid-Daulah?” “Errr….hamba su..su..sudi,”Bujang tergagap-gagap kerana terlalu gementar. Dia merasakan semua itu bagaikan mimpi tetapi dia sedar dia tidak bermimpi. “Mas kawinnya?”Tok Imam bertanya. Bujang terdiam seketika. Dia tidak membawa apa-apa melainkan sehelai sepinggang. Semua barang-barangnya berada dalam kampit yang ditinggalkan di atas pondok.Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Dari celah saku bengkungnya dikeluarkan sebutir batu delima lalu dihulurkan kepada Tok Imam.Tok Imam meneliti batu berharga itu,kemudian menyerahkan kepada Sultan Nashaful Alam yang turut sama mengmatinya seketika. Kemudian batu delima itu diberikan kepada puterinya. “Setuju,anakanda?”tanya Sultan Nashaful Alam pada [uterinya. Sebagai jawapan,Puteri Rubiah meletakkan batu permata itu di atas jari manis kirinya sambil mengangguk tenang. “Baiklah,”Tok Imam terus mencapai tangan kanan Bujang.”Aku nikahkan Tengku Alang Iskandar ibni almarhum Sultan Abdullah dengan Puteri Rabiatun Adwiyah ibni Sultan Nashaful Alam dengan mas kawin sebutir mutiara pancar delima kerana Allah Taala.” Sebaik sahaja tangannya digoncang,Bujang terus menyambut dalam senafas,”Aku terima nikahnya Puteri Rabiatun Adwiyah ibni Sultan Nashaful Alam dengan mas kawin sebutir mutiara pancar delima kerana Allah Taala.” “Bagaimana pandangan saksi-saksi?”Sultan Nashaful Alam bertanya pada makmum. “Sah,Tuanku,”sahut beberapa orang pembesar sementara yang lain-lain mengangguk sambil menyusun sembah. “Alhamdulillah,”Tok Imam pun menadah tangan memanjatkan doa,diaminkan oleh semua. Selepas bacaan doa,Puteri Rubiah bangun mendekati Bujang,duduk bersimpuh penuh sopan di hadapan Bujang,kemudian mencium tangan Bujang tanda taat setia seorang isteri. Sebagai balasan-nya,Bujang mengucup dahi isteri yang baru dinikahinya itu. “Terimalah ini sebagai tanda ikatan kita,”Puteri Rubiah menyarungkan sebentuk cincin suasa bertatahkan batu-batu permata aneka warna dengan lambang kerajaannya ke jari telunjuk kanan Bujang.Jari itu terpaksa menjadi pilihan kerana kedua-dua jari manis Bujang sudah disarungkan dengan cincin perkahwinannya dengan Chendana dan Tunku Balqis. “Anugerah dari ayahanda dan bonda ialah sebuah bahtera dan seekor kuda sembrani,”Sultan Nashaful Allam mengumumkan pada menantunya. “Sebuah bahtera?”Bujang terperanjat. “Bahtera itu menunggu anakanda di muara sungai selepas anakanda turun dari pendakian Gunung Agung,”Sultan Nashaful Alam menjelaskan lebih lanjut.”Seorang hulubalang sudah ayahanda utuskan untuk mengajar anakanda bagaimana cara mengendalikannya.” “Kuda sembrani dari Bonda pula namanya Si-Rangga-Ranggit,”Permaisuri pula menyatakan anugerahnya.”Beri salam,seru namanya,dia pasti menjelma.Ingat namanya baik-baik.” “Si-Rangga-Ranggit,”Bujang mengulangi nama kuda sembrani itu. “Bujang,”dia terdengar namanya diseru bapa saudaranya dan bahunya ditepuk dari belakang. Segera dia memalingkan muka ke arah suara yang dikenalinya itu. Panglima Kahar dan Andika tersenyum-senyum melihat dirinya masih terbaring di atas pondok sedangkan hari sudah siang.Hulubalang pilihan sudah bersiap-sedia hendak bertolak. “Maaflah kerana tidak mengejutkan Bujang,”Panglima Kahar memohon ikhlas.”Kami pun terlepas sembahyang subuh.” “Agaknya badan kita terlampau letih,Panglima,”sambut Andika pula sambil tersengih. Bujang terus bingkas bangun.Perkara pertama yang dibuatnya ialah merenung jari manis kirinya. Memang benar,sebutir cincin suasa pemberian isterinya Puteri Rubiah masih tersarung di jari telunjuk itu,malah tangannya yang baru dipegang oleh isterinya masih berbau wangi. “Subhanallah….,”hanya itu yang mampu dituturnya. Dia mencapai kampitnya lalu mengesot turun dari pondok itu.”Semua dah makan?”dia bertanya pada para hulubalangnya. “Belum lagi,Panglima,”Andika menjawab mewakili semua. “Sebenarnya kami menunggu tok sami,”Panglima Kahar memberitahu Bujang.”Tadi tok sami datang menjemput kita semua bersarapan di rumahnya.Katanya kita tidak perlu was-was kerana makanan itu halal dan boleh dimakan orang Islam.” “Itu pun tok sami dah datang,”seorang hulubalang mencelah sambil menuding. “Vanikam,”tok sami itu memberi penghormatan dari jauh lagi sambil kedua-dua tangannya ditangkup ke dada seperti menyembah berhalanya.Bujang membalas penghormatan itu dengan cara hulubalang tetapi tidak berkata apa-apa. “Hamba Aria Wulon,ketua kampung dan juga tok sami di sini,”Aria Wulon memperkenalkan diri dengan bahasa Melayu yang fasih sambil bersalam dengan Bujang. “Pendeta Aria Wulon,”balas Bujang pula.”Hambalah yang bergelar Panglima Agung.” “Panglima Agung?”Aria Wulon termenung sejenak.”Ya,dua-tiga hari yang lalu ada utusan dari Pak Buyon di perkampungan puak Tengger. Hamba diminta menunjukkan jalan ke Gua Siva.” “Pak Buyon itu sahabat hamba,”beritahu Bujang dengan bangga. “Kalau begitu kita juga bersahabat,”balas Aria Wulon dengan gembira.”Pak Buyon itu bapa mertua hamba.Anaknya keempat-empat hamba kahwini.” “Hebat juga Tuan Pendeta ini,”Bujang memuji. Aria Wulon ketawa berdekah-dekah,bangga dengan sifat kejantanannya.Kemesraan mula terasa antara mereka yang dua serumpun tetapi berlainan agama meskipun baru berjumpa. “Silalah ke teratak buruk hamba,”Aria Wulon mempelawa mereka semua. Mereka dibawa ke sebuah rumah besar di lereng gunung tidak berapa jauh dari kuil. Bukanlah teratak buruk seperti yang dikatakan Aria Wulon.Ternyata tuan rumah mereka buka sahaja seorang pendeta tetapi juga suka merendah diri. Mereka dipelawa ke balai tetamu yang berbumbung kemas tetapi tidak berdinding. Wanita dan gadis-gadis genit yang berambut panjang terhurai dan hanya berkemban kain batik melenggang-lenggok membawa hidangan berisi pulut lemak.Pulut itu boleh dimakan dengan pisang,mangga atau ikan kering goreng. Minumannya pula air kelapa muda yang masih dihidangkan bersama buahnya.Terkejut juga Bujuang apabila diminta membacakan doa. Walaupun Aria Wulon tidak menadah tangan,doa yang dibaca itu didengarnya dengan teliti. Ketika menjamu selera,mereka menjadi tontonan ramai gadis-gadis jelita serta pemuda-pemuda tampan yang berkerumun di sekitar balai tetamu itu seolah-olah ada temasya. “Bapa mertua hamba telah menyatakan hajat Panglima kemari,”kata Aria Wulon pada Bujang sambil menyuap pulutnya.”Hamba sanggup membantu Panglima sehingga berjaya.” “Syaratnya?”Bujang menyuarakan kesangsiannya. “Tidak ada sebarang syarat,”jawab Aria Wulon ikhlas.”Semua harta karun itu milik Panglima. Gunakanlah di jalan kebaikan demi rumpun Melayu.” “Sayang sekali Tuan Pendeta tidak memeluk agama Islam,”keluh Bujang. “Inilah jalan yang kami pilih,jalan leluhur Pateh Gajah Mada,”Aria Wulon menegakkan pendiriannya.”Tapi,kami tidak bermusuh dengan orang Islam. Dan,kami tidak pernah melarang sesiapa sahaja dalam suku kami memeluk agama Islam. Kami anggap Tuhan tetap Satu, hanya berbeza nama serta cara kita menyembahNya.” “Tuan Pendeta bercakap seperti Melayu sejati,”sampuk Andika yang asyik mendengar. “Mengapa tidak?”tingkah Aria Wulon.”Hamba banyak merantau ke seluruh Alam Melayu menuntut ilmu pendekar serta bercampur-gaul dengan orang Melayu.Kami orang Bali suka merantau mencari pengalaman.” “Tentu ada perempuan Bali yang berkahwin dengan orang luar,”Andika cuba merisik. Aria Wulon ketawa lagi.”Kalau sudah jodoh,apa boleh buat. Tapi,kenalah beradat,bukan membawa lari begitu sahaja,”bidasnya.”Perempuan Bali ada maruah kendatipun jinak-jinak merpati.Adat susila tak pernah kami lupakan.” “Kalau kau berkenan,boleh kami tolong pinangkan,”Bujang mengusik Andika. “Tak adalah,Panglima,”Andika menafikan dakwaan itu tetapi wajahnya merah padam menahan malu.”Hamba sekadar ingin tahu.” “Apa salahnya Bugis bersemenda dengan Bali,”Panglima Kahar pula menyampuk. “Memang tak ada salahnya,”Aria Wulon mengangguk sambil tersenyum lebar.Para hulubalang yang menjadi penonton turut mengangguk.Kerana menjadi bahan usikan,Andika tunduk dan tidak berani bersuara lagi. “ Di mana letaknya muara sungai,Tuan Pendeta?”Bujang bertanya setelah keadaan reda. “Di sini banyak sungai yang mengalir dari Gunung Agung,”Aria Wulon menjelaskan.”Justru, muaranya pun banyak.Kalau di balik gunung ada dua muara yang boleh disinggahi kapal.” “Pada orang-orang hamba di lancang sudah hamba pesan supaya menunggu di sebuah muara di sebelah sana,”Bujang teringat pesannya pada Lela Wangsa. “Perkara itu gampang sahaja,Panglima,”Aria Wulon membuka jalan penyelesaian yang tidak terfikir oleh semua.”Mereka pasti menemui Panglima di salah satu muara sungai,tidak lebih dari itu.Kecuali kalau Panglima tidak menunggu di tempat yang dijanjikan.” “Benarlah bagai dikata,”Bujang menarik nafas lega walaupun penerangan yang berbelit-belit itu memeningkan kepala Andika serta beberapa orang hulubalang. “Panglima duduklah dulu,buat macam rumah sendiri,”Aria Wulon minta diri setelah membasuh tangan.”Biar hamba siapkan barang-barang yang perlu dibawa.” Sementara Aria Wulon pergi membuat persiapan,Bujang berbual-bual kosong dengan Panglima Kahar,Andika serta hulubalang-hulubalang seramai dua puluh orang itu sambil menjamu selera. “Bagaimana dengan Juragan Musa dan orang-orangnya?”tiba-tiba Andika menyebut kembali perkara penting yang hampir-hampir dilupakan selepas mereka habis makan. “Apa yang nak dirisaukan,”balas Panglima Kahar.”Bila mereka sedar kita dah bertolak,takkan dapat mereka mencari kita dalam hutan belantara ini.” “Betul juga,”Andika bersetuju,kepala diangguk.”Lagi pun,kunci harta karun itu hanya ada pada Panglima. Mereka tidak boleh berbuat apa-apa.” “Hamba yakin mereka belum berputus asa,lebih-lebih lagi Juragan Musa,”Bujang teringat pada jin khadam Juragan Musa yang berjubah putih itu.”Di mana ada kemahuan,di situ ada jalan.” “Justru,apa yang harus kita lakukan,Panglima?”tanya Andika,suaranya berbaur kerisauan. “Sebenarnya inilah tipu-muslihat kita untuk mengelirukan mereka,”ujar Bujang dengan tenang. “Paman tak mengerti,”celah Panglima Kahar,dahinya berkerut. “Tujuan mereka hanyalah mencari Hulubalang JinTujuh Beradik,”Bujang menjelaskan secara ringkas.”Mereka tidak tahu-menahu tentang harta karun yang Pak Buyon ceritakan.” “Termasuk juga dek akal,”angguk Panglima Kahar,wajahnya berseri. Andika ketawa kecil,”Tentu sekarang mereka separuh gila mencari jejak kita.” Aria Wulon muncul sebentar kemudian.”Hamba sudah bersedia,Panglima.” “Ini sahaja persiapan?”Bujang terkejut melihat Aria Wulon hanya membawa sebatang cangkul sebagai persiapan.”Bekalan makanan tidak dibawa?” “Buat apa bawa bekalan?Gua Siva hanya terletak di lembah sana,”balas Aria Wulon selamba. Mereka tidak berkata-kata lagi,hanya mengikut sahaja Aria Wulon yang lebih arif dalam perkara itu. Mereka turun ke lembah yang letaknya tidak berapa jauh kuil itu.Di kaki sebuah bukit terdapat sebuah gua kecil yang telah ditutup dengan batu-batan. Di situ mereka berhenti. Aria Wulon tidak membuang masa lagi terus membongkar batu-batan itu dengan cangkulnya.Kerana gua itu besarnya tidak sampai sepemeluk,pekerjaan Aria Wulon tidak mengambil masa yang lama. Beberapa ketika kemudian,tampaklah pintu gua itu.Aria Wulon menyeluk ke dalam sebuah lubang di dinding gua itu. Dari lubang itu dikeluarkan sebuah peti kayu sebesar gantang. “Inilah harta karun yang Panglima cari,”dengan penuh takzim Aria Wulon menyerahkan peti berukir indah itu kepada Bujang.Di wajahnya tergambar rasa terharu seolah-olah berat hati. Dikerumuni oleh anak buahnya,Bujang meletak peti itu di atas tanah lalu membukanya.Dilihatnya peti itu penuh mengandungi patung-patung emas yang berkilauan dipanah cahaya matahari pagi. “Tengoklah puas-puas,”Bujang berundur beberapa tapak,membiarkan harta karun itu dipegang dan dibelek oleh semua. “Ada lagi beberapa peti di dalam lubang,”suara Aria Wulon kurang ceria.”Semuanya berjumlah kurang-lebih seribu patung.Kalau Panglima mahu,ambillah semuanya.” “Dari mana Tuan Pendeta dapat semua ini?”tanya Bujang tanpa mempedulikan pelawaan itu. “Dari Candi Borobudur dan Candi Prambanan,”Aria Wulon berterus-terang.”Apabila Kerajaan Majapahit dikalahkan oleh Raden Patah dengan bantuan Walisongo,leluhur hamba yang masih berpegang kuat pada ajaran Hindu melarikan semua patung kencana itu ke pulau ini.Tujuannya untuk kami bina kuil yang lebih besar di tempat baru.Sekarang kami terpaksa mencari patung lain sebagai gantinya.” Tiba-tiba Bujang mengeluarkan cebisan belulang yang digulung pemberian Pak Buyon dari dalam kampitnya.kemudian menyerahkan kepada Aria Wulon. Aria Wulon yang terkebil-kebil dengan tindakan itu melihat sahaja Bujang mendekati peti kayu tadi. “Dah puas semuanya?”Bujang bertanya tenang.Apabila anak buahnya mengelak memberikan laluan,peti itu diambilnya kembali. Dengan tenang pula dia menutup peti itu,kemudian membawa-nya ke gua itu lalu meletakkannya ke tanah dengan cermat.Panglima Kahar,Andika dan para hulubalang tertanya-tanya sesame sendiri. “Tuan Pendeta,”Bujang mendapatkan Aria Wulon yang masih kebingungan.”Terimalah kembali harta karun itu.Hamba tidak memerlukannya.” Aria Wulon tersenyum sambil mengalirkan air mata dengan keputusan yang tidak disangka-sangka itu. Dia mencampak cangkul ke tepid an terus memeluk Bujang erat-erat,air matanya semakin banyak yang tumpah. Panglima Kahar,Andika dan lain-lain tunduk malu,keinsafan tergambar pada wajah masing-masing. “Kenapa Panglima sanggup lakukan ini?”akhirnya Aria Wulon bertanya,air matanya dikesat. “Lakum-di-nukum-waliyadin,”ujar Bujang tenang.”Bagimu agamamu,bagiku agamaku.” “Mulia sungguh hati Panglima….,”Aria Wulon sebak,tidak dapat meneruskan kata-katanya. “Tolong tutup semula gua itu seperti sediakala,”perintah Bujang pada hulubalangnya. “Apa rancangan Panglima sebenarnya?”Aria Wulon bertanya ketika para hulubalang menutup semula pintu gua itu dengan batu-batan yang dibongkar tadi. “Kami hendak ke puncak mencari Hulubalang Tujuh Beradik,”Bujang memaklumkan. “Maksud hamba,dengan patung kencana itu semua,”Aria Wulon membetulkan. “Fisabilillah,berjihad di jalan Allah,”jelas Bujang.”Kami memerlukan wang yang banyak untuk membeli kelengkapan senjata serta membina angkatan perang menentang armada Belanda. Selagi penjajah belum diusir,selagi itulah kami akan berjuang.” Aria Wulon termenung mendengar penjelasan Bujang itu.Melihat hulubalangnya sudah selesai menjalankan pekerjaan yang disuruh,Bujang beralih menghulurkan tangan pada Aria Wulon. “Tuan Pendeta,di sini kita berpecah haluan,”katanya menahan sebak. “Nanti dulu,Panglima,”Aria Wulon tidak endahkan tangan yang dihulur.”Tadi Panglima ada menyebut pasal Hulubalang Tujuh Beradik.” “Benar,”Bujang angguk kepala.”Mereka dari golongan jin afrit,” “Hamba pernah mendengar pasal itu dari mendiang ayah hamba,”Aria Wulon membuka peluang baru bagi Bujang.”Mereka digelar Budak Buas,penjaga Gunung Agung ini. Untuk apa Panglima mencari Budak Buas ini?” Bujang memandang orang-orangnya. Melihat mereka tidak membantah,dia meneruskan,”Hamba diamanahkan Kiai Ageng membawa balik harta yang tertanam di perut bumi. Harta itu dijaga oleh jin tujuh beradik ini.” “Hamba tahu di mana mereka boleh dijumpai,Panglima tunggu di sini,”tanpa menjelaskan dengan lebih lanjut,Aria Wulon mencapai cangkulnya lalu lari mendaki lereng gunung pulang ke tempatnya. Bujang dan anak buahnya bertukar-tukar pandangan tetapi tidak ada yang ingin mengajukan soaloan. Mereka menunggu dengan tenang sambil memerhati puncak gunung yang sayup berbalam-balam diselubungi mendung. Aria Wulon kembali tidak lama kemudian menggalas buntil pakaian.”Mari hamba tunjukkan jalan ke sana,”katanya menawarkan diri dengan gembira. “Dipersilakan,”balas Bujang,turut sama gembira.Anak buahnya berbalas-balas senyuman. Sepanjang perjalanan menuju ke puncak,Aria Wulon tidak putus-putus bercerita tentang Pulau Bali kemegahannya itu.Diceritakan tentang asal-usul pulau itu mendapat jolokan Pulau Dewata. Diceritakan pula dewa-dewa agama Hindu yang dipercayai mendiami Gunung Agung yang dianggap suci itu. Tidak cukup bercerita tentang Pulau Bali,diceritakan pula pengalamannya ketika merantau mencari ilmu di merata pelusuk dan ceruk di Alam Melayu ini,diceritakan pula pertapaannya di beberapa buah gunung terkenal.Akhir sekali,baru diceritakan dengan panjang-lebar tentang Yoga yang diamalkannya sepanjang masa. Menjelang tengah hari,mereka berhenti rihat di tepian air terjun yang melimpah turun dari puncak gunung.Mereka makan bekalan yang dibawa. Ketika Bujang dan anak buahnya bersembahyang,Aria Wulon duduk bertafakur di atas seketul batu besar,matanya terpejam rapat menghening cipta. Setelah mustaid,mereka meneruskan perjalanan. Kali ini,mereka terpaksa memanjat di celah-celah batu,melompati anak sungai atau menyeberangi jurang yang curam.Hutan tebal diganti dengan pokok-pokok renek yang tidak begitu rendang. Mujurlah awan mendung melindungi mereka dari panahan cahaya matahari yang terik. Mungkin kerana keletihan atau kehabisan modal, Aria Wulon tidak bercerita lagi. Ketika senjakala mula berlabuh,mereka berhenti bermalam di sebuah air terjun yang lebih besar di mana terdapatnya sebuah kolam yang bersih bagaikan dijaga dengan rapi. Sementara para hulubalang mendirikan khemah dan menyalakan unggun api,Bujang mengambil kesempatan membersihkan diri bersama Panglima Kahar dan Andika. Aria Wulon langsung tidak menyentuh air,sebaliknya duduk bertafakur di pinggir air terjun. Malam itu,Bujang bersembahyang jemaah bersama Andika serta lain-lain hulubalang dengan berimamkan Panglima Kahar. Aria Wulon belum juga kembali dari bertafakur.Mereka terpaksa menjamu selera tanpa kehadirannya. Bujang sedang berbual-bual kosong dengan bapa saudaranya di dalam khemah apabila Aria Wulon muncul. Badannya yang tidak berbaju kelihatan berminyak terkena cahaya dari unggun api. Dia tidak merasa sejuk walaupun kedinginan di pergunungan pada malam itu mencengkam hingga ke tulang hitam.Seorang hulubalang menghulurkan makanan dan minuman kepada Aria Wulon. Melihat Aria Wulon duduk bersandar pada seketul batu,Bujang meninggalkan Panglima Kahar lalu duduk bertinggung memanaskan badan di tepi unggun api. “Hamba terasa lain macam saja malam ini,”kata seorang hulubalang kepada rakannya. “Jangan ditegur,”marah Andika pada hulubalang itu. Dia turut bertinggung di sebelah Bujang. “Benar kata Samad tadi,”beritahu Bujang dengan tenang.” Malam ini agak berlainan,seolah-olah ada yang sedang memerhati kita dari tempat yang tidak kita ketahui.” “Panglima Kahar sudah memagar kawasan ini dengan Ayat Kursi,”Andika cuba melegakan hatinya dan hati Bujang.”InsyaAllah,makhluk jahat takkan berani rapat kemari.” “Kami bukan makhluk jahat,”tiba-tiba satu suara garau menyampuk. Dengan serta-merta kawasan itu berbau wangi. Andika terkejut dan nyaris-nyaris membuka langkah silat.Para hulubalang tergamam di tempat masing-masing. Begitu juga dengan Panglima Kahar dan Aria Wulon.Semua pandangan tertumpu pada lembaga besar-tinggi berpakaian hitam sedondon,bertanjak,bersamping dan berkeris seperti hulubalang Melayu. Dari mata lembaga itu terpancar satu sinar merah yang memanah unggun api,menyebabkan aunggun api itu padam. “Kamilah yang bergelar Budak Buas,”lembaga hulubalang itu berkata lagi,suara garaunya kedengaran seperti sayup-sayup dari awan.”Apa hajat kalian kemari?” “Assalamualaikum,”Bujang memberi salam. “Waalaikumussalam,”Jin yang bergelar Budak Buas itu memandang tepat ke arah Bujang. Dengan tenang Bujang menghampiri jin yang besar-tinggi itu.Dari bengkungnya dikeluarkan wang emas pemberian Ki Sapu Angin yang menjadi kunci harta karun mereka. “Ini tujuan kami,”Bujang menunjukkan wang emas itu pada Budak Buas. Jin itu mendengus kuat seolah-olah cuba menakutkan Bujang.”Semar masem,”bentak jin itu bila melihat wang emas di tangan Bujang.”Manusia!Tak habis-habis tamakkan harta dunia!” “Dunia adalah jambatan ke akhirat,”Bujang mula berhujah.”Tanpa dunia,takkan ada akhirat.” “Inilah manusia!” bentak jin itu lagi.” Lidah tidak bertulang mudah berkata-kata!” “Terlajak perahu boleh diundur,terlajak kata buruk padahnya,”Bujang meningkah. “Kami tidak gentar dengan manusia yang dicipta dari tanah hina,”jin it uterus mencemuh. “Cis,jin afrit!”Suara Bujang mula mengeras.”Aku yang bermain,kau pula bersunguh-sungguh!” “Tunggu dulu,”Jin Budak Buas itu cepat-cepat menahan bila melihat Bujang meramas hulu Keris Sempana Riau.”Jangan dicabut keris itu,Panglima Agung.Kalau dicabut,kami terbakar hangus.” Bujang menghunus keris pendek itu bersama sarungnya sekali,lalu dilempar kea rah Panglima Kahar yang menangkapnya dengan kemas. “Sekarang aku tidak bersenjata,”Bujang mendepang tangan ke arah Jin Budak Buas.”Tidak pernah kupohon pertolongan melainkan dari Allah.” Jin Budak Buas merenung tepat ke wajah Bujang dan pandangan mereka bertembung. Tiba-tiba jin itu mengecilkan badannya sehingga sama tinggi dengan Bujang.”Jangan cepat melenting, wahai Panglima Agung,”suaranya berlembut.”Kami hanya ingin menduga hati Panglima.” Melihat keadaan tidak merbahaya lagi,Panglima Kahar,Andika dan Aria Wulon tampil ke sisi Bujang.Para hulubalang masih tidak berani berganjak dari tempat masing-masing. Panglima Kahar menghulurkan Keris Sempena Riau kepada anak saudaranya. “Hajat kami hanya satu,”Bujang menyisip kerisnya ke bengkung,wang emas itu ditayang kea rah Jin Budak Buas.”Semar masem ini sebagai tanda dari Ki Sapu Angin.” “Ambillah,”pelawa Jin Budak Buas.Serta-merta wujud dua buah peti yang sarat berisi sesuatu. “Mana lagi?”desak Bujang. “Itu sahaja,”balas Jin Budak Buas.”Dua peti sarat berisi harta karun seperti yang dijanjikan.” “Dua peti setiap satu,”Bujang membetulkan.”Kau tujuh beradik.Ertinya empat belas peti.” “Panglima Agung memang bijak,”Jin Budak Buas memetik jarinya.Muncul enam lagi jin sepertinya,masing-masing membawa dua peti. Semua peti itu disusun di atas tanah di hadapan Bujang.”Empat belas peti semuanya.Apa lagi kehendak Panglima Agung?” “Di muara sungai sana terdapat sebuah kapal milik Sultan Nashaful Alam,”Bujang menyatakan. Jin tujuk beradik itu terdiam sejenak seolah-olah menilik sesuatu yang jauh. “Betul,”mereka bertujuh mengangguk.”Jadi,Panglima Agunglah yang…!” “Bawa tujuh peti ke sana,”perintah Bujang,memotong cakap mereka.”Simpan dalam biliknya.” “Kami faham,”patuh Jin Budak Buas.Tiba-tiba enam lembaga itu ghaib bersama tujuh peti harta karun.Tinggal jin yang mula-mula muncul tadi masih tercongok di situ. “Sekarang berlepaslah,”perintah Bujang buat kali terakhir.”Assalamualaikum.” “Waalaikumussalam,”Jin Budak Buas pun ghaib dalam sekelip mata. Para hulubalang yang tadinya kecut perut segera menerpa mendapatkan peti-peti harta karun itu. “Nanti,”Bujang menahan mereka.”Ada dua ekor lagi yang masih degil.” Para hulubalangyang tidak nampak apa-apa mula terpinga-pinga menggaru kepala. “Nampaknya kamu berdua masih belum serik-serik lagi,”kata Bujang,ditujukan kepada dua khadam berjubah putih yang tercegat berpeluk tubuh di tepi peti-peti itu. “Kami hanya menurut perintah tuan kami,”jawab salah seorang khadam itu. Mendengar suara berkata-kata itu,para hulubalang mula berundur perlahan-lahan. “Siapa gerangan tuan kamu?”Bujang bertanya,pura-pura tidak tahu. “Jangan coba-coba melawan!”tiba-tiba Juragan Musa muncul bersama kuncu-kuncunya mengepung kawasan itu sambil mengacu lembing dan tombak.”Kalau melawan,cuma-cuma sahaja kalian mampus!” “Jangan melawan,”Bujang mengingatkan anak buahnya.”Baiklah,Juragan.Tuan hamba menang. Hamba mengaku kalah. Ambillah semua harta karun ini.” “Panglima menyerah begitu saja?”Juragan seperti tidak percaya. “Berkilau bukan emas,berkelip bukan intan,”Bujang meminjam kata-kata yang didengarnya dulu,kemudian memerintah anak buahnya,”Kemaskan semua barang-barang,kita berangkat pulang sekarang juga.” Walaupun tidak bersetuju dengan keputusan Bujang,para hulubalang tetap patuh pada perintah. Panglima Kahar,Andika dan Aria Wulon juga nampaknya tidak membantah.Dikawal rapi oleh Juragan Musa dan orang-orangnya,mereka merobohkan khemah dan mengemaskan barang-barang lain untuk dibawa pulang. Bujang tidak lepas-lepas memerhati dua khadam berjubah putih itu. Setelah semuanya siap,diam-diam mereka berundur dari pinggir air terjun itu.Bujang yang terakhir meninggalkan tempat itu.Sebaik sahaja mereka pergi,Juragan Musa dan kuncu-kuncunya menerpa membuka peti-peti itu.Mereka menjerit riang demi terpandang kandungan peti-peti itu sarat dengan emas dan permata. Tidak jauh dari situ,Bujang dan anak buahnya berhenti dalam kegelapan malam. “Kenapa lekas benar Bujang menyerah kalah?”Panglima Kahar meluahkan rasa tidak puas hati terhadap anak saudaranya.”Kita lebih ramai. Kalau melawan tadi,kita boleh menang.” “Ini bukan soal menang atau kalah,”Bujang mendongak ke langit gelap yang ditaburi jutaan bintang.”Menjelang besok pagi,tahulah mereka langit itu tinggi atau rendah.” “Apa maksud Panglima?’tanya Andika,tidak memahami kata-kata Bujang. “Kita tengoklah nanti,”balas Bujang penuh rahsia.”Tuan Pendeta,tunjukkan jalan ke muara sungai.” Tiga hari kemudian iaitu pada petang Isnin 21 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 13 November 1652 Masehi,sampailah mereka di pinggir sebuah kuala sungai yang luas. Sementara anak buahnya terduduk keletihan,Bujang tercegat bercekak pinggang memandang jauh kea rah laut.Tepat sekali seperti jangkaannya. Lancang yang dipimpin oleh Lela Wangsa kelihatan berlabuh tidak jauh dari pantai. Bukan itu sahaja,bahtera yang dijanjikan mertuanya Sultan Nashaful Alam turut sama berlabuh di tepi pantai sebelah sini.Bahtera itu dua kali ganda besarnya dan panjangnya,tingginya beberapa tingkat dan warnanya hitam seperti arang.Walau pun demikian, layarnya hanya bertiang satu,letaknya jauh di hadapan.Dari jarak yang jauh itu,penglihatan Bujang kurang jelas.Tetapi,apa yang jelas ialah seluruh geladak bahtera itu dipasang dengan bumbung yang memancar seperti kaca. Panglima Kahar bangun melepaskan satu das tembakan ke udara dengan pistolnya sebagai isyarat,dengan harapan tembakan itu didengari oleh mereka yang berada di lancang. “Nyalakan unggun api,”perintah Bujang pada Andika. Dia ke tepi muara membasuh muka. Ternyata air di situ tawar walaupun berhampiran dengan laut.Dia menanggalkan dastar,bengkung,keris dan samping,dilonggokkan di atas kampitnya di tebing lalu terjun ke dalam air. Dia berenang-renang ke sana kemari.Melihat perbuatannya,para hulubalang tidak membuang masa lagi,terus mencontohinya. Andika juga tidah tahan godaan lalu terjun ke dalam air itu.Tinggal Aria Wulon terkial-kial menghidupkan unggun api.Setelah berjaya,dia juga tidak melepaskan peluang.Mereka mandi-manda sepuas-puasnya. “Bila Tuan Pendeta hendak berangkat kembali?”tanya Bujang pada Aria Wulon ketika mereka bersidai mengeringkan pakaian di badan.Beberapa buah sampan dari lancang didayung kemari, tertarik dengan kepulan asap dari unggun api yang telah dinyalakan. “Tak perlulah Panglima memanggil hamba Tuan Pendeta,”Aria Wulon merendah diri,kemudian meneruskan.”Hamba tak jadi pulang ke kuil.Hamba ingin mengikut Panglima mengembara menambah pengalaman hidup.Itu pun kalau Panglima tidak keberatan.” Bujang memandang pada Panglima Kahar dan Andika yang turut sama duduk berpeluk lutut menunggu pakaian kering.Mereka hanya mengangkat bahu,menyerahkan keputusan kepada Bujang. Bujang termenung mencari jawapan kepada persoalan itu. “Hamba boleh menyesuaikan diri dengan cara hidup orang Islam,”Aria Wulon menambah,cuba menyakinkan Bujang. Persoalan itu ditangguhkan apabila beberapa buah sampan mendarat di pantai.Lela Wangsa serta anak buahnya berlari-larian mendapatkan rombongan Bujang. Bujang dan rakan-rakannya bangun menyambut kedatangan mereka. Mereka bersalam-salaman dengan mesra seolah-olah sudah lama tidak berjumpa. “Lela Wangsa,”Bujang memperkenalkan.”Ini ahli baru kita.Namanya Aria Wulon.” Lela Wangsa bersalam dengan Aria Wulon,”Selamat datang ke Angkatan Fisabilillah.” “Sudah lama kapal itu berlabuh?”tanya Bujang.Mereka semua memandang ke arah kapal asing yang dimaksudkan oleh Bujang. “Ini yang peliknya,Panglima,”Lela Wangsa menjelaskan.Mereka yang sudah mengetahui mengenai kerjadian itu kelihatan mengangguk-angguk manaka mrelka yang belum mengetahui hujung-pangkal nampak terpinga-pinga memasang telinga. “Apa yang peliknya?”tanya Andika mendahului Bujang. “Kapal hitam itu,”Lela Wangsa muncungkan mulutnya.”Ketika kami sampai di sini,kapal itu tidak ada.Dengan tiba-tiba sahaja kapal itu wujud,entah dari mana.Yang paling menghairankan, tidak ada nakhoda,tidak ada anak kapal,tidak ada sesiapa pun.Macam kapal hantu.” “Kau dah pergi periksa,Lela?”tanya Panglima Kahar,turut merasa hairan. “Minta simpang malaikat empat-puluh empat,Datuk,”tingkah Lela Wangsa,disambut dengan gelak-ketawa oleh beberapa orang hulubalang dan pendekar.”Kalau Datuk nak pergi,silakan.” Bujang memerhati bahtera itu lama-lama.”Siapa yang hendak mengikut hamba?” Mereka berbisik sesama sendiri tetapi tidak ada yang memberikan jawapan. “Ada harimau tak di atas kapal itu,Panglima?”tanya seorang pendekar. Pertanyaan itu menyebabkan suasana riuh-rendah dengan gelak-ketawa.Bujang sendiri tersenyum mengenangkan kejadian jelmaan harimau di kaki Gunung Ringgit. “Harimau tak ada,nenek kau ada,”celah rakan pendekar itu.Gelak-ketawa kian kuat. Bujang membiarkan suasana itu reda,kemudian bertanya pada Lela Wangsa,”Ada sesiapa yang baru menumpang lancang kita dalam sehari-dua ini?” “Ada,Panglima,”Lela Wangsa terkejut dengan pertanyaan itu.”Terlupa hamba hendak beritahu Panglima.Lima orang cina.Khabarnya,kapal mereka bocor dan tenggelam di tengah laut. Hanya mereka berlima yang berenang dengan selamat ke pantai.” “Siapa ketua mereka?”tanya Bujang lagi,hatinya berdebar-debar. “Hamba dengar rakan-rakannya memanggilnya Taiko,”beritahu Lela Wangsa.”Katanya,dia kenal Panglima dan Panglima pun kenal dia. Dia menunggu Panglima di lancang.” “Taiko Lim?”Bujang terkenang pada pemuda cina yang banyak membantunya ketika di Kedah dan Betawi dulu.”Jemput dia kemari.Hamba hendak mengajaknya ke kapal hantu itu.” Lela Wangsa segera memberi perintah dan seorang pendekar bergegas ke sebuah sampan. “Hamba pun hendak mengikut Panglima,”Andika akhirnya mempelawa diri. “Kau tak takut pada hantu dan harimau?”Bujang mengusik.Andika hanya tersengih. “Hamba tak takut,”sampuk pula Aria Wulon,bersungguh-sungguh.”Hamba mahir dalam Yoga.” “Baiklah,Aria,”balas Bujang.”Kamu pun boleh ikut sama.” Bila Taiko Lim tiba tidak lama kemudian,Bujang terus mengajaknya ke bahtera itu. Andika dan Aria Wulon mengambil alih tugas mendayung sampan dari pendekar tadi.Ketika mereka menghampiri bahtera hitam itu,suasana sunyi sepi bagaikan berada di alam lain. Mereka tidak bersuara,hanya mata mengamati setiap inci bahtera yang besar itu.Kerana mereka bukan tukang kapal dan bukan pakar dalam pembuatan kapal,mereka menilai dengan apa yang dilihat sahaja.Bahtera dua tingkat itu memang besar jika dilihat dari luar,tidak ubah seperti mahligai terapung.Kamar atau bilik dibina pada kedua-dua tingkat tersebut dengan jendelanya diperbuat daripada kaca biru.Di bahagian kemudi juga terdapat dua buah kamar besar manakala di bahagian bawah kelihatan beratus-ratus pucuk meriam tembaga terjulur keluar dari lubangnya.Terdapat anjung di haluan dan buritan kapal.Layarnya hanya satu dan dipasang tinggi-tinggi seolah-olah tujuannya bukan untuk memerangkap tiupan angin yang menggerakkan setiap kapal.Bahagian bawah sekali yang ditenggelami air tidak diketahui rupa dan bentuknya. Di sekeliling dinding kapal itu dipasang dengan tangga-tangga yang boleh diturunkan dan dinaikkan dengan menggunakan tali dan takal. Salah satu tangga itu tiba-tiba diturunkan untuk menyambut Bujang dan rakan-rakannya. Tanpa banyak soal,Bujang mendahului mereka memanjat tangga itu hingga ke paras geladak. Dengan mudah mereka melangkah naik ke geladak berbumbung itu.Di atas geladak itu menunggu seorang hulubalang Sultan Nashaful Alam berwajah garang,misainya panjang melintang dengan keris panjang tersisip kukuh di pinggang.Tanpa mempedulikan Andika,Aria Wulon dan Taiko Lim,hulubalang itu tersenyum menyambut kedatangan Bujang.Kedua-dua tangan disusun ke dada mengikut adat hulubalang. “Assalamualaikum,Tengku Panglima Agung,”hulubalang itu memberi salam penuh taazim. Andika,Aria Wulon dan Taiko Lim tercengang-cengang kerana mereka tidak nampak hulubalang itu tetapi sekadar mendengar suaranya. “Waalaikumussalam,wahai Ketua Hulubalang,”Bujang membalas dengan adat yang sama. “Patik dititahkan Kebawah Duli Sultan menunjuk-ajar Tengku Panglima serta memberi panduan bagaimana seharusnya Bahtera Indera Kayangan ini dikendalikan dengan sempurna,”Hulubalang itu terus menjelaskan tujuan kedatangannya sambil memegang sebuah kitab.”Jangan ditanya bagaimana bahtera ini dibuat.Patik bukan tukangnya.Mari ikut patik ke kamar Tengku di sebelah kamar jurumudi. Di situ akan patik terangkan semuanya sepertimana dalam kitab ini.” Bujang pun mengikut Hulubalang itu ke kamarnya,meninggalkan rakan-rakannya terkontang-kanteng di geladak. Mereka tidak ada pilihan melainkan menunggu sehingga Bujang kembali. Petang beralih ke senja,siang berganti malam,Bujang tidak juga muncul-muncul. Lampu terpasang dengan sendiri,menjadikan suasana di atas bahtera itu terang-benderang. Namun,mereka tidak berani memeriksa atau menyiasat tanpa kebenaran Bujang,apa lagi berbual-bual kosong sesama sendiri..Dari berdiri,mereka duduk pula.Mereka semakin resah gelisah.Penantian itu cukup menyiksakan bagi mereka. Hanya selepas waktu isyak,baru Bujang muncul dari kamarnya yang juga terang benderang. “Alhamdulillah,sudah selesai,”Bujang menarik nafas lega,di tangannya terdapat kitab tadi. “Mana hulubalang tadi?”tanya Andika tercangak-cangak. “Dia sudah kembali ke tempatnya,”Bujang menjelaskan.”Mulai saat ini,sahlah sudah Bahtera Indera Kayangan ini milik hamba.Kepada hamba sudah diajarkan segala-galanya.” “Dari mana datangnya bahtera gadang ini,Panglima?”tanya Aria Wulon,cuba mencungkil rahsia. “Hadiah dari mertua hamba,”Bujang enggan menerangkan dengan lebih lanjut.”Sekarang, mari kita melihat-lihat keadaan di dalamnya.Akan hamba terangkan satu persatu perkara yang perlu kamu ketahui dalam kitab ini.” Malam itu bagaikan satu temasya apabila bahtera hitam itu dirapatkan ke lancang.Tangga menjadi penghubung antara keduamya.Malam itu juga Bujang mengarahkan mereka mengosongkan lancang itu dan memindahkan barang-barang mereka ke bahtera. Mereka bebas memilih mana-mana kamar yang mereka suka melainkan kamar-kamar khas. Suasana menjadi bertambah sibuk apabila masing-masing berulang-alik antara lancang dengan bahtera membawa barang masing-masing. Alat-alat senjata,bekalan makanan dan peti-peti wang juga diangkut ke atas kapal untuk disimpan di tempat-tempat yang telah disediakan.Andika,Aria Wulon dan Taiko Lim tiba-tiba menjadi tumpuan semua anak kapal yang ingin mengetahui lebih lanjut cara pengendalian bahtera ajaib tersebut. Malam itu juga Bujang melantik Taiko Lim sebagai Jurumudi dan Andika sebagai pembantu Nakhoda sebagai menggantikan Lela Wangsa yang terpaksa belayar balik ke Batu Sawar. Bujang berada di kamar kemudi menyaksikan sendiri kecekapan Taiko Lim serta rakan-rakan yang dipilihnya sebagai pembantu. “Sukar sikit mencari panduan,”Taiko Lim menyatakan pada Bujang.”Kita ada kompas tetapi tidak ada peta.Jadi,buat masa sekarang,hamba gunakan ingatan semata-mata.Pengalaman hamba di wangkang cina dan kapal Inggeris akan hamba gunakan sepenuhnya.” “Mampukah kita belayar malam tanpa peta?”tanya Bujang agak ragu-ragu. “Kita guna kompas ini,Panglima,”Taiko Lim menunjukkan alat tersebut di sisi celaga kemudi.”Kita ikut arah Timur ke Pulau Kalimantan,kemudian membelok ke Tanah Bugis ikut arah Selatan.Kalau ada peta,kita boleh tengok bacaan yang tepat.” Bujang masih sangsi,matanya merenung laut yang hitam pekat. “Kamu cekap menggunakan ilmu Yoga?”dia bertanya pada Aria Wulon di sebelahnya. “Cekap juga,Panglima,”jawab Aria Wulon penuh bangga.”Hamba dah lulus ujian.” “Lela Wangsa baru sahaja belayar.Boleh kamu mengejarnya?’tanya Bujang lagi. “Tentu saja boleh,Panglima,”Aria Wulon mendabik dada. “Lela Wangsa tidak memerlukan peta,”Bujang menerangkan, kemudian memerintah Aria Wulon.”Dapatkan peta itu dan bawa kemari.” “Baik,Panglima,”Aria Wulon bergegas keluar. “Bijak Panglima menggunakannya,”puji Taiko Lim sambil mengemudi.”Cuma hamba bimbang kalau-kalau ilmunya tidak menjadi dan terjatuh ke dalam laut.” “Aria Wulon beragama Hindu dan taat mengamalkan Yoga,”Bujang menjelaskan kepada Taiko Lim.”Hamba sendiri menyaksikan bagaimana dia terbang macam burung. Dia takkan terjatuh ke dalam laut.” “Macam ajaran chi dalam kungfu cina,”Taiko Lim membuka sedikit rahsia dirinya.”Hamba dengar pendekar Melayu pun boleh terbang macam itu.” “Masing-masing ada kelebihan sendiri,”balas Bujang.”Malam ini kita berihat dulu,besok pagi kita belayar ke Tanah Bugis.” Bujang keluar dari kamar kemudi menuju ke anjung hadapan menyaksikan beberapa orang pendekar berdayung sampan menjala ikan.Kamar yang dikhaskan untuknya terletak betul-betul di atas kamar kemudi dan berkembar pula dengan menara pemantauan yang juga bertindak sebagai tiang layar.Sebuah tangga menuju ke atas menara itu,cabangnya menghala ke kamarnya. Dia menaiki tangga itu dan masuk ke kamarnya. Ratna sudah pun tidur, lampu dinding dimalapkan. Bujang memerhati sekitar kamarnya yang luas itu. Setiap kali dia masuk ke situ,dia tidak pernah lupa memuji kebesaran Allah.Terlalu sukar untuk digambarkan dengan perkataan akan keistimewaan kamar itu. Seperti bahagian bahtera yang lain,dinding dan lantai diperbuat daripada sejenis kaca atau hablur yang kuat.Bezanya di dalam kamar,kaca itu berwarna putih yang mengeluarkan cahaya apabila dipusing punatnya.Lengkap pula dengan bilik mandi,tandas,katil,almari,kerusi-meja dan lubang angin yang dipasang kipas.Jendelanya juga jendela kaca,dibuat menggelungsur supaya boleh dibuka atau ditutup. Tergantung di lelangit ialah sebilah anak panah yang sentiasa menunjuk ke arah kiblat,di bawahnya tempat sembahyang yang boleh muat empat-lima orang yang sentiasa mengikut arah anak panah itu.Pengudaraan adalah melalui lubang-lubang angin.Kipas yang dipasang pada setiap lubang angin tidak berhenti-henti berputar mengikut aliran keluar-masuk udara,menjadikan suasana di dalam kamar itu segar dan nyaman. “Belum habis-habis lagi rasa kagum?”tegur Ratna dari tempat tidurnya. Bujang agak terkejut“Ratna belum tidur lagi?” “Macam mana nak tidur,Ratna asyik terkenangkan Bahtera Indera Kayangan dan kamar kita ini,”Ratna bangun memeluk suaminya dari belakang.”Sepanjang hidup Ratna,tak pernah Ratna mimpikan semua ini.” “Tamadun di alam ghaib memang mendahului tamadun kita,”ujar Bujang.”Itulah kelebihan yang Allah Taala berikan kepada mereka.” “Betul kata abang,”Ratna melepaskan pelukannya.”Kamar ini sahaja penuh dengan keajaipan. Ada lampu dalam dinding,ada air dalam pili tembaga.Cuaca boleh dikawal samada hendak sejuk atau panas.Dinding pula boleh hilang dalam sekelip mata dan kita mampu melihat apa yang ada di luar kamar.” Bujang mencuba seperti yang dinyatakan oleh isterinya.Memang benar,dengan menekan butang-butang tertentu,dinding menjadi lutsinar.Dia dapat melihat anak buahnya di geladak sedangkan mereka tidak dapat melihatnya.Seolah-olah kamar itu tidak berdinding. “Kamar lain pun seperti ini juga,abang?”tanya Ratna,tidak begitu ceria. “Tidak,hanya kamar khas ini sahaja,”Bujang mengetuk dinding ajaib itu dengan jarinya.”Subahanallah,memang menakjubkan.” “Risau juga Ratna,”kata Ratna.”Dalam kamar ini ada lapan bilik tidur.” “Tidak ada dinding seumpama itu di mana-mana bilik tidur,”balas Bujang sambil tersenyum kerana mengetahui sebab sebenar mengapa isterinya risau.”Ratna,Chendana dan Balqis boleh pilih bilik tidur masing-masing tanpa perlu risau diintai orang.” Ratna tersenyum penuh makna.”Mayang Sari dan Puteri Rubiah juga perlukan bilik?” “Tentulah,lebih-lebih lagi Rubiah yang baru abang kahwini,”Bujang menunjukkan cincin perkahwinan di jari telunjuknya. “Bererti isteri abang sudah genap empat orang,”Ratna mengamati cincin suasa itu. “Tidak juga,”Bujang menafikan.”Ramai ulama berpendapat isteri dari kalangan makhluk halus tidak dikira dari segi syarak meskipun sah.Peraturan mereka tidak sama dengan kita.” “Nampaknya banyak lagi yang perlu Ratna pelajari,”kata Ratna. “Belajarlah dari kitab itu,”Bujang terhenti apabila terpandang ramai anak buahnya sedang mengerumuni sesuatu di anjung hadapan. Dia menutup dinding itu lalu segera turun dari kamarnya.Rupanya mereka sedang mengerumuni Aria Wulon yang sedang duduk bersila bertafakur hendak melakukan penerbangan ke lancang Lela Wangsa. Demi terpandang Bujang,mereka mengelak dan berundur jauh sedikit dari situ. Bujang lihat mata Aria Wulon terpejam rapat,dahinya berkerut, badannya berpeluh-peluh walaupun udara malam itu agak sejuk. Dua-tiga kali Aria Wulon menggelengkan kepala penuh keciwa. “Betapa halnya,Aria?”Bujang bertanya pada pendeta Hindu itu. Aria Wulon membuka matanya,wajahnya muram.”Hamba gagal,Panglima”katanya sambil bangun menggelengkan kepala.”Hamba tak boleh terbang. Mereka tak benarkan.” “Mereka?”Bujang memandang kepada anak buahnya di sekitar. “Bahtera sakti ini dijaga oleh 70,000 khadam suci,”Aria Wulon membuka rahsia.”Mereka menghalang hamba dari menggunakan ilmu Yoga kerana bertentangan dengan Islam.” “Apa yang kamu baca dalam jampi serapahmu?”tanya Bujang ingin tahu. “Hamba mengebut om om om menyeru nama-nama Tuhan agama Hindu,”jawab Aria Wulon. “Memang Islam melarang kami menyekutukan Allah,”jelas Bujang.”Itu syirik namanya.” “Habis,apa hamba nak buat?”tanya Aria Wulon agak risau. “Gantikan dengan asmaul-husna,”balas Bujuang.”Nama-nama Allah yang terpuji.” “Tapi,hamba beragama Hindu,”Aria Wulon membantah membela agama nenek-moyangnya. “Kenalah kamu memeluk agama Islam,”jawab Bujang ringkas.”Baiklah,hanya kali ini sahaja hamba benarkan kerana kita amat memerlukan peta itu. Kamu cuba sekali lagi.” Sementara Aria Wulon kembali bersila dan bertafakur,Bujang memejam mata menyatukan dirinya dengan alam kebatinan..Mata basirah-nya dapat melihat dengan jelas hulubalang-hulubalang berserban serta berpakaian serba hijau terapung di awang-awangan mengawal bahtera itu dari segenap penjuru. Dia memohon secara batin kepada penghulunya supaya membenarkan Aria Wulon terbang pada malam itu sahaja dengan memberikan sebab-sebabnya.Penghulu itu tunduk tanda patuh pada perintah.Bila Bujang membuka matanya,dia sempat melihat jasad Aria Wulon terbang macam ribut meninggalkan kapal itu dan akhirnya hilang ditelan kegelapan malam. “Subhanalah,”bisik Bujang,menyandarkan kejadian luar biasa itu kepada Allah semata-mata. Anak buahnya mula bersurai dan kembali ke tugas masing-masing. Bujang masih tercegat di atas geladak,matanya cuba mencari lancang Lela Wangsa yang sudah jauh belayar dan kelihatan kecil sahaja seperti puntung hanyut di kaki langit.Tidak lama kemudian,Aria Wulon kembali membawa peta yang diminta.Bujang menuding dengan ibu jarinya supaya peta itu diberikan kepada Taiko Lim di kamar kemudi. “Panglima sudah turun ke perut bahtera?”tanya Andika yang menghampirinya bersama Panglima Kahar.”Rupanya di bawah sana ada macam-macam jenis jentera yang tak pernah kami lihat.Kami percaya dari situlah punca kuasa yang menggerakkan kapal ajaib ini.” “Berada di sana seperti berada di dasar laut,”Panglima Kahar pula memuji.”Kami nampak semua ikan yang berenang-renang di luar menerusi dinding kaca.Seakan-akan ikan itu boleh disentuh.Yang peliknya,kami tak nampak pun pendayung atau kipas kapal.” Bujang tidak terkejut kerana dia sudah melihatnya awal-awal lagi. “Jentera itu bergetar bila disentuh,macam benda hidup,”tambah Andika pula.”Hairan juga dari mana jentera itu mendapat kuasanya.Jangan-jangan kuasa jin.” “Bukan kuasa jin,”Bujang menjelaskan.”Kata Hulubalang itu tadi,tenaganya dari cahaya matahari,diserap melalui layar dan semua permukaan kapal,kemudian disalurkan ke jentera. Katanya lagi,kapal ini tidak menggunakan kipas,sebaliknya menggunakan angin yang mampu menggerakkannya ke mana sahaja,termasuk di atas darat.” “Hebat sekali,”Andika terus memuji.”Agaknya orang-orang Barat yang lebih maju telah menggunakan cara ini untuk belayar.” “Belum pernah hamba dengar atau jumpa lagi,”Panglima Kahar membantah. “Di negeri Cina pernah dicuba menggunakan tenaga wap tetapi tidak berjaya,”sampuk Taiko Lim yang baru tiba.”Wangkang itu terbakar kerana api tidak dapat dikawal.Ada juga hamba dengar orang-orang Barat sedang berusaha mencipta sejenis minyak dari perut bumi yang boleh membakar dan menggerakkan jentera.” “Rupanya kamu juga berpengalaman luas,”Bujang memuji Taiko Lim.”Tidak sia-sia hamba melantikmu sebagai Jurumudi.” “Dulu hamba pernah belajar sampai ke Bukhara,”Taiko Lim menjelaskan.”Kami diajar tentang ilmu pelayaran di samping Ilmu Fiqah,Hadis dan Mantik.” “Sejak bila kamu memeluk agama Islam?”tanya Panglima Kahar pula. “Sejak dari dalam perut ibu hamba,”jawab Taiko Lim selamba. “Kamu bergurau dengan hamba?”suara Panglima Kahar agak keras. “Tidak,hamba tidak bergurau,”Taiko Lim menjawab dengan berani.”Nenek-moyang hamba memeluk agama Islam ketika Saad Abi Waqas mula-mula berdakwah di Negeri China. Sejak itu ramai juga maharaja Cina yang memeluk agama Islam. Nama Islam hamba ialah Yaakub Lim Tim Kok. Rakan-rakan hamba yang berempat itu pun Islam juga.” “Rupanya selama ini hamba tersalah sangka,”Bujang menyatakan.”Mulai malam ini kamu bukan lagi Taiko Lim tetapi Yaakub Lim.” “Yaakub pun boleh,”Yaakub Lim membetulkan.”Atau Akob sahaja.” “Akob,”tanya Andika.”Bagaimana tuan hamba begitu fasih bercakap Melayu?” “Sebab hamba rajin bercampur-gaul dengan orang Melayu,”jawab Akob secara munasabah.”Sebenarnya bahasa Melayu cukup mudah dipelajari. Tak sama dengan bahasa Inggeris atau bahasa Arab.” “Kamu boleh bercakap Inggeris,?”tanya Bujang pula pada Yaakub Lim. “Little-little bit,Panglima,”ujar Akob.”I learned from Mister Jourdain. Hamba belajar dari Tuan Jourdain semasa bekerja di atas kapalnya.” “Bahasa Holanda?’Panglima Kahar ingin menguji Yaakub Lim. “Boleh sikit-sikit,”jawab Yaakub Lim bersahaja. “Bagus,”usik Bujang.”Kalau kita ditahan Belanda,bolehlah kamu jadi jurubahasanya.”### Kembali ke kamar,dilihatnya Ratna betul-betul sudah tidur,tarikan nafasnya turun-naik dengan tenang.Dia pun mengambil kitab pemberian Hulubalang tadi. Kitab yang menerangkan secara terperinci tentang kapal itu dibacanya dengan teliti. Hari Selasa 22 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 14 November 1652 Masehi,Bujang bangun seperti biasa untuk bertahajud serta menunaikan sembahyang subuh. Namun,selepas bersarapan bersama isterinya,bahtera itu tidak juga membongkar sauh belayar ke Tanah Bugis seperti yang diarah. Tiba-tiba kedengaran bunyi genta bertalu-talu.Dia bergegas keluar ke geladak untuk mencari puncanya.Dilihatnya kebanyakan anak kapal termasuk bapa saudaranya Panglima Kahar,Andika dan Aria Wulon sudah berkumpul di atas geladak.Niatnya hendak berjumpa dengan Yaakub Lim terpaksa dibatalkan. Dia beredar ke pagar pengadang dan sama-sama memerhati kapal Helang Hitam yang berlabuh tidak jauh dari muara sungai seolah-olah menghalang laluan mereka. Dari jarak yang tidak begitu jauh, lekas-lekas dicam wajah Juragan Musa yang sedang berbual-bual dengan Kiai Ageng. “Sudah lama mereka berlabuh?”tanya Bujang pada bapa saudaranya di sebelah. “Sejak subuh tadi,”balas Panglima Kahar.”Nampaknya mereka cuba menyekat kita dari meninggalkan tempat ini.Tengok,semua meriam mereka dihala ke bahtera kita.” “Mereka cuba mencari gara-gara,Panglima,”jelas Aria Wulon pula. “Bagaimana mereka kenal bahtera kita?”tanya Bujang lagi. “Subuh tadi Si-Amat datang bertanya khabar,”Andika memberitahu Bujang.”Dia ternampak hamba dan ramai lagi.Tahulah dia siapa kita.Katanya,mereka telah membedil dan menenggelam-kan lancang kita tidak jauh dari sini.” “Lela Wangsa turut terkorban?”tiba-tiba berubah air muka Bujang. “Kami kurang pasti,Bujang,”ujar Panglima Kahar berhati-hati kerana mereka sudah ternampak wajah Bujang yang berubah menjadi bengis.”Kami cuma diberitahu lancang itu tenggelam bersama isinya.” “Cis!”Bujang memengkis menahan geram.”Berani mereka menjolok sarang tabuan!Yaakub!” Mata Bujang liar mencari Jurumudinya supaya diturunkan sampan ke laut. “Tunggu dulu,Panglima,”Andika yang dapat meneka niat Bujang menahan sambil menunjuk kea rah kapal Helang Hitam.”Juragan Musa,Kiai Ageng bersama beberapa orang pengikutnya turun ke sampan.Hamba rasa mereka hendak kemari.” Bujang ternampak Yaakub Lim menjenguk dari kamar kemudi lalu mengangguk sebagai isyarat. Yaakub yang berpengalaman luas segera menangkap maksud Bujang.Dia kembali ke celaga kemudi dan bersedia untuk membongkar sauh belayar. Di sekitar dinding bahtera itu terdapat ruang legar tiga tingkat yang dihubungkan oleh tangga-tangga kecil.Ruang berpagar tetapi tidak berbumbung itu yang lebarnya boleh muat dua orang biasanya digunakan anak kapal sebagai laluan pilihan jika tidak mahu menggunakan tangga lilit di tengah geladak.Ruang legar itu juga kerap menjadi tempat mengambil angin dan bersantai selain anjung hadapan dan anjung belakang. Namun,ruang legar di tingkat bawah sekali boleh dijadikan tempat memunggah barang-barang kerana lebih lebar dan tingginya kira-kira sehasta dari paras laut,lantainya boleh ditarik keluar atau disorong masuk mengikut keperluan. “Bersiap-sedia untuk membedil dengan meriam,”Bujang memberi arahan kepada para pendekar dan hulubalangnya.Mereka yang bertugas sebagai pasukan meriam berkejar mengambil tempat. Bujang membuka pintu pagar pengadang,melangkah ke ruang legar teratas,kemudian menuruni tangga menuju ke tingkat bawah sekali.Dia ditemani Panglima Kahar,Andika,Aria Wulon serta beberapa orang hulubalang pilihan. Dari ruang legar yang seakan-akan pengkalan kecil itu,mereka menunggu ketibaan sampan dari kapal Helang Hitam dengan sabar.Beberapa pucuk meriam tembaga sudah dihala ke arah kapal yang tidak diundang itu.Para hulubalang mengacu anak panah. Akhirnya sampan itu dirapatkan ke ruang legar.Juragan Musa bangun bercekak pinggang dengan lagak berani manakala Kiai Ageng hanya membisu seperti dipukau.Bujang bertentang mata dengan juragan yang bongkak itu. “Kapal siapa ni?”tegur Juragan Musa dengan kasar dan bengis. “Apa hajatmu kemari?”tanya Bujang tenang,soalan Juragan Musa tidak diendahkan. “Untuk menuntut hak kami,”Juragan Musa menuding pada peti di atas sampannya.”Emas dan batu permata ini palsu,tidak ada nilai!Kami mahu gantinya!” “Sialan!Berani kau..,”Aria Wulon menyambar hulu kerisnya. “Sabar,Aria,”Bujang menahan.”Mengapa nian berdiam diri,Kiai Ageng?” Kiai Ageng bagaikan tersentak.Dia tunduk sambil menjawab perlahan,”Kulo tak mampu…!” “Kiai keturunan Sunan Giri,keturunan orang baik-baik,”Bujang tahu Kiai Ageng di bawah belenggu dua khadam peliharaan Juragan Musa.”Jangan mudah tunduk pada syaitan.” “Kurang ajar!”bentak Juragan Musa.”Omong jangan sembarangan!Binasa sampian!” Bujang ternampak dua khadam berjubah menjelma di sisi Juragan Musa,kaki mereka bagaikan berdiri di awang-awangan.”Baiklah,”Bujang pura-pura mengalah lalu mengarah anak buahnya di situ.”Kamu semua naik ke atas. Bawa peti emas itu kemari.” Panglima Kahar,Andika,Aria Wulon dan hulubalang-hulubalang saling berpandangan,serba-salah hendah mematuhi arahan yang bertentangan dengan kemahuan mereka. “Pergi lekas,,”perintah Bujang lagi,suaranya keras sikit. Mahu tidak mahu mereka terpaksa akur pada perintah itu. Diam-diam mereka menaiki tangga ke ruang legar paling atas.Setelah melihat mereka semua sudah berada di atas geladak,Bujang berpaling menghadapi Juragan Musa dengan tenang. “Emas palsu itu bukan pekerjaan kami,”tegasnya pada juragan itu.”Silap kamu juga kerana terlalu tamak haloba.” “Kulo mahu ganti rugi!”Juragan Musa terus mendesak,matanya yang merah terbelalak macam telur ayam.”Kalau enggan…..,”suaranya mati dan senyumnya berbunga bila terpandang sebuah peti diusung Andika dan Aria Wulon dengan bersusah-payah menuruni tangga manakala rakan-rakan lain memerhati dari geladak dengan rasa marah yang tertahan-tahan. Andika dan Aria Wulon termengah-mengah meletakkan peti itu di tepi kaki Bujang. “Cepat,berikan emas kulo!”Juragan Musa tidak sabar-sabar lagi,wajahnya bengis. “Nah,pergi ambil,”pelawa Bujang tenang.Dengan mudah peti yang sarat itu diangkat,kemudian diluncur ke darat.Kedua-dua khadam berjubah putih itu melayang mengejar peti harta karun itu. Dengan takdir Allah,belum sempat peti itu mencecah bumi,tiba-tiba berlaku satu letupan kuat seperti letupan meriam.Peti itu hancur berkecai dan kedua-dua khadam itu terbakar hangus. Juragan Musa terperanjat besar,matanya terbeliak.Kiai Ageng tersentak bagaikan baru sedar dari mimpi.Anak buah Bujang tergamam menyaksikan kejadian yang tidak disangka-sangka itu. Sebentar kemudian,mereka bersorak gembira. “Sampian bunuh khadam kulo!”Juragan Musa melompat ke atas ruang legar itu hendak menikam Bujang dengan kerisnya.Kerambit di tangan Bujang membelah angin seperti kilat memancar,dua kali berturut-turut,melibas perut dan leher Juragan Musa.Perut Juragan Musa terburai,darah memancut dari lehernya. Dia terjatuh semula ke atas sampan,kakinya menendang-nendang mengeruh seperti kerbau disembelih. “Nyawa Lela Wangsa sudah kutebus,”ujar Bujang perlahan penuh kepuasan,ada kesan darah pada mata kerambitnya.”Baliklah,Kiai Ageng. Bertaubatlah.Jangan pisang berbuah dua kali.” Tanpa sepatah kata,Kiai Ageng berdayung kembali ke kapalnya membawa jasad Juragan Musa yang sudah kaku.Bujang membasuh kerambitnya dengan air laut,menyimpannya di celah bengkung,kemudian dengan tenang mengajak Andika dan Aria Wulon menaiki tangga. “Kita belayar sekarang,”perintah Bujang pada Yaakub Lim sebaiki sahaja tiba di geladak. Ketika bahtera itu belayar ke Tanah Bugis,sehari suntuk Bujang berkurung dalam kamarnya. Dia tidak kesal dengan apa yang telah berlaku.Darah Juragan Musa memang dihalalkannya.Jin khadam yang terbakar hangus itu juga sudah sampai ajal mereka.Cuma dia turut bersedih dengan kehilangan lancangnya,bertambah sedih lagi dengan kematian Lela Wangsa serta rakan-rakannya yang berkubur di laut.Dia menangisi pemergian mereka dengan membaca Al-Qur’an,berselawat, bertasbih dan beristighfar sebanyak-banyaknya.Tiba waktu sembahyang,dia bersembahyang, kemudian menyambung semula amalannya hingga ke petang. Nasi tidak disentuh langsung, isterinya pula bagaikan tidak wujud. Senjakala baru dia bangun meninggalkan tikar sembahyang lalu berdiri di jendela memandang matahari yang hampir tenggelam. Melihat Bujang sudah pulih dari kesedihan,Ratna memasang lampu dan menghidangkan makanan yang tersimpan di bawah tudung saji sejak tengah hari tadi. “Jemput makan,abang,”pelawanya lembut sambil duduk bersimpuh menanti dengan sabar. Bujang tidak membantah atau berkata walau sepatah.Dia duduk bersila bersama Ratna. Setelah membasuh tangan dari ketor yang dihulur oleh isterinya,dia terus menyuap nasi dengan tenang. Sebagai isteri yang sudah masak dengan karenah suaminya meskipun usia perkahwinan mereka masih singkat,Ratna juga berdiam diri dan tidak mendesak Bujang bercerita.Biarlah kesedihan itu ditelannya sendiri sebagai seorang lelaki yang matang berfikir.Lambat-laun suaminya akan bersuara juga. Namun pun begitu,Bujang terus membisu seribu bahasa.Kehilangan rakan-rakannya yang sudah dianggap seperti saudara sendiri begitu terasa sekali.Kalau diikutkan hati,mahu rasanya dia menggunakan kuda sembrani atau menyuruh Aria Wulon terbang mencari mereka di laut kalau-kalau ada yang terselamat.Lancang boleh dicari lain tetapi nyawa tiada gantinya.Hatinya berperang hebat antara kemahuan sendiri dengan akibat yang pasti ditanggungnya.Seboleh-bolehnya,dia tidak mahu bergantung pada orang lain atau bantuan lain selain dari kederat tulang empat keratnya serta pertolongan dari Allah. Dia sudah melarang Aria Wulon menggunakan ilmu Yoganya dan dia tidak akan menggunakan kuda sembrani pemberian bonda mertuanya melainkan jika benar-benar darurat yang mengancam nyawanya. Selepas menjamu selera,Bujang terus mengerjakan jemaah maghrib bersama isterinya. Sementara isterinya membasuh pinggan-mangkuk dan mengemas dapur,dia berwirid dan berzikir pula.Kesedihannya beransur-ansur hilang.Akhirnya,dia redha dengan takdir yang menimpa rakan-rakannya.Mereka terkorban ketika berjihad di jalan Allah. Syurga bagi mereka sudah terjamin. Dia bangun mengambil kitab hikayatnya,kemudian duduk di meja mencatat semua kejadian yang telah berlaku buat kenangan di kemudian hari. “Jemput minum,abang,”pelawa Ratna sambil meletakkan secangkir minuman di atas meja. “Duduklah,Ratna,”Bujang menahan bila isterinya berpaling hendak pergi.”Kita minum bersama.” Ratna mengesat air mata gembira lalu duduk di samping suaminya.Dia membiarkan sahaja suaminya mengisi kitab catatan itu. “Ratna faham perasaan abang,”Ratna bersuara lembut sebaik sahaja Bujang selesai menulis pengalamannya.”Apa yang berlaku,anggaplah sebagai takdir dari Allah.” “Salah abang juga,”Bujang menyimpan kalamnya dan menutup bekas dakwat.”Tidak seharusnya abang menyuruh Lela Wangsa belayar balik ke Batu Sawar.Kalau dia bersama kita,masakan malapetaka ini akan menimpa dirinya.” “Sabarlah,abang,”pujuk Ratna lagi.”Kita manusia tidak mampu menolak takdir.” “Lahaulawalaquawataillabillahil’aliyyil’azim,”Bujang menarik nafas lega,menerima seadanya dengan kejadian yang telah berlaku.Ucapan itu menutup perbualan mereka tentang Lela Wangsa dan membuka lembaran baru bagi masa akan datang.”Kalau Ratna nak tidur,tidurlah dulu.” Bujang turun mengambil angin di anjung hadapan untuk melupakan peristiwa berdarah itu. Lela Wangsa dan rakan-rakannya serta lancang berbentuk finisi Bugis itu sudah jadi sejarah hidupnya. Dia memanjat menara pemantauan atau pencerapan.Tidak ada sesiapa berkawal di situ.Genta yang didengar bunyinya tadi juga tidak kelihatan. Yang ada hanyalah sebuah teropong yang dipasang kaki serta sebuah kerusi tempat bersandar. Menara itu kecil,muat untuk seorang sahaja.Seperti kamar kemudi,menara tersebut berbumbung dan berdinding dengan empat jendela kaca yang boleh dibuka atau ditutup.Lubang-lubang angin lebih kecil.Dari menara itu,dia mampu melihat jauh ke hadapan dan di sekitar bahtera dengan jelas.Bila salah satu jendela kaca dibuka,angin malam yang nyaman lagi segar menyerbu masuk. Dia tersandar di kerusi menyaksikan laut gelap yang luas bagaikan tidak bertepi. Akhirnya dia terlelap. Dia terjaga apabila terdengar bunyi genta.Bunyinya lembut dan tidak menyakitkan telinga. Dia mencari dari mana datangnya bunyi itu tetapi gagal menemuinya.Bila ditoleh ke ufuk Timur,fajar sudah pun menyingsing.Dia menggeliat. Meskipun dia terlepas solat tahajud,disambutnya subuh Rabu 23 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 15 November 1652 Masehi dengan penuh kesyukuran. Sambil menutup jendela kaca,dia turun ke bawah dan kembali ke kamarnya. Pagi itu selepas mandi,bersembahyang subuh dan bersarapan dengan isterinya,dia baring di atas katil membaca kitab panduan yang bertulis Jawi dalam bahasa Melayu lama.Ratna duduk di meja solek menghadap cermin menyisir rambutnya yang panjang terhurai itu.Dia membiarkan sahaja suaminya begitu khusyuk membaca kitab yang tebal itu.Dia tidak akan sekali-kali mengganggu suaminya. Bujang sedar isterinya terasa seperti tidak dipedulikan.Dia menutup kitab itu,kemudian bangun meletakkannya di atas almari. “Cepatnya abang membaca,”tegur Ratna sambil mengenakan bedak sejuk di mukanya. “Sekadar mengulang kaji apa yang sudah dijelaskan,”Bujang menjenguk ke luar jendela kaca dan mendapati kapal itu sudah menghampiri sebuah pelabuhan.”Banyak terdapat bahasa lama yang kurang difahami maksudnya.Penuh dengan gurindam dan kiasan.” Ratna mengambil kitab itu lalu membaca seketika.”Bahasanya bercampur-aduk dengan bahasa Melayu lama,ada bahasa Jawa tua,ada bahasa Bugis ,ada juga kata-kata yang diambil dari kitab Hindu tua,”ujar Ratna sambil menyimpan semula kitab itu. “Agaknya kitab itu sudah berusia beratus tahun,”Bujang memakai dastarnya,kemudian mengambil kerisnya.”Barangkali bahasa orang bunian. Di mana kita sekarang?” Ratna menjengah sekali imbas ke luar jendela.”Martapura,”ujarnya selamba seolah sudah biasa dengan pelabuhan itu.”Kita sudah hampir dengan Makasar.” “Makasar,”Bujang menyisip keris pendeknya ke celah bengkung.”Bertemu juga abang dengan ibu dan bapa mertua golongan bangsawan Bugis.” “Bakal mertua,”Ratna membetulkan kenyataan itu.”Hidup dikandung adat,mati dikandung tanah.Perkahwinan kita hanya sah pada syarak.Selepas melalui upacara dan adat-istiadat Bugis, baru kita diiktiraf sebagai suami-isteri dan dicatat dalam Kitab At-Tarikh di istana.” “Tak bolehlah abang bertandang ke istana sebelum hari perkahwinan,”keluh Bujang. “Kalau untuk merisik apa salahnya,”Ratna menjelaskan.”Selepas merisik,baru diikat tali pertunangan serta menetapkan hari perkahwinan yang sesuai.Perkahwinan pula dilangsungkan selama empat-puluh empat hari empat-puluh empat malam.” “Lamanya,”Bujang mengeluh lagi.”Tak sabar rasanya hendak abang nikmati madu segar dari bunga yang sedang berkembang mekar.” “Jangan sangka abang sahaja berperasaan begitu,”Ratna tunduk malu,wajahnya merah padam menahan gelora.”Perempuan lebih-lebih lagi nafsunya.Namun,hati dan perasaan kedua-dua orang tua perlu kita jaga.Adat-istiadat harus kita junjung.” “Masanya akan tiba,”balas Bujang penuh makna sambil mencubit pipi isterinya. Setelah memastikan pakaiannya kemas,dia keluar ke geladak menyaksikan Pelabuhan Martapura yang sudah jelas kelihatan di muara Sungai Kampuas.Pengkalannya merupakan pelantar panjang di kedua-dua tebing.Rumah-rumah penduduk diselang-selikan oleh beberapa buah kedai beratap nipah dan diperbuat daripada kayu.Banyak perahu dan sampan tertambat pada tiang pelantar.Dia beredar pula ke anjung hadapan melihat haluan yang membelah ombak dan gelombang merapati pengkalan.Bahtera itu dirasanya bergerak terlalu pantas.Belum sempat dia berpaling hendak memberi arahan kepada Yaakub Lim di kamar kemudi,jentera ajaib bahtera itu tiba-tiba dimatikan.Bahtera itu terus hanyut oleh lajaknya.Bila tepian bahtera hampir mencecah pengkalan, sauh depan dan belakang pun diturunkan,bunyi rantai sauh jelas kedengaran. Tidak lama kemudian ,bahtera itu berlabuh dengan selamat. Tangga-tangga dihubungkan ke pengkalan buat mereka yang ingin ke darat. “Panglima,”tegur Andika yang datang bersama Yaakub Lim.”Berapa lama perlu kita tunggu di Martapura ini?” “Bergantung pada keadaan,”Bujang melihat sudah ramai yang naik ke darat. “Kita cuma perlu menambah bekalan bahan-bahan makanan,”Andika menjelaskan.”Air minuman tidak jadi masalah kerana kita ada alat yang menapis air laut di perut kapal.” “Mana-mana yang kurang,uruskanlah,”Bujang menyerahkan kunci bilik kebal kepada Andika. “Baik,Panglima,”Andika dan Yaakub segera minta diri,tidak mahu mengganggu Bujang yang disangka masih bersedih di atas kematian rakan baiknya Lela Wangsa.Ratna muncul senyap-senyap di sisi suaminya. “Abang,”seru Ratna perlahan,berhati-hati takut dianggap menganggu.”Ratna mohon izin ke darat.Berjalan-jalan di pasar.Mana tahu kalau-kalau kedapatan barang-barang yang boleh dibeli buat persediaan perkahwinan kita.” “Pergilah,”Bujang memberi keizinan,pandangannya masih ke tengah laut. “Abang tak ingin ikut sama?”tanya Ratna kehairanan. Bujang geleng kepala.”Bawa dayang-dayang sebagai teman,”ujarnya ringkas. “Baiklah,”Ratna segera berpaling mendapatkan dayang-dayangnya yang sedia menunggu. Sepemergian isterinya,Bujang kembali ke kamarnya. Selepas mengisi buku catatannya seketika,dia berbaring di atas katil menyambung semula pembacaan kitab tatacara pengendalian bahtera itu dan cuba memahami bahasa tersirat di sebalik kata-kata kiasan.Lela Wangsa sudah mati dan tidak akan kembali lagi.Hatinya puas kerana kematian Lela Wangsa sudah pun ditebus dengan nyawa Juragan Musa. Menjelang tengahari,bahtera itu membongkar sauh dan belayar meninggalkan Martapura menuju ke Tanah Bugis.Bujang turut memerhati muara Sungai Kampuas yang semakin jauh ditinggalkan melalui jendela kamarnya.Manakala isterinya duduk bersimpuh menjamu mata mengkagumi kain-baju dan barang-barang perhiasan yang dibelinya. “Abang pilihlah yang mana satu sesuai dibuat busana pengantin,”pelawa Ratna. Tanpa sepatah kata,Bujang berpaling dari jendela lalu duduk bersila di sisi isterinya. “Jauh lagikah Tanah Bugis?”tanya Bujang sambil memilih kain yang sesuai. “Kalau tiada aral,besok atau lusa sampailah kita di Makasar,”ujar Ratna. “Sampai di sana nanti,akan abang hantar rombongan menemui ayahanda dan bonda,” Bujang menerangkan rancangannya.”Pada Panglima Kahar dan Andika sudah abang serahkan segala urusan adat-istiadat.” “Abang seperti tidak sabar-sabar lagi,”Ratna menyindir suaminya dengan manja. “Bukan begitu,Ratna,”balas Bujang sambil mengukir senyum bermakna.”Selesai sahaja istiadat perkahwinan kita ini,abang akan mula melancarkan serangan ke atas armada Belanda di Melaka dan Betawi,membantu Kanda Sultan Kedah dan raja-raja Melayu lain yang menyebelahi perjuangan jihad kita.” “Tempat seorang isteri adalah di samping suami,”Ratna menyatakan hasratnya. “Kalau Ratna ingin ikut serta,abang tidak melarang,”Bujang memberi kebenaran.” Begitu juga dengan Chendana dan Balqis.Tetapi,perjuangan ini memerlukan pengorbanan yang cukup besar. Nyawa kita ibarat telur di hujung tanduk.” “Hubbul-watan-minal-iman,”jawab Ratna dengan lembut tetapi tegas.”Jika perjuangan ini demi kebaikan bangsa dan agama,Ratna rela berkorban nyawa.” Bujang terdiam sejenak,terkedu dengan pengakuan ikhlas isterinya yang berdarah Bugis itu. “Kita ke Tanah Suci,”tiba-tiba Bujang bersuara. “Ke Tanah Suci?”Ratna terperanjat dengan perubahan tajuk secara mendadak. “Sebelum memulakan jihad,elok kita ke Mekah terlebih dahulu menjadi tetamu Allah,”balas Bujang.”Menunaikan rukun Islam yang kelima.Wajib ke atas kita kerana kita berkemampuan.” “Baik bagi abang,baiklah juga bagi Ratna,”Ratna tersenyum riang sambil memeluk suaminya, kegembiraannya tidak dapat disorok lagi. Tepat seperti ramalan Ratna.Dua hari kemudian iaitu pada pagi Jumaat 25 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 17 November 1652 Masehi,bahtera Indera Kayangan pun berlabuh dengan selamatnya di pelabuhan Makasar.Mereka berpusu-pusu naik ke darat melalui pengkalan kayu bertiang tinggi yang dibina kukuh siap dengan pintu gerbang bertulis Jawi mengalu-alukan kedatangan pengunjung dari luar.Berpakaian hitam sedondon serta berkeris,Bujang turut menemani Ratna hingga ke persimpangan jalan di pinggir pasar. “Itulah istana Ayahanda,”Ratna menuding ke arah sebuah istana tersergam indah dikelilingi tembok batu tidak jauh dari situ. “Di sini kita berpisah buat sementara waktu,”balas Bujang dengan tenang,minatnya lebih tertumpu pada sebuah mesjid bersebelahan istana.”Kita berjumpa lagi di atas pelamin.” Ratna mencium tangan suaminya dengan penuh kasih-sayang.Sebagai balasan,Bujang mengucup dahi isterinya.Ratna tersipu-sipu beredar pergi bersama dayang-dayangnya. Setelah bersalam dengan Bujang,Panglima Kahar dan Andika turut mengikut Ratna ke istana. Bujang bersama anak buahnya masuk ke dalam pasar.Mereka singgah di sebuah warong untuk bersarapan pagi.Bujang duduk semeja dengan Yaakub Lim dan Aria Wulon manakala rakan-rakan mereka memlih meja-meja lain di sekeliling mereka. Mereka memesan makanan dan minuman. “Panglima masih terasa kehilangan Lela Wangsa?”tanya Yaakub Lim sambil minum-minum selepas menjamu selera.Aria Wulon memasang telinga,takut kalau-kalau soalan rakannya itu mengguris hati Bujang. “Arwah Lela Wangsa sahabat kita,dicubit paha kiri paha kanan terasa juga,”tegas Bujang. “Tetapi kematiannya berbalas sudah,”tambah Bujang lagi,suaranya mengandungi kepuasan. “Tak sangka Kiai Agung boleh bersahabat dengan bajingan goblok seperti Juragan Musa,” luah Aria Wulon.”Bukankah dia keturunan Sunan Giri wali orang Islam itu?” “Darah keturunan belum tentu menjamin iman kita,Aria”Yaakub menyelar.”Tengok,kau orang Melayu tapi masih menganut agama Hindu. Tapi hamba orang cina sudah Islam sejak dari lahir.” “Orang Islam sendiri pun belum terjamin masuk syurga,”tambah Bujang pula. Aria Wulon terdiam,kata-kata dari dua rakannya meresap ke dalam hatinya. “Panglima,”Yaakub mengubah tajuk perbualan.”Ada yang sudah rindu pada anak-isteri yang sudah lama ditinggalkan.Mereka tertanya-tanya berapa lama kita berlabuh di sini.” Bujang meneguk minumannya dengan tenang.Dia tahu mereka semua memasang telinga. “Kita belayar pulang selepas selesai majlis perkahwinan hamba,”ujarnya membuat keputusan. Mendengar jawapan itu,beberapa orang anak buahnya menarik nafas lega. “Kemudian kita belayar ke Mekah,”sambung Bujang lagi,memerhati mereka semua sekilas pandang.”Kamu semua boleh ikut sama jika ingin. Balik dari Mekah…,”Bujang terdiam sejenak, menyedari di mana dia berada di saat itu.Kata-katanya itu dihabiskan dengan menarik kerisnya separuh lalu menyarungkannya kembali sebagai tanda pengenalan perjuangan mereka.Tanda itu dibalas hampir serentak oleh anak buahnya,pelanggan-pelanggan lain yang berada di warung itu tercengan kehairanan tidak tahu-menahu. Petang itu Bujang bersembahyang Jumaat di mesjid berhampiran istana bersama anak buahnya dan penduduk tempatan. Khutbah Jumaat disampaikan dalam bahasa Melayu walaupun imamnya orang Bugis.Sebagai musafir,dia tidak diwajibkan menunaikan sembahyang Jumaat.Namun, peluang itu diambil untuk bercampur-gaul dengan masyarakat setempat setelah sekian lama mengembara.Kaum-kerabat Ratna serta beberapa orang pembesar Bugis juga turut hadir tetapi mereka tidak mengenalinya.Seperti biasa,dia tidak terus meninggalkan mesjid sebaik sahaja selesai solat. Sebaliknya,selepas bersalam dengan pak imam,dia menuju ke sebuah rak di mana kitab-kitab lama disusun.Sebuah kitab bertajuk ‘Hakikat Insan’ menarik minatnyaKitab itu dibuka lalu diselak beberapa lembar melihat isinya.Kemudian dia memilih suatu sudut mesjid yang agak tersorok, di situ dia duduk membaca kitab itu dengan khusyuk. Lantaran terlalu khusyuk,Bujang tidak menyedari langsung kehadiran beberapa tetamu yang tidak diundang.Tiba-tiba sahaja rongga hidungnya diasak oleh bau wangi yang harum semerbak yang sudah biasa dihidunya.Sedar-sedar di hadapannya wujud Sheikh Kuala,diapit oleh Raja Abal Yusuf serta Puteri Mayang Sari.Di belakang mere duduk kaum-keluarga Raja Abal Yusuf. Bila ditoleh ke kanan,Bujang agak terkejut melihat kehadiran Panglima Kahar,Yaakub Lim,Andika dan Tok Kilat manakala di sebelah kirinya duduk empat orang hulubalang yang tidak dikenali. Gurunya yang berpakaian serba putih dengan janggut dan misai seperti kapas dibusar tunduk meneliti sebuah kitab Al-Qur’an yang terbuka di atas rehal kayu. “Supaya akad nikah ini lebih afdal.kami turut menjemput imam dan saksi dari kalangan manusia,”Raja Abal Yusuf bersuara tenang,melirik pada Sheikh Kuala,kemudian pada Panglima Kahar serta tiga lagi rakannya.”Supaya di belakang hari,tidak ada yang mempersoalkannya.” “Bujang sudah bersedia?”tanya Sheikh Kuala pada anak murid kesayangannya. Sebagai jawapan,Bujang bangun menghampiri Sheikh Kuala,kemudian duduk bersila penuh takzim di hadapan gurunya dari Acheh itu. Sheikh Kuala mencapai tangan Bujuang lalu menggenggamnya erat,”Aku nikahkah dikau Tengku Alang Iskandar ibni Almarhum Sultan Abdullah dengan Yang Mulia Puteri Mayang Sari anak perempuan kepada Raja Abal Yusuf yang memerintah Negeri Antah Berantah dengan mas kahwin sebentuk cincin mutiara delima.” “Aku terima nikahnya Puteri Mayang Sari anak perempuan kepada Raja Abal Yusuf dengan mas kahwin sebentuk cincin mutiara delima,”Bujang menyambut lafaz yang diucapkan. “Sah?”tanya Sheikh Kuala pada saksi-saksi. “Sah,”balas Panglima Kahar penuh yakin.Yaakub Lim,Andika dan Tok Kilat cuma angguk kepala mengiyakan pengesahan rakan mereka. “Bagaimana dengan anakanda empat beradik?”tanya Raja Abal Yusuf pada empat hulubalang di sebelah kiri Bujang. Mereka mengangguk sambil menyusun sembah. “Alhamdulillah,”sampuk Sheikh Kuala berpuas hati,lalu menadah tangan membacakan doa ringkas,diaminkan oleh mereka semua. Sebaik sahaja Bujang menyapukan tangannya ke muka,mereka semua tiba-tiba ghaib dari pandangan kecuali Puteri Mayang Sari.Ketika Bujang masih terpinga-pinga,Puteri Mayang Sari bangun bersimpuh di hadapan suaminya,kemudian tangan suaminya itu dicium. Sebagai balasan, Bujang mengucup dahi isterinya dari alam bunian itu. “Pertunangan kita berakhir sudah,sekarang kandalah suami dinda,”tutur Mayang lembut. “Majlis perkahwinan menjelang tiba,kanda akan dijemput ke peterana.” “Baiklah,”jawab Bujang sepatah. “Jika kanda perlukan dinda,cincin zamrud itulah tanda,”sambung Mayang Sari lagi. Belum sempat Bujang memjawab lagi,Puteri Mayang Sari memberi salam dan terus menghilangkan diri dari pandangan,meninggalkan bau harum yang masih mewangi di udara. “Waalaikumussalam,”tutur Bujang perlahan,menjawab salam tersebut. Lewat petang baru dia keluar dari mesjid itu bersama beberapa orang jemaah yang bersolat asar. Ditinjau ke arah warong tadi.Warong itu penuh dengan pelanggan tetapi anak buahnya tidak kelihatan di situ.Kebanyakan mereka bersiar-siar di pengkalan sambil menghirup udara petang sementara yang lain sudah kembali ke bahtera.Dua-tiga orang anak buahnya kelihatan memancing dan menahan pukat,ada juga yang berperahu mencandat sotong.Sekali pandang,mereka tidak ubah seperti penduduk tempatan dan bukan angkatan Fisabilillah yang bakal memerangi Belanda. Demi terpandang Yaakub Lim bercekak pinggang di pengkalan,dia terus menghampiri rakannya itu. “Selamat pengantin baru,Panglima,”Yaakub mengucapkan sambil tersenyum-senyum bersalam dengan Bujang.”Hamba rasa seperti bermimpi tadi.” “Kamu tidak bermimpi,Yaakub,”Bujang mengerling pada cincin zamrudnya.”Mana bapa saudara hamba?” “Panglima Kahar dengan Andika kembali ke istana Raja Bugis menguruskan perkahwinan Panglima,”Yaakub menjelaskan.”Begitu juga dengan Daeng Samarinda.Khabarnya majlis persandingan Panglima dengan Puteri Ratna akan diadakan seminggu lagi,selama tujuh hari tujuh malam.” “Mudah-mudahan tidak bertelagah dengan majlis Raja Abal Yusuf,”Bujang mengerutkan dahinya,membayangkan seribu kemungkinan. Petang itu,Bujang mengisi masa lapang bermain sepak raga bersama anak buahnya di atas geladak bahtera sambil dihembus bayu yang menyejukkan badan. Malam itu dia dikunjungi Mayang Sari.Dia menyedari kehadiran isterinya itu ketika menunaikan solat.Selepas mmemberi salam dan berdoa,baru dia berpaling ke arah isterinya yang duduk bersimpuh berpakaian serba kuning.Melihat isterinya tersenyum simpul penuh makna,hatinya berdebar-debar,nafsu mudanya tiba-tiba bergelora. “Santapan sudah disediakan,”pelawa Mayang Sari.”Jemputlah,kanda pujaan.” Bujang bangun mengikut Mayang Sari ke kamar mereka,kemudian duduk menghadapi hidangan yang ditutup dengan tudung saji sutera.Tanpa sepatah kata,Mayang Sari menyenduk nasi ke pinggan mereka.Selepas membasuh tangan,diam-diam mereka menjamu selera.Tidak ada yang bersuara,hanya kedengaran makanan dikunyah dan sekali-sekala bunyi sudu berlaga dengan pinggan.Masing-masing membisu seribu bahasa sehingga selesai makan. “Mulai sekarang,inilah kamar Mayang,”Bujang bersuara sambil membasuh tangan.”Di sebelah ialah kamar Rubiah.Begitu juga dengan isteri abang yang lain,masing-masing disediakan kamar sendiri supaya senang dan selesa.” “Sebarang kata kanda,dinda menurut saja,”Mayang Sari turut sama membasuh tangan. Bujang bangun dan keluar dengan tenang dari kamar isterinya.Kamar besar yang menempatkan lapan kamar kecil itu diperhati seketika,kemudian dia beredar ke jendela merenung malam yang hitam pekat.Pintu gelongsor dibuka,dia beredar pula ke anjung hadapan mengambil angin. Mayang Sari muncul tidak lama kemudian,sama-sama menyaksikan bintang yang berkerlipan di langit. “Mala ini malam bahagia,malam kita bersama,”gemersik suara Mayang Sari di angin lalu.”Dinda akan sentiasa di sisi kanda.Dipanggil,dinda datang. Disuruh pergi,dinda menjauhkan diri.” “Tadi,Mayang tidak ikut sama bersembahyang,”tegur Bujang meluahkan isi hatinya. “Adat melarang syarak mengharamkan,”Mayang Sari menjelaskan.”Seperti manusia biasa, kami juga ada ketikanya tidak boleh digauli kerana badan tidak suci.” “Oh,begitu kiranya,”Bujang tersenyum tanda faham perkara yang sebenarnya. “Selain dari itu,semua dihalalkan,”Mayang Sari turut sama mengukir senyum.”Bukan kehendak dinda,kehendak ayahanda sebenarnya.Sempena dengan hari Jumaat penghulu segala hari.Dalam seminggu ini kenalah kanda bersabar,masakan lari gunung yang dikejar.Minggu depan malam Jumaat baru dibolehkan.” “Abang faham,”Bujang membelai rambut isterinya.”Kalau Mayang kasihkan abang,janganlah berkanda berdinda lagi dengan abang.Abang tidak mahu isteri abang dibeza-bezakan.” “Baiklah,abang,”patuh Mayang Sari menatap wajah suaminya seketika.Bila mata bertentang mata,jiwa mula bergelora.Seolah-olah mengetahui apa yang terpendam di hati suaminya,Mayang Sari segera tersipu-sipu melarikan pandangannya kea rah lain. Begitu juga dengan Bujang yang berpura-pura membilang bintang di langit. “Dalam waktu yang terdekat ini,abang akan dicuba dengan dugaan yang cukup getir,”tiba-tiba Mayang Sari mengubah tajuk.”Hati-hatilah.Pada Allah dilupa jangan.” “Dugaan?”Bujang tertarik hati ingin mengetahui selanjutnya.”Dugaan yang bagaimana?” “Kami dilarang mencampuri urusan manusia,”Mayang Sari menjelaskan.”Ada yang boleh diceritakan,ada juga yang dilarang.Apa yang diceritakan,tidak lebih dan tidak kurang. Jika Mayang berdiam diri,bererti perkara itu tidak dibolehkan.” Bujang mengangguk tanda faham meskipun hatinya berasa sedikit keciwa. “Malam masih muda,mari kita bercengkerama,”Bujang mengajak isterinya. “Boleh,”Mayang Sari mengikut sahaja kehendak suaminya.”Asalkan tidak melanggar pantang- larang,asalkan dijaga batas-sempadan.” Dari anjung,mereka beredar ke kamar sambil berpelukan. Enam hari kemudian iaitu pada petang Khamis 1 Safar 1063 Hijrah bersamaan dengan 23 November 1652 Masehi ketika Bujang berihat di warong sambil menjamah pisang goreng bersama Yaakub Lim dan Aria Wulon,mereka dihampiri oleh Panglima Kahar dan Andika dengan wajah berseri-seri. ‘Berita baik,Panglima,”Andika terus memaklumkan selepas mereka bersalam dan duduk bersama di meja itu.”Kami membawa perutusan dari Yang Mulia Daeng Relaku Sultan Gowa. Panglima dijemput ke istana mala mini untuk mandi berlangir menjelang hari perkahwinan besok.” “Malam ini?”Bujang teringat janjinya pada Mayang Sari yang belum terlaksana. “Ya,malam ini,”Panglima Kahar mengukuhkan kenyataan.”Hanya mandi berlangir dengan tujuh jenis bunga,khabarnya untuk membuang sial dan menaikkan seri di wajah.Besok pagi dimulakan majlis akad nikah,seterusnya majlis persandingan di raja yang dihadiri oleh ramai tetamu dari dalam dan luar negeri.” “Bujang kena bermalam di istana?”tanya Bujang,tidak begitu gembira. “Sudah tentu,”balas Panglima Kahar,hairan dengan sikap anak saudaranya itu. “Panglima pergilah tukar pakaian,”tambah Andika pula.”Perjalanan ke sana agak jauh juga. Kereta kuda sudah disediakan,kami tunggu Panglima di hadapan pintu gerbang istana.” “Jauh?”Bujang bertambah hairan.”Ke mana gerangan hendak dituju sebenarnya?” “Istana hinggap berhampiran sebuah tasik,”Andika menjelaskan.”Di situlah Panglima akan menetap selama tujuh hari majlis perkahwinan ini. Daeng Ratna menunggu di sana.” Bujang membisikkan sesuatu ke telinga Yaakub Lim. “Ayoh,kita ke sana sekarang,”katanya pada Andika setelah Yaakub Lim beredar pergi bersama Aria Wulon. Perjalanan dengan pedati yang ditarik oleh enam ekor kuda tidak memakan masa yang lama.Setelah melalui kawasan perkampungan dan sawah-ladang,tibalah mereka di istana hinggap di pinggir tasik menjelang senja.Istana kayu berbumbung empat itu turut dibina serambi tempat menerima tetamu.Pekarangan istana yang luas itu dipagari tembok buluh yang diruncingkan hujungnya.Kerana senjakala sudah berlabuh,pelita dinyalakan di sana-sini menerangi kawasan. Pedati itu berhenti di hadapan pintu gerbang yang dikawal dua hulubalang. Demi melihat Andika,pintu gerbang itu terus dibuka.Bujang terus mengikut Andika dan Panglima Kahar memasuki pekarangan istana. Mereka disambut oleh Sultan Hasanuddin timang-timangan Daeng Relaku Raja Gowa yang sedia menunggu di serambi bersama para pembesar baginda.Gong dipalu bertalu-talu menandakan ketibaan pengantin lelaki. Bujang dibawa ke sebuah bilik untuk ditukar dengan pakaian yang sesuai,kemudian diiring pula ke tempat mandi di mana Daeng Ratna sedia menanti dengan hanya berkain kemban. Mereka didudukkan lalu dijirus dengan air tujuh jenis bunga dari sebuah tempayan besar.Sebagai penutup, mereka dijirus pula dengan air limau sintuk dari sebuah buyung sebelum dibawa keluar dari kawasan mandian.Bujang dibenar menukar pakaiannya yang basah sebelum ditemukan semula dengan Ratna di bilik pengantin yang dihias indah.Maka selesailah upacara mandi berlangir yang ringkas tetapi amat bermakna itu. Raja Gowa dan kaum-kerabat serta para pembesar kembali ke istana besar bersama lain-lain tetamu.Tinggal dayang-dayang dan dua orang pengawal untuk membantu kedua mempelai itu. Bujangmengambil kesempatan untuk menunaikan kewajipannya kepada Allah. Berdua-duaan di serambi pada malam itu sambil memandang tasik yang sunyi sepi,Bujang menggunakan akalnya untuk bersama Mayang Sari seperti yang dijanjikan. “Malam ini malam Jumaat,”Bujang mengingatkan Ratna. “Tapi pagi besok baru kita diakad nikah secara rasmi di hadapan ayahanda,”Ratna mengulangi pendiriannya.”Ratna berpegang pada adat demi menjaga maruah kerabat di raja Bugis.” “Abang hendak kembali ke bahtera,”Bujang menyampaikan hajatnya.”Ada sedikit amalan yang perlu dibuat sempena dengan malam penuh hikmah ini.” “Di sini pun boleh dilakukan,”balas Ratna yang tidak mengerti maksud sebenar.”Gunakan bilik yang kosong.Nanti Ratna minta dayang-dayang kemaskan.” Bujang terdiam,mati akal mencari jalan untuk bertemu dengan Mayang Sari. “Biarlah abang berterus-terang dengan Ratna,”Bujang mengaku akhirnya.”Sebenarnya malam ini giliran abang dengan Mayang Sari. Abang sudah berjanji.” “Kalau begitu,tak apalah,”ujar Ratna dengan tenang.”Kerbau dipegang pada tali,manusia dipegang pada janji.Kembalilah abang ke bahtera.Ratna izinkan dengan rela hati.” “Terima kasih,Ratna,”Bujang mengucup dahi isterinya. Malam itu juga Bujang dihantar oleh pengawal ke pengkalan.Tanpa mempedulikan beberapa orang anak buahnya yang masih berbual kosong di geladak,dia terus ke kamarnya untuk menemui Mayang Sari.Isterinya dari alam bunian itu sudah pun menunggu di kamarnya dengan pakaian nipis serba putih. Keadaan di dalam kamar tidur itu harum semerbak,lampu sudah dimalapkan. Melihat isterinya duduk berjuntai kaki di atas katil dengan gaya mempesonakan,adarah mudanya terangsang. Mahu dogomol isterinya pada saat itu juga. Namun,dia menarik nafas dalam-dalam menahan gelora nafsunya. Untuk menyembunyikan perasaannya,dia berpaling kea rah lain sambil menanggalkan bajunya. “Inilah saat yang ditunggu-tunggu,”Mayang Sari bersuara lunak penuh bermakna.”Lakukanlah tanggung-jawab abang sebagai seorang suami.” “Tiada pantang-larang?Tiada batas-sempadan?”sindir Bujang,menyarungkan kain ke badan. “Tidak,”Mayang Sari bangun memeluk Bujang dari belakang.”Saat inilah yang dinanti-nantikan, siang jadi igauan,malam jadi impian.Marilah kita bercengkarama,ibarat kumbang dengan bunga.” “Mari,”Bujang terus menarik tangan Mayang Sari lalu merebahkannya ke tilam yang empuk itu. Dinihari Jumaat 2 Safar 1063 Hijrah bersamaan dengan 24 November 1652 Masehi,menyeru Bujang sujud mengerjakan sunat tahajud meskipun badannya letih kerana kekurangan tidur. Mayang Sari turut bertahajud bersamanya,badan masing-masing segar selepas mandi membersihkan badan. Bila fajar sidiq menjelma,mereka berjemaah subuh pula. Tatkala mentari muncul di ufuk timur,Bujang sudah pun siap menyearungkan persalinan lengkap seorang panglima anugerah dari almarhum mertuanya Sultan Kedah,kedua bilah kerisnya tersisip kukuh di celah bengkung. “Pakailah baju layang itu,”Mayang Sari menyarankan sambil menghidangkan sarapan di atas meja.”Mungkin ada kebaikannya.” “Baju antakusuma ini?”Bujang membelek baju pemberian Sunan Kalijogo itu seketika sebelum memakainya.”Mayang kenal baju ini?” “Baju perang pakaian para wali,”Mayang Sari menghulurkan secangkir minuman kepada suaminya.”Mayang tahu abang masih keletihan. Minumlah ini,semoga kembali segar.” Bujang pun minum seperti yang dipinta.”Manis rasanya seperti madu.” “Memang air madu,”Mayang turut sama minum.”Madu bercampur ubat-ubatan dari Nabi Sulaiman,turut diamalkan oleh maharaja cina yang memiliki seribu gundik.” “Oh begitu,”Bujang tersenyum,terbayangkan malam pertamanya dengan Ratna yang bakal dilalui tidak lama lagi.”Jemputlah ke majlis perkahwian abang dengan Ratna.” “InsyaAllah,”Mayang Sari menghulurkan sepotong kueh pada suaminya.”Supaya tidak timbul fitnah dan menjadi buah mulut orang,Mayang akan hadir secara ghaib tanpa dilihat sesiapa. Kalau abang ternampak Mayang,jangan ditegur.” “Baiklah,”Bujang berjanji.Dia terpandang sesuatu di atas katil.”Bungkusan apa itu?” “Pakaian Mayang semalam,”jawab Mayang ringkas. “Buat apa dibungkus?Mengapa tidak dibasuh terlebih dahulu?” tanya Bujang kehairanan. “Pakaian itu akan dipersembahkan kepada ayahanda,”Mayang Sari menerangkan dengan lebih lanjut.”Sebagai bukti Mayang belum disentuh oleh mana-mana lelaki sebelum ini.Seperti manusia, kami juga amat menitik-beratkan keperawanan seseorang gadis.” Bujang tersenyum,terkenangkan syarat yang sama diamalkan oleh Ratna sekeluarga. “Benar,abang,”Mayang Sari turut sama tersenyum.Bujang tidak terkejut mengetahui kebolehan Mayang Sari membaca isi hatinya.Itulah anugerah Allah kepada golongan seperti mereka. “Elok abang bertolak sekarang sementara hari belum panas,”Bujang minta diri. “Pergilah,abang.”Mayang Sari bangun mencium tangan suaminya.”Mayang akan menyusul kemudian.Selamat pengantin baru.Hati-hati ketika mandi di tasik.” “Terima kasih dan insyaAllah,”balas Bujang mengucup dahi isterinya penuh syahdu. Setelah membetulkan kedudukan kerisnya,Bujang pun melangkah keluar dari kamarnya. Di atas geladak,anak buahnya yang ingin turut serta sudah lama menunggu.Yaakub Lim, Panglima Kahar dan Aria Wulon segera tampil mendapatkan Bujang sambil menyusun sembah. Tindakan mereka itu kurang menyenangkan hati Bujang.”Selepas majlis ini,hamba jangan disembah lagi seperti seorang raja.” Yaakub Lim,Panglima Kahar dan Aria Wulon segera menurunkan tangan sambil mengangguk. Diiringi oleh anak buahnya,Bujang melangkah ke pengkalan. Dari pengkalan,dia beredar pula ke istana Sultan Hassanuddin.Sepanjang perjalanan itu,penduduk tempatan dan saudagar asing berbaris mencari kesempatan melihat pengantin lelaki yang berpakaian seperti hulubalang Melayu itu. Di hadapan pintu gerbang istana,Andika dan Tok Kilat sedia menunggu dengan beberapa buah kereta kuda. Bujang diiring ke sebuah kereta kuda yang paling cantik berhias langsir kuning dan panji-panji kerajaan.Hanya Tok Kilat dan Panglima Kahar dibenarkan menjadi pengapit Bujang, rakan-rakannya terpaksa memilih kereta kuda lain. Diiringi oleh panglima dan pengawal berkuda, rombongan pengantin itu mula bergerak meninggalkan istana besar menuju ke istana hinggap. Di dalam kereta kuda,Bujang diajar oleh Daeng Samarinda timang-timangan Tok Kilat tentang adat-istiadat Bugis yang perlu dipatuhi sepanjang majlis perkahwinan yang dilangsungkan itu kerana ramai tetamu kehormat dari luar turut hadir. Ketibaan rombongan di raja di istana hinggap disambut dengan meriah oleh para pendekar dan dan hulubalang yang lengkap bersenjata. Bujang merasa seperti berada di Kedah ketika majlis perkahwinannya dengan Tunku Balqis beberapa bulan yang lalu.Kini sejarah berulang tetapi berlangsung di Tanah Bugis.Mak andam berbalas-balas pantun dengan Daeng Samarinda dalam bahasa Bugis,diikuti oleh pemberian cenderamata.Kemudian,Bujang dibawa naik ke istana dan dipertemukan dengan kaum-kerabat Ratna di ruang tetamu.Terlebih dahulu Bujang menyusun sembah penuh takzim pada ayahanda dan bonda mertuanya.Ratna duduk bersimpuh di sisi bondanya dengan berpakaian pengantin ala Bugis. Jurunikah dan empat orang saksi sudah mengambil tempat di hadapan singgahsana Raja Gowa. Bujang dibawa ke sana,kemudian Daeng Samarinda berundur beberpa langkah dan duduk bersama Panglima Kahar serta rakan-rakan yang lain.Bujang tunduk mendengar Jurunikah membaca kitabnya dalam bahasa Melayu telor Bugis.Bila ditanya,dia hanya mengangguk tanda faham. Upacara akad nikah berlangsung tanpa masalah.Sekali lafaz,sahlah pernikahan Bujang dengan Ratna mengikut adat-istiadat diraja Bugis seperti yang dikehendaki. Adat dan syarak sudah bersatu,lengkap sudah mereka berdua sebagai pengantin diraja. Ratna diiring Mak Andam dan didudukkan di sini Bujang.Sekali lagi Jurunikah membuka kitabnya dan mengulangi apa yang disebut tadi.Ketika itu,Bujang ternampak Mayang Sari duduk bersimpuh di sebelah Ratna sambil tersenyum simpul. Bujang pura-pura tidak melihatnya. Sebentuk cincin emas permata delima pemberian Bujang disarungkan ke jari manis Ratna oleh Mak Andam.Semua jari Ratna masih merah kesan inai.Beberapa saat kemudian,Mayang Sari menghilangkan diri. Berakhirnya upacara akad nikah tersebut,Bujang dan Ratna dibawa ke bilik pengantin dan ditinggalkan berdua-duaan.Baru Bujang menarik nafas lega sambil mengesat peluh di dahi. “Belum berakhir lagi,”tegur Ratna sambil tersenyum.”Sebentar lagi,majlis persandingan akan diadakan di persada.Diikuti oleh persembahan dari berbagai daerah,termasuk Tanah Toraja.” “Jadi,abang perlu tukar pakaian?”Bujang bertanya. “Di sini tidak perlu,”jawapan Ratna melegakan hati Bujang.”Pakaian itu sudah cukup baik. Tetapi di istana besar besok,kita mesti berpakaian sedondon kerana akan ditonton oleh tetamu-tetamu istimewa,raja-raja,para pembesar serta seluruh penduduk negeri.Bersabarlah,abang. Hanya sekali sahaja seumur hidup.” Mak Andam muncul di ambang pintu bersama dua orang dayang-dayang yang berselubung. “Sudah cukup rihat?”tegur Mak Andam tersenyum lebar.”Mari ikut ibu.” Bujang mengeluh,menyebabkan Ratna tertawa kecil. “Selamat pengantin baru,ayah,”tiba-tiba suara halus menutur dari ambang pintu. “Fatimah?”suara anak gadisnya lekas-lekas dicamnya. Fatimah lantas meluru memeluk ayahnya erat-erat sambil menangis gembira. Bujuang membelai-belai rambut anak kesayangannya itu,air matanya turut berlinang.Ratna tunduk menahan sebak.Begitu juga dengan Mak Andam serta dua orang dayang-dayang berselubung itu. “Fatimah datang dengan siapa?”suara Bujang terketar-ketar menahan perasaan. “Dengan bonda berdua,”Fatimah melepaskan pelukannya sambil berpaling kea rah dayang-dayang berdua. Dengan tenang Chendana dan Balqis menyingkap kain selubung yang menutupi wajah mereka sambil mengesat air mata.Sementara Bujang terpaku seperti patung,Ratna menerpa bersalam dan berpelukan dengan kedua-dua madunya. Bujang,Fatimah dan Mak Andam melihat sahaja adegan yang berlaku di bilik pengantin itu.Kemudian Chendana dan Balqis bergilir-gilir mencium tangan Bujang,air mata tidak dapat ditahan-tahan lagi. “Dengan siapa kau berdua datang?”tanya Bujang,suaranya garau menahan sebak. “Dengan lancang abanglah,”jawab Balqis melegakan suasana.”Lela Wangsa jadi nakhoda.” “Lela Wangsa masih hidup?” Bujang seperti tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya. “Memang Lela Wangsa masih hidup,”Chendana turut mengesahkan.”Lancang itu rosak sikit tetapi sudah dibaiki.Katanya diserang lanun di perairan Pulau Bali.” “Alhamdulillah,”ujar Bujang penuh terharu.Cepat-cepat dikawal perasaannya.”Apa ditunggu lagi,Mak Andam?Ayuh,kita ke persada pengantin.” Duduk bersanding bersama Ratna di atas persada di pinggir tasik itu,Bujang merasa benar-benar bahagia.Kehadiran Chendana,Balqis dan Fatimah bersama kaum-kerabat Ratna di tempat yang disediakan khas melengkapkan kegembiraannya.Tambah gembira lagi bila dia terpandang Lela Wangsa berbual-bual rancak bersama Yaakub serta rakan-rakan lain sambil menyaksikan majlis persandingan diraja itu.Kegembiraan turut terpancar pada wajah Ratna,senyuman tidak lekang dari bibirnya.Begitu juga dengan Chendana,Balqis dan Fatimah,tiada rasa cemburu yang tergambar melainkan kerelaan dan kepuasan yang mencerminkan hati yang suci bersih.Bujang tidak habis- habis bersyukur kepada Allah yang mentakdirkan pertemuan di hari bahagia itu. Bujang terasa waktu berjalan begitu pantas.Sedar-sedar,majlis persandingan itu sudah berakhir. Kedua mempelai itu dipimpin turun dari persada.Ketika itu dengan tidak disangka-sangka,muncul seekor ular naga yang besar dari tasik,seluruh badan bersisik hijau sebesar nyiru,bertaring panjang, matanya merah seperti bola api.Penonton menjerit-jerit ketakutan. Ratna yang berpaling ke belakang ternampak mulut ular naga itu ternganga luas siap sedia hendak menelan suaminya. Bujang terkebil-kebil,tidak menyedari bahaya yang menunggunya. Belum sempat Ratna menjerit memberi amaran,ular naga it uterus membaham Bujang lalu membawa ke tengah tasik. Sekelip mata kemudian,ular naga itu ghaib ke dalam tasik.Anehnya air tasik tidak berolak bagaikan tidak terusik langsung.Kegembiraan dan kebahagiaan bertukar menjadi malapetaka. Ratna pengsan di atas persada.Tambah kecoh lagi apabila Chendana dan Balqis turut pengsan. Suasana menjadi kelam-kabut dengan kejadian yang tidak disangka-sangka itu.Raja Gowa segera menitahkan para pendekar dan hulubalangnya mencari Bujang di dalam tasik itu manakala Ratna serta dua orang madunya segera diusung ke atas istana untuk diberi rawatan.Anak buah Bujang yang dipimpin oleh Lela Wangsa segera membantu pendekar dan hulubalang Bugis mencari panglima kesayangan mereka.Masing-masing tertanya-tanya akan nasib Bujang. Ketika Bujang terpandang wajah isterinya yang cemas seolah-olah ingin menyatakan sesuatu, tiba-tiba dia merasa bagaikan disungkup dengan kawah yang amat besar.Serta-merta keadaan menjadi gelap-gelita dan hitam pekat seperti malam yang tidak berbintang.Tubuhnya terasa melayang-layang seperti terjatuh dari tempat yang tinggi,telinganya berdesing kuat. “MasyaAllah..,”bisiknya dalam hati.Zikirnya segera dimantapkan,semua lubang pancainderanya ditutup supaya tidak dimasuki unsur-unsur jahat,batinnya bersatu dengan alam ghaib. “Panglima Agung,”bergema satu suara garau dalam kegelapan itu.”Jangan takut. Kami bukan musuh Panglima.Kami diperintahkan membawa Panglima ke istana di dasar laut.” -“Siapa geranganmu,wahai suara ghaib?”Bujang bertanya secara kebatinan. “Kami juga makhluk Allah yang menjalankan perintah-Nya,”suara garau itu bergema lagi dalam kegelapan itu.”Bacalah doa Nabi Khidir,insyaAllah,selamat dari lemas di lautan.” Bujang terus membaca doa Nabi Khidir dalam hatinya.Diulang lagi bacaanya beberapa kali. Genap tujuh kali,tiba-tiba keadaan tempat itu bertukar menjadi terang-benderang seperti siang. Dia mendapati dirinya berada di dalam sebuah mahligai yang amat indah.Dinding mahligai itu diperbuat daripada kaca yang bertatahkan mutiara,zamrud,nilam serta lain-lain batu permata yang berharga.Lantai dan lelangit yang diperbuat dari marmar putih mengeluarkan sejenis cahaya yang menerangi setiap ruang. Sebuah singgahsana kelihatan berkilau-kilauan,di atas singgahsana itu duduk seorang lelaki yang sudah dikenalinya. “Duli Tuanku Raja Nasyaful Alam,”Bujang menyusun sembah. “Selamat datang,anakanda,”sambut Raja Nasyaful Alam dengan gembira.”Sila duduk.” Bujang pun membetulkan kedua-dua bilah kerisnya lalu duduk bersila di hadapan mertuanya. Tiba-tiba Puteri Rubiah muncul di sebelah Bujang,duduk bersimpuh penuh bersopan sambil memaut lengan Bujang. Sekonyong-konyong muncul pula para pembesar,semua duduk berbaris di hadapan raja mereka seperti saf dalam sembahyang. Subhanallah,Bujang memuji di dalam hati.Pada masa yang sama,hatinya tertanya-tanya apakah semua yang dilihatnya itu benar-benar wujud atau hanya khayalan dan tipu-daya syaitan untuk menggoda manusia. “Jangan suka menyimpan buruk sangka sesama makhluk Allah,”tegur Raja Nashaful Alaml yang dapat membaca isi hati menantunya.”Sebagai murid terunggul Sheikh Kuala di Tanah Rencong dan Sheikh Abdullah di Gunung Jerai,sudah seharusnya anakanda berbaik sangka pada semua makhluk Allah di bumi dan di langit.” “Maafkan patik,Tuanku”Bujang tunduk,malu pada diri sendiri. “Kami membantu Nabi Khidir Alaihissalam mentadbir negeri ini,”Raja Nasyaful Alam membuka sedikit rahsianya.”Segala sungai,tasik,laut,lautan dan dimana sahaja adanya air, di situlah kami memerintah mengikut ketentuan Allah.” “Di dalam laut ini ada negeri?”Bujang seperti kurang yakin. “Ada raja,tentulah ada negerinya,anakanda,”bidas Raja Nasyaful Alam.”Kalau di darat ada Negeri Antah Berantah,di laut pula Negeri Segara Masin yang diperintah ayahanda.” “Sekali lagi patik pohon ampun dan maaf,”pinta Bujang dengan ikhlas. Raja Nasyaful Alam tersenyum.”Memang,akal manusia tidak terjangkau akan kedua-dua alam ini,”katanya tenang.”Di hujung negeri ini terdapat sebuah kubah mutiara yang besar,letaknya di suatu lautan yang paling dalam.Tidak ada suatu pun di kalangan kami yang mampu mendekati kubah itu,apa lagi untuk masuk ke dalamnya.Sudah ada yang mencuba,semuanya terbakar hangus.” “Apa yang ada di dalam kubah itu,Tuanku?”tanya Bujang berminat. “Seorang manusia istimewa yang digelar Rijalul Ghaib,”jelas Raja Nasyaful Alam. “Rijalul Ghaib?”Bujang seperti pernah mendengar nama itu.”Maksudnya,lelaki ghaib, lelaki yang tidak dapat dilihat pada pandangan mata kasar.” “Menurut kitab lama kami,Nabi Sulaiman alaihissalam pernah memerintah Jin Ifrit,jin yang paling gagah,menyelam ke dasar lautan mengambil kubah itu. Jin Ifrit tidak berjaya.Sebaliknya, seorang menterinya yang bernama Ashif bin Barhiyan dari golongan manusia telah berjaya membawa naik kubah itu. Dari kubah itu keluar seorang wali Allah yang bergelar Rijalul Ghaib, juga dari golongan manusia.” “Maksud Tuanku,hanya manusia yang mampu melakukannya?”tanya Bujang. “Benar,anakanda,”Raja Nasyaful Alam mengaku.”Tetapi bukan sebarang manusia melainkan manusia yang menguasai ilmu Yaqin,Ainul Yaqin,Haqqul Yaqin,syariat,tareqat,maarifat dan haqiqat. Manusia yang menuju ke maqam Insanul-kamil.” Bujang terdiam,kata-kata yang lahir dari mertuanya itu kata-kata ahli tasawuf. “Tujuan anakanda dijemput kemari ialah untuk diperkenalkan kepada semua pembesar ayahanda di Segara Masin ini sebagai suami Puteri Rabiatul Adwiyah serta menantu ayahanda. Namun, terlanjur anakanda kemari,ingin ayahanda pohon pertolongan anakanda.” “Pertolongan apa,Tuanku?”tanya Bujang tidak mengesyaki apa-apa. “Perihal kubah Rijalul Ghaib,”jawab Raja Nasyaful Alam ringkas. “Tuanku mahu patik membawanya kemari?”tanya Bujang,agak terperanjat. “Tidak,anakanda,”Raja Nasyaful Alam menafikan.”Ayahanda mahu anakanda pergi siasat benarkah kubah itu milik Rijalul Ghaib.Kalau tidak mampu,jangan memaksa diri,kelak binasa.” Bujang termenung sejenak mengenangkan kata-kata bapa mertuanya,kata-kata yang berupa permintaan tetapi diselit dengan amaran tentang bahayanya.Permintaan itu tidak menjadi keberatan kerana dia sendiri berminat hendak menemui manusia istimewa dari zaman Nabi Sulaiman alaihassalam itu.Tentang mara-bahaya yang bakal ditempuhi,semua itu diserahkan semata-mata kepada Allah Yang Maha Berkuasa.Jika sudah takdirnya dia berkubur di perut lautan,dia redha dengan ketentuan Allah. “Di mana letaknya kubah ini,Tuanku?”Bujang bertanya tenang. “Di tempat yang dipanggil Bermuda oleh manusia,”Raja Nasyaful Alam dengan gembira menjelaskan.”Anakanda Puteri Rabiatul boleh tunjukkan tempatnya.” “Kalau begitu eloklah disegerakan,”pinta Bujang pada Rubiah,mengenangkan majlis perkahwinannya dengan Ratna yang baru bermula hari itu. “Mari ikut dinda,”Puteri Rubiah menyusun sembah,ddikuti oleh Bujang. Mereka keluar dari istana kaca itu.Bujang selalu mengaitkan lautan dengan air masin yang luas,ikan yang berenang-renang di dalamnya serta batu karang di dasarnya. Namun,apa yang dilihatnya di luar istana Raja Nasyaful Alam sukar diterima akal.Tanahnya berpasir putih,ditumbuhi berbagai jenis pokok seperti di daratan. Kelihatan sungai-sungai,rimba-belantara,bukit-bukau dan gunung-ganang. Langit sentiasa berwarna biru,cahaya matahari memancar lembut bagaikan waktu pagi. “Allah telah bukakan kasyafNya kepada abang,”Puteri Rubiah menjawab bisikan hati Bujang. “Sekarang,abang memandang dan melihat dengan mata basirah.Dinding yang memisahkan alam ghaib dengan alam nyata terlalu nipis,senipis kulit bawang.”Belum sempat Bujang bertanya,Puteri Rubiah terus menghulurkan tangan seperti menyeluk sesuatu,kemudian menunjukkan seekor ikan yang masih hidup dibasahi air laut.Bila ikan itu dilempar ke udara,ikan itu ghaib. “Dari mana datangnya ikan tadi?”tanya Bujang,masih terasa seperti bermimpi. “Dari laut pulang ke laut,”ujar Puteri Rubiah selamba,seolah-olah tidak mahu menerangkan denagn lebih lanjut. “Abang belum menguasai ilmu tersebut,”Bujang berterus-terang. “Bila alam nyata bersatu dengan alam ghaib,lengkaplah ilmu abang,”Puteri Rubiah menjelaskan serba-sedikit.”Dalam Al-Qur’an ada menyebut bahawa Allah jadikan dunia ini dalam masa tujuh hari.Ulama kami berpendapat tujuh hari itu maksudnya tujuh alam iaitu alam nyata,alam ghaib, alam barzakh dan empat lagi alam yang hanya diketahui Allah.” Bujang terdiam sejenak sambil berfikir. “Eloklah kita segera ke sana,”kata Puteri Rubiah.Tiba-tiba muncul seekor kuda putih bersayap, lengkap dengan pelana dan tali kekang seperti kuada biasa.Di atas kepalanya terdapat sebatang tanduk seperti sumbu badak. “Kuda sembrani,”tambah Puteri Rubiah lagi sebelum Bujang bertanya.”Manusia menyebutnya kuda terbang.n Tempat yang hendak dituju itu terlalu jauh,memakan masa berbulan-bulan lamanya jika mengikut cara biasa. Inilah cara yang terbaik supaya lekas sampai.” “Tapi,kuda seekor,kita berdua,”Bujang mengamati kuda sembrani itu. “Si-Rangga-Ranggit sudah jadi milik abang,”pinta Puteri Rubiah.”Serulah namanya,pasti dia menjelma.Kalau di alam nyata harus dimulakan dengan memberi salam.” “Si-Ranggit-Ranggit,”Bujang terus berseru memanggil nama kuda sembraninya.Secara mendadak muncul seekor kuda seperti kuda kepunyaan isterinya.Kuda sembarani itu merengek manja seolah-olah ingin berjinak-jinak dengan Bujang. “Abang belum pernah menunggang Si-Rangga-Ranggit,”Bujang agak keberatan. “Sama seperti kuda biasa,”Puteri Rubiah memujuk suaminya.”Bezanya,kuda sembrani mampu membaca isi hati tuannya. Niat sahaja di hati,dia akan menurut kehendak kita. Sekarang,mari Rubiah tunjukkan kubah Rijalul Ghaib itu.” Puteri Rubiah memanjat ke atas kuda sembraninya.Melihat gelagat isterinya,Bujang mencontohinya.Dengan lafaz bismillah,dia memanjat ke atas Si-Rangga-Ranggit sambil memegang tali kekang supaya tidak jatuh.Tanpa berlengah lagi,kedua-dua ekor kuda terbang it uterus meluncur laju ke udara menuju ke tempat tujuan yang dimaksudkan.Benar kata Puteri Rubiah,kuda sembrani begitu mudah dikendalikan.Cukup sekadar lintasan hati,segala perintah pasti dipatuhi.Anehnya,tiada angin yang merempuh cuping telinganya,seolah-olah mereka mengembara di alam lain yang selari dengan alam nyata.Bertambah aneh lagi bila di bawahnya hanya kelihatan tanah daratan yang maha luas yang dipenuhi tumbuh-tumbuhan menghijau. Tidak sampai sepenarik nafas,mereka tiba di pinggir sebuah lembah yang luas tetapi dilutupi kabus tebal. “Lembah itu sebenarnya lubuk lautan yang paling dalam serta menyerupai sebuah gaung,”Puteri Rubiah terus bercerita pada suaminya.”Tiada jin dan manusia yang mampu menembusinya kecuali Rijalul Ghaib.Kubah kediamannya dikatakan tersembunyi di dalam kabus tebal itu. Setakat ini sahaja Rubiah boleh tunjukkan jalan.” Bujang turun dari kuda terbangnya lalu meninjau ke dalam lembah berkabus itu. “Belum terlambat untuk abang berpatah balik,”Puteri Rubiah berkata perlahan seperti memujuk. “Tidak,”tegas Bujang.”Abang sudah nekad hendak ke sana.” “Moga-moga Allah membantu abang,”Puteri Rubiah memusing kuda terbangnya.”Rubiah menunggu di istana.Assalamualaikum.” ”Waalaikumussalam,”balas Bujang,melihat sahaja kuda terbang itu meluncur pergi seperti kilat. Tercegat di pinggir lembah yang mengandungi seribu rahsia itu,Bujang melaungkan azan dengan suara yang lantang.Azan itu bagaikan tanda niat dan hajatnya hendak ke sana menemui Rijalul Ghaib.Suasana menjadi sepi dan hening selepas azan dilaungkan.Sambil berpeluk tubuh, dia mula berzikir di dalam hati mengikut rentak degupan jantung dan turun-naik nafasnya, menyerahkan jiwa dan raganya semata-mata kepada Allah Yang Maha Esa. Tiba-tiba kabus tebal itu berkumpul lalu membentuk kubah putih memayungi lembah yang luas itu.Pada waktu yang sama kedengaran suara ramai bertasbih dan bertahmid memuji kebesaran Allah,datangnya dari dalam kubah itu. Suara itu bergema kuat tetapi tidak menyakitkan telinga, mendayu-dayu bunyinya,menyentuh hati dan jiwanya. Tanpa disedari airmatanya berlinang membasahi pipi,misai dan jambangnya.Betapa kecil terasa dirinya di hadapan ciptaan Allah. Dia tunduk melakukan sujud syukur,mencium tanah seolah-olah mengingatkan dirinya bahawa asal-usulnya juga dari tanah. Bila Bujang mengangkat muka,dengan tidak semena-mena terbuka sebuah pintu yang memancarkan cahaya kebiru-biruan.Dari pintu itu terbentang sebatang jalan seperti jambatan, lampu di kiri-kanan berkilau-kilauan.Suara bertasbih dan bertahmid hilang,diganti oleh suara merdu membaca ayat-ayat suci Al-Qur’an entah dari mana.Seorang lelaki muda berjubah putih dengan raut wajah seperti orang Arab muncul di muka pintu sambil memegang tasbih yang mengeluarkan cahaya merah delima.Perlahan-lahan Bujang bangun mengamati lelaki itu dari jauh. “Assalamualaikum,Tuan Sayed,”Bujang memberi salam dengan tenang. “Waalaikumussalam,ya Ikhwanul Islam,”lelaki itu tersenyum sambil menggamit supaya menghampirinya.”Marhaban..marhaban….kaifa-ha-luka?” “Alhamdulillah,ana-bil-khu’ir,”balas Bujang dengan gembira. “Alhamdulillah,syukran-billaka,”Rijalul Ghaib mendepang kedua-dua tangannya menyambut kedatangan Bujang.”Tafadhol,ya ikwani-minal-dunya.” “Terima kasih hamba ucapkan,”Bujang merapati Rijalul Ghaib dengan menyeberangi jambatan itu,kemudian mencium tangannya yang berbau harum.”Nama hamba Bujang,bergelar Panglima Agung.Hamba datang membawa salam dari Raja Nasyaful Alam.” “Siapa?”tanya Rijalul Ghaib dalam bahasa Melayu yang fasih. “Raja yang memerintah Segara Masin,negeri di bawah laut ini,”jelas Bujang. “Waalaikumussalam,”balas Rijalul Ghaib tenang.”Sila masuk ke baitul-abadi.” Pelawaan Rijalul Ghaib itu diterima Bujang dengan hati yang gembira. Dia terus melangkah masuk mengikuti lelaki ajaib itu.Sebaik sahaja dia berada di dalam,pintu kubah itu tertutup dengan sendirinya.Dia berhadapan dengan alam yang cukup indah yang dipenuhi taman-taman bunga, anak sungai,air terjun serta segala burung dan margasetua yang berkicau-kicauan.Matahari memancar lembut,tidak panas dan tidak sejuk.Kelihatan pelangi beraneka warna menghiasi langit. Udara segar dan nyaman bagaikan berada di syurga. “Syurga terlalu indah.tak tergambar dek kata-kata,tak terlintas dek hati,tak terjangkau dek fikiran kita,”Rijalul Ghaib membetulkan tanggapan Bujang.Ternyata dia juga diberi hikmah dapat membaca hati dan fikiran orang lain.Bujang terdiam seribu bahasa. “Di sinilah ana menetap selama ini,”Rijalul Ghaib mempelawa Bujang masuk ke dalam sebuah rumah kaca berwarna putih yang serba lengkap.”Duduklah,nanti ana ambil makanan dan minuman.” Setelah dipelawa demikian rupa,Bujang pun duduk di atas kerusi empuk yang disediakan. Seemntara menunggu Rijalul Ghaib kembali,Bujang memerhati keadaan di ruang tetamu itu. Tiada tingkap,tiada sebarang perhiasan,seluruh bahagian dinding penuh dengan lukisan manakala lelangit berwarna biru.Dia perlu melihat keseluruhan ruang di dalam rumah tersebut.Namun,belum sempat dia berbuat demikian,Rijalul Ghaib muncul semula membawa sedulang makanan dan minuman. Dulang berisi sebuku roti dan sebuah bijana berisi madu diletakkan di atas meja di hadapan Bujang. “Silakan,saudaraku,”pelawa Rijalul Ghaib dengan lembut sambil duduk.”Tafadhol.” “Tuan Sayed tidak makan sama?”tanya Bujang. “Ana sudah makan,”Rijalul Ghaib menolak.”Saudaraku makanlah.” “Bismillah..,”Bujang meneguk sedikit minuman dalam bijana itu.Rupa-bentuknya seperti madu tetapi rasanya amat sedap dan lazat,belum pernah diminumnya sebelum ini,biarpun ketika berkunjung ke alam bunian.Dicubanya pula roti berwarna kuning. Rasanya seperti keju tetapi amat lazat lagi menyelerakan.Mungkinkah ini manna dan salwa anugerah Allah kepada Bani Israil di zaman Nabi Musa alaihisslam seperti yang diceritakan dalam Al-Qur’an? “Bukan,”Rijalul Ghaib menjawab persoalan yang bermain dalam fikiran Bujang.”Bukan manna atau salwa.Setiap hari ana dikunjungi Malaikat Jibrail yang membawa makanan dan minuman dari syurga.Malaikat Jibrail membawa berita dan cerita dari luar ala mini. Malaikat Jibrail juga mengajar berbagai ilmu dan bahasa,ada di antara bahasa itu tidak lagi dituturkan.” “Subhanallah…,”Bujang mengucap tasbih memuji kebesaran Allah. “Allah memberi bantuan dengan jalan yang tidak disangka-sangka,”Rijalul Ghaib menjelaskan, tangannya menyeluk saku jubahnya.”Saudaraku tahu khasiat makanan dan minuman itu?” “Tidak,”ujar Bujang sambil mengunyah.”Selain dari lazat dan mengenyangkan.” “Sejak zaman Nabi Ibrahim alaihissalam ana tinggal di sini,itulah makanan dan minuman ana setiap hari,”Rijalul Ghaib membuka rahsia dirinya.”Ana sentiasa sehat,tidak pernah diserang penyakit.Ana tetap muda,badan ana tidak berubah. Ana tidak merasa sejuk atau panas.Peluh ana berbau wangi. Ana tahan lapar dan dahaga walaupun berbulan-bulan lamanya.” “Maha Suci Allah,”balas Bujang sambil meneguk pula minumannya.Jika dibandingkan dengan dirinya,ibarat bumi dengan langit,ibarat Loyang dengan emas,ibarat kaca dengan berlian. “Janganlah dipuji ana begitu sekali,”tegur Rijalul Ghaib.”Kembalikan segala pujian kepada yang berhak dipuji.” “Subhanallah,”sekali lagi Bujang kagum dengan kebolehan Rijalul Ghaib.”Alhamdulillah.” “Yarhamukallah,”sambut Rijalul Ghaib.”Saudaraku tidak boleh berlama di sini. Ada urusan yang belum selesai.” “Bolehkah hamba berkunjung kemari lagi?”tanya Bujang menghabiskan rotinya. “InsyaAllah,bergantung pada keizinan dan takdir Allah,”balas Rijalul Ghaib dengan tenang dan lembut.”Ketahuilah,selain Ashif bin Barhan,ana satu-satunya manusia biasa yang mampu menjejak kaki di tempat ini dengan kekutaan ilmu yang dianugerah oleh Allah.Gunakanlah segala ilmu demi amal maaruf nahi mungkar.” “InsyaAllah,Tuan Sayed,”Bujang berjanji sambil meneguk minumannya.”Terangkan pada hamba bagaimana Tuan Sayed mendapat maqam setinggi ini di sisi Allah.” Rijalul Ghaib menarik nafas panjang seolah-olah mengumpul kekuatan,kemudian mula bercerita,”Dulu ana mempunyai seorang ayah yang lumpuh dan ibu yang buta.Ana menjaga mereka siang dan malam selama tujuh puluh tahun lamanya.Sebelum mereka kembali ke rahmatullah,ibu ana berdoa supaya dipanjangkan usia ana dalam keadaan taat dan beribadah kepada Allah.Ayah ana pula berdoa supaya ana ditempatkan di suatu alam yang tidak boleh dimasuki oleh golongan jin,manusia atau syaitan.Hanya kekuatan ilmu mampu menembusi alam ini,ilmu yang dimiliki kebanyakan para aulia.” “Hamba bukan wali,”Bujang menangkis dakwaan itu.”Belum sampai ke tahap itu.” “Dengan izin Allah,akan sampai juga ke maqam itu,”Rijalul Ghaib mengeluarkan seuncang kulit dari saku jubahnya.”Sebelum saudaraku kembali ke Tanah Bugis,terimalah hadiah ini dari ana.” “Hadiah apa,Tuan Sayed?”tanya Bujang menghabiskan minumannya. “Batu permata dari syurga,dibawa oleh Malaikat Jibrail,”Rijalul Ghaib menyerahkan uncang kulit itu kepada Bujang.”Ana tidak memerlukannya di sini. Ana dipesan supaya memberikan kepada manusia pertama tiba di sini selepas Ashif bin Barhan.Terimalah,saudaraku.” “Terima kasih…alhamdulillah,”Bujang menerima uncang berisi batu permata itu dengan penuh kesyukuran,kemudian disimpan di dalam bajunya.”Tidakkah Tuan Sayed merasa bosan tinggal di sini sebatang karah tanpa teman hidup?” “Apakah kita akan bosan beribadat kepada Allah?”Rijalul Ghaib menjawab pertanyaan dengan pertanyaan,memulangkan paku buah keras.Bujang tunduk malu.”Ana tidak pernah merasa sunyi,” sambung Rijalul Ghaib lagi,cuba menghiburkan hati Bujang.”Semua keperluan ana disediakan Allah di sini.Ana merasa bahagia,hidup ana bagaikan di syurga.Di sinilah tempat tinggal ana sehingga datangnya Yaumul Qiamah.” “Hamba ingin sekali menjadi seperti Tuan Sayed,”Bujang mencelah. “Masanya akan tiba,insyaAllah,”Rijalul Ghaib bangun,diikuti oleh Bujang.”Sebelum itu, tunaikan dulu amanah dan tanggung-jawab kepada keluarga,rakan-rakan,agama,bangsa dan tanah air.Gunakan sepenuhnya anugerah Allah,bersabarlah di atas setiap kejadian kerana dalam dugaan ada hikmahnya.” Rijalul Ghaib menemani Bujang ke pintu.”Di saat ini,isteri-isteri saudaraku dalam kesusahan, pulanglah sebelum terlambat.” “Kalau begitu,hamba bermohon diri,Tuan Sayed,”Bujang bersalam dengan Rijalul Ghaib. Rijalul Ghaib memeluk Bujang erat-erat,air matanya berlinangan.”Kita pasti bertemu lagi.” “Kalau bukan di dunia,di akhirat pasti bertemu,”sampuk Bujang pula.”Assalamualaikum.” “Waalaikumussalam,Ya Ikhwanul Islam,”balas Rijalul Ghaib,suaranya garau. Sambil menahan sebak,Bujang berpaling dan segera beredar melalui jalan yang terbentang itu. Tiba di penghujung,dia menoleh semula ke belakang.Jalan sudah ghaib,kubah kaca itu juga hilang lenyap,yang tinggal hanyalah kabus tebal menutupi lembah yang luas itu.Dia menggosok- gosok matanya seakan-akan baru sedar dari mimpi.”Subhanallah….”,keluhnya sebak. Si-Rangga-Ranggit masih menunggu dengan setia.Bujang terus menunggang kuda terbang itu meninggalkan lembah kediaman Rijalul Ghaib. “Begitulah ceritanya,Tuanku,”beritahu Bujang setelah bertemu semula dengan bapa mertuanya Raja Nasyaful Alam.Puteri Rubiah dan semua pembesar sudah pun berkumpul sejak kepulangan Bujang.Masing-masing memasang telinga mendengar dengan teliti cerita Bujang itu dan melihat dengan teliti batu permata di tangan Bujang. “Anakanda tergolong dalam manusia yang bertuah,”Raja Nasyaful Alam memandang Bujang ke atas ke bawah.”Bertuah juga ayahanda bermenantukan anakanda.” “Pekerjaan patik sudah selesai,izinkan patik kembali,”Bujang menyusun sembah.”Terima kasih tidak terhingga di atas anugerah bahtera canggih itu.” “Silakan,anakanda,”Raja Nasyaful Alam memberi keizinan.”Jemputlah kemari bila-bila masa anakanda suka.Anakanda bukan orang asing lagi di Segara Masin ini. Tentang bahtera itu, gunakanlah untuk perjuangan menentang orang-orang kafir.” “Menjunjung kasih,Tuanku,”Bujang menyusun sembah lagi. Dihantar oleh semua hingga ke pekarangan istana,Bujang terus mengenderai Si-Rangga-Ranggit pulang ke alam nyata.Ketika Bujang sampai di pinggir tasik,keadaan di situ sunyi sepi dan hari sudah pun petang.Tiada sesiapa kelihatan di situ.Istana hinggap kelihatan kosong.Baru dia berkira- kira hendak terus kembali ke bahtera,tiba-tiba dia ternampak Ratna di atas persada.Ratna sedang bermenung sambil memandang sayu ke tengah tasik.Bujang turun dari Si-Rangga-Ranggit. Sekelip mata kemudian,kuda sembrani itu ghaib dari pandangan seolah-olah tidak pernah wujud.Hanya seketika kedengaran seperti sayap dikepak-kepak sebelum hilang di angin lalu. Bujang melangkah tenang menghampiri persada.Dari jauh kedengaran suara Ratna mendayu-dayu mendendangkan lagu. Pada mulanya kurang jelas.Semakin hampir semakin jelas dendangan sayu yang menggambarkan betapa hancurnya hati Ratna di kala itu,”….Patah layar patah kemudi, hanyut perahu dipukul gelombang,karam hati sedih sendiri,sejak kasih bercerai pandang…”. Ratna menangis tersedu-sedu,air mata membasahi pipi yang gebu,rambut yang terhurai dibiarkan sahaja dipuput bayu. Bujang melangkah naik ke atas persada.”Ratna,”serunya perlahan. Ratna memalingkan wajahnya lalu ternampak Bujuang.’Abang…!”Dia terus berpaling lantas menerkam memeluk Bujang erat-erat sambil menghamburkan airmata tanda gembira. “Sudahlah,jangan menangis lagi,”pujuk Bujuang sambil membelai rambut isterinya. “Ratna terpaksa memeluk abang,untuk mempastikan Ratna tidak bermimpi,”Ratna mengesat air matanya sambil tersenyum gembira.”Adakah Ratna bermimpi/” “Ratna tidak bermimpi,”Bujang mengucup dahi isterinya yang masih perawan itu. “Ke mana abang menghilang selama enam hari ini?”tanya Ratna pada suaminya ketika mereka bersiar-siar di tepi tasik.”Kami semua menyangka abang sudah mati ditelan ular naga dari tasik itu.” “Enam hari?”Bujang terperanjat kerana pemergiannya ke alam ghaib tidak sampai separuh hari. “Ya,enam hari,”Ratna menegaskan.” Hari ini hari Khamis. Jumaat lepas kita kahwin.” “Hari Khamis 8 Safar 1063 Hijrah bersamaan dengan 30 November 1652 Masehi?”Bujang seperti tidak percaya masa berlalu begitu pantas ketika mengunjungi alam ghaib.Semakin lama dia di sana,semakin jauh jurang perbezaan masa.Subhanallah… “Ke mana abang menghilang selama ini?”Ratna mengulangi pertanyaannya. “Panjang ceritanya,Ratna,lain kali saja abang ceritakan,”Bujang meraba uncang pemberian Rijalul Ghaib di dalam bajunya.”Ke mana perginya semua orang?” “Seisi negeri diperintahkan Ayahanda supaya berkabung di atas kematian abang,”ujar Ratna. “Kawan-kawan abang?”tanya Bujuang pula. “Masih di pelabuhan,”ujar Ratna lagi.”Mereka enggan belayar selagi mayat abang tidak ditemui. Kak Chendana dan Kak Balqis masih di atas bahtera bersama anak gadis abang.Kalaulah mereka tahu abang masih hidup dan sudah kembali.” “Besok sajalah kita maklumkan kepada mereka,”balas Bujang penuh makna. “Semua sudah balik ke istana dan ke bahtera,”maksud kata-kata Bujang segera difahami oleh Ratna.”Tidak ada sesiapa di sini,melainkan kita berdua.” “Pucuk dicita ulam mendatang,”balas Bujang,memandang tepat ke wajah isterinya. Bila mata bertemu mata,darah muda mula bergelora. Ratna yang sudah lama memendam rasa, terlalu asyik masyuk,terlalu kepingin kehangatan tubuh seorang suami. Matanya bersinar galak, wajahnya merah padam menahan nafsu berahi. “Mari,”ajak Ratna menarik tangan suaminya seolah-olah tidak sabar lagi. “Senjakala menjelang tiba,”pujuk Bujang menahan nafsu.”Elok kita bersembahyang maghrib terlebih dahulu.” Hujan rahmat turun pada malam itu,membasahi tanah yang kering.Petir berdentuman,kilat sabung-menyabung.Air tasik berkocak hebat,sampan yang tertambat teroleng-oleng dihempas gelombang.Sang katak menjerit-jerit keriangan lantaran hajat yang kesampaian.Lewat malam baru hujan berhenti.Petir senyap-sunyi,kilat tidak lagi sabung-menyabung. Air tasik kembali tenang. Sampan tidak bergoyang lagi.Namun,air masih bertakung memenuhi lopak-lopak.Di atas tilam empuk di bilik pengantin,Ratna mengerang penuh nikmat sambil merangkul leher suaminya…! Keesokannya harinya pagi Jumaat 9 Safar 1063 Hijrah bersamaan dengan 1 Disember 1652 Masehi,Bujang yang sudah siap berpakaian terkejut melihat Ratna belum habis berkemas. “Sudah-sudahlah berdandan,”usik Bujang.”Kereta kuda sudah bersedia.Elok kita bertolak awal sebelum matahari terik.” Ratna pura-pura tidak mendengar dan masih mencari-cari sesuatu. “Atau barangkali Ratna tidak boleh duduk dengan selesa sehari-dua ini,”usik Bujang lagi.” Barangkali pedihnya masih terasa.” “Ke situ pula perginya,”Ratna pura-pura merajuk.”Orang sedang mencari kain cadar semalam.” “Kain cadar putih tu?”jawab Bujang.”.Dah kotor. Ada kesan darah .Jadi abang campak saja ke tanah buat kain buruk.” “Ya Allah,kenapa abang campak?”Ratna meluru keluar dari bilik,meninggalkan Bujang tergaru-garu kepala yang tidak gatal.Sebentar kemudian,Ratna kembali membawa kain cadar putih yang sudah kedut-kedut diperonyok. “Inilah hadiah paling berharga buat ayahanda dan bonda,”Ratna mengatakan dengan puas sambil melipat kain cadar itu.”Tanpa bukti ini,mereka pasti mendapat malu besar.” Bujang hanya mampu mengangguk tanda faham. “Dah puas?’tanya Bujang ketika memandu kereta kuda bersama Ratna. “Tentulah puas,”balas Ratna dari sisi.”Kami orang Bugis amat mementingkan maruah. Tinggi atau rendah maruah seseorang gadis itu terletak pada keperawanannya.Kelapa yang sudah ditepuk tupai pasti memalukan keluarga tujuh keturunan.” “Abang maksudkan permainan kita semalam,”Bujang membetulkan.”Ratna puas?” “Ala abang ni,sudah terang bersuluh pula,”Ratna melepas cubitan manja ke paha suaminya. Bujang pura-pura mengaduh kesakitan sambil ketawa kecil. “Abang bukan sahaja hebat di gelanggang tetapi hebat juga di ranjang,”Bujang mengusik lagi. “Tak mahulah macam tu,”Ratna pura-pura merajuk.”Nanti orang dengar,malulah.” “Apa yang nak dimalukan?Kita berdua sahaja di sini,”tingkah Bujang lalu ketawa lagi. “Bila abang hendak belayar?”Ratna segera mengubah tajuk. “Sebaik sahaja selesai majlis perkahwinan kita,”jelas Bujuang sambil memegang tali pacu mengendalikan dua ekor kuda yang menarik pedati itu. “Majlis perkahwinan sudah bertukar menjadi majlis berkabung,”sambut Ratna.”Semua jemputan sudah pun pulang ke tempat masing-masing.” “Kalau begitu,besok sahaja kita belayar,”Bujang membuat keputusan.”Hari ini kita berjumpa ayahanda dan bonda buat kali terakhir.” Santapan diraja tengahari itu selepas sembahyang Jumaat sungguhpun ringkas tetapi meriah.Dewan santapan yang luas itu dijadikan tempat Raja Gowa dan permaisuri meraikan kepulangan menantunya bersama para pembesar dan kaum-kerabat.Kecuali beberapa orang yang ditugaskan mengawal bahtera,anak buah Bujang semuanya dijemput. Para pegawai dan pertuanan serta tetamu undangan duduk bersila makan berhidang empat orang setalam manakala baginda suami-isteri serta beberapa orang pembesar kanan menjamu selera di meja yang disediakan bersama Bujang yang ditemani oleh Ratna,Chendana,Balqis serta Fatimah. Semasa majlis santapan diadakan,persembahan dari penari-penari Bugis dipertontonkan sebagai hiburan selingan. “Perhatian semua,”Raja Gowa bangun memberi ucapan setelah selesai majlis santapan dan persembahan itu.”Beta ingin membuat beberapa pengumuman penting.” Semua hadirin menumpukan perhatian kepada baginda. “Memandangkan beta tidak mempunyai putera dan Daeng Ratna Sari ini satu-satunya waris beta,ingin beta membuat wasiat dengan disaksikan oleh datuk-datuk semua,”Raja Gowa memerhati para pembesarnya satu persatu.”Sekiranya sudah sampai ketentuan Allah,maka tahta kerajaan Gowa ini beta serahkan kepada menantu beta Tengku Alang Iskandar timang-timangan Panglima Agung.” “Daulat Tuanku!”serentak para pembesar menyusun sembah melafazkan ikrar tanda taat setia. Bujang hendak bangun membantah tetapi ditahan oleh Ratna. “Wasiat ini diistiharkan sah sebaik sahaja beta mangkat,”sambung baginda lagi.”Datuk-datuk hendaklah mempastikan wasiat ini dipatuhi mengikut adat dan syarak. yang telah termaktub dalam Surek Galigo.Perkara kedua ialah perihal perlantikan sepupu beta Daeng Samarinda sebagai Datuk Bendahara merangkap Penasihat dalam negeri Gowa berkuat-kuasa serta-merta.” “Daulat Tuanku!”sekali lagi para pembesar menjunjung duli tanda taat setia. “Perkara terakhir ialah usul terima kasih beta sekeluarga kepada menantu beta Tengku Alang Iskandar kerana menganugerahkan lancangnya kepada beta,”baginda diam sejenak memerhati semua hadirin,kemudian duduk semula tanda tamat sudah pengumumannya. Para pembesar dan hadirin mula bercakap-cakap sesama sendiri mengenai berita tersebut.Bujang kelihatan tenang sahaja namun hatinya berperang antara kehendak mertuanya dengan perjuangan sucinya.